Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu....

"...Sudah sunnah orang berjuang, mengembara dan berkelana.."


Nostalgia Nadamurni lembut mendendang perjalanan kami menuju destinasi nun ke pantai timur Sabah. Kebiasaannya laluan yang kami pilih untuk ke pantai timur mesti memanjat bukit-bukau bermula dari daerah Tamparuli mengunjur panjang sampai ke Ranau. Kabus yang kadang-kadang menyapa perjalanan, ditambah pemandangan bukit-bukau yang berbalam-balam dari kejauhan dan mata pula tidak puas-puas menatap wajah gunung kinabalu yang tersergam indah. Pada ketinggian sebegitu, anda akan terasa seperti berada di puncak dunia.






Allah, besarnya keagungan-Mu Tuhan.


Terasa begitu kerdil tubuh ini memohon izin lalu di celah-celah pasak-pasak gunung-ganang yang kukuh berdiri. Semakin tinggi mata berlari ke puncak Kinabalu, semakin jatuh kehinaan diri yang lemah ini. Tinggi-tinggi gunung kinabalu, semakin tinggi rasa keagunganMu Tuhan.


Kembara Bermula


Musafir ke Tawau kali ini agak berlainan kerana perjalanan yang akan ditempuh bermula dari arah keningau menuju kalabakan merentasi jalan lori kayu balak yang tidak berturap sejauh 100 Km. Satu pengalaman yang ditunggu-tunggu memandangkan inilah kali pertama kami semua melalui jalan tersebut. Apa-apa saja yang terbayang-bayang di minda saya, entah betul entah tidak. Kalabakan seakan-akan sudah berada didepan mata saya.



Memasuki jalan yang berlum berturap



Jalan berturap yang terakhir seingat saya iaitu di daerah Nabawan, entah apa nama jalan tersebut. Bunyi batu-batu bergerutu ketika pesona hitam yang kami naiki secara perlahan-lahan menandakan kawasan jalan berturap telah berakhir. Pada 100 km ke hadapan, jalan berbatu kerikil dan berdebu akan kami tempuhi. Kiri dan kanan jalan seperti yang dimaklumkan, hanya hutan belantara. Di depan kami, sebuah lagi kereta CRV menjadi tekong memandangkan ia agak sesuai dengan keadaan yang jalan yang sebegitu.





Sesekali trip kami berselisih dengan lori balak yang sarat dengan kayu balak yang entah dari mana datangnya. Ada yang sarat dengan muatan kayu balak, ada yang kosong dan ada juga yang membawa kepala lori sahaja. Jalan Nabawan-Tawau ini, tidak ada kabus yang dingin yang hendak ditangkap tangan seperti di Kundasang-Ranau, melainkan kabus debu-debu yang mengerutkan kening anda kerana menghalang jauh pandangan mata ke depan. Setiap kali berselisih, debu!, dan begitulah sepanjang perjalanan.




"Siapalah toke kayu balak nie, mesti kaya giler..."..hah, soalan yang tidak diundang. Kesitu pula otak saya melihat tumpukan kayu balak sebesar sepemeluk di belakang lori.


Mujurlah batu-batuan sepanjang jalan raya cuma sepesen batu kerikil semuanya. Cuma kadang-kadang keadaan jalan yang berlopak disana-sini pula menjadi medan ujian kecekapan pemandu kenderaan. Selain lori kayu balak, kadang-kadang rombongan musafir kami bersapa mata dengan pekerja-pekerja yang sedang membaiki lereng bukit yang runtuh ke tengah jalan, di tengah hutan belantara ini!...hotel mana, kampung mana mereka menginap tidak tahu...



R&R Urut-Nurut



"Apa nama tempat ni makcik?, saya bertanya kepada Makcik Rosleha.

"Urut-nurut", jawab makcik Rosleha ringkas. Slang bajaunya saya masih perasaan, namun agak keliru sedikit dengan warna kulitnya, macam suku Bugis. Pemilik gerai makan belasan tahun di tengah-tengah hutan belantara antara Nabawan -Tawau.


Biar betul makcik Rosleha ni, apa yang dibuatnya ditangah-tangah hutan ini. Saya macam tidak percaya. Beliau yang asalnya dari Kota Belud berhijrah mencari rezeki katanya, membuatkan rasa mempertikai keputusan tersebut semakin tinggi. Tapi, apalah yang hendak dikisah sangat kalau sudah rezekinya disitu. Saya menjawab untuk saya.


"Inilah dia R&R Nabawan-Tawau", saya melawak dengan sahabat-sahabat yang asal semenanjung. Masing-masing tergelak kecil. Sampai di gerai makcik Rosleha ini, bermakna kami telah sampai betul-betul ditengah-tengah perjalanan antara Nabawan-Tawau. Satu lagi pesan saya, sepanjang jalan anda tidak akan bertemu dengan sebarang kedai membaiki tayar atau stesen minyak, maka sediakanlah payung sebelum hujan.


Jauhnya perjalanan pasti ada destinasinya. Walaupun kami belum sampai ke lokasi sebenar, melihat papan tanda Kalabakan-Tawau itu sudah membuatkan hati lega seketika. Sampai sahaja di bulatan papan tanda Kalabakan-Tawau, jalan akan berturap semula. Cabaran kali ini pula iaitu jalan yang beralun, jika tidak selaras dengan kelajuan dan kecekapan pemandu, alamat terbang melayang ke gaunglah anda semua. Tidak pasal-pasal anda sibuk-sibuk mencari siapalah YB di Kalabakan ni untuk di....tut....hamun.





Alhamdulillah...Sejak jam 9.00 pagi tadi kami bertolak dan sekarang jam sudah menunjukkan jam 1.30 tengah hari. Dari Kalabakan ini, untuk sampai ke Tawau mengambil masa lebih kurang 2 jam. Itu kira sudah kira dekat. Ketika ini, apa-apa tentang isi mesyuarat Exco DPPNS sesi 2009/2011 masih belum ada mood untuk di fikir-fikirkan. Letih dan sebagainya kerana perjalanan yang tidak sesuai untuk tidur nyenyak jika dibanding dengan lebuh raya, yang dengan pemandunya sekali boleh tertidur nyenyak.



..tut..hanset kami masing-masing mula berdering, tanda line sudah masuk. Mesej yang kami terima dari saudara Firdaus, Setiausaha DPPNS sesi yang baru ini menyatakan Mesyuarat akan bermula pada jam 2.30 petang ini. Inilah sedikit catatan perjalanan perjuangan di Sabah ini, yang waqie'nya punya situasi tersendiri. Musafir berjam-jam hanya untuk mesyuarat 2 jam. Tidak sempat kemana-mana, atau balik menjenguk keluarga, malam itu selepas ceramah Pakatan Rakyat kami segera bertolak balik ke Kota Kinabalu lewat tengah malam melalui jalan yang sama. Begitulah gambaran pada masa-masa akan datang, liku-liku dakwah di Sabah ini.


Bukan hendak tergesa-gesa, tapi masing-masing pula harus memenuhi komitmen lain terhadap sedikit bisnes yang baru setahun jagung. Siapa tidak risau, tapi kepada Allah jualah tempat berserah. Moga pengorbanan yang sedikit ini, jika impak besarnya mampu menarik empati anak Sabah untuk turut sama menyinsing lengan, sekurang-kurangnya mampu menjawab kritikan-kritikan berhambur dengan teori-teori yang jauh dari realiti sebenar. Moga bertemu titik temu antara kita.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer