Terlalu Idealis! kata sahabat saya, melihat situasi aktivis kampus yang ada di bumi borneo ini.
Ada perhatian yang perlu diberikan apabila ada pandangan mengatakan terlalu idealis itu sehingga jauh dari realiti yang sedang berlaku. Asasnya memang ada melalui pengalaman dan penelitian yang panjang.
Sementara itu, penerimaan aktivis kampus terhadap premis diatas seperti satu sekatan pula kepada kemajuan pemikiran dan semangat tulin yang sarat dengan keinginan untuk melihat perubahan. Mudahnya, mereka adalah mereka dan kita adalah kita sebagai reaksi tidak bersetuju. Mungkin begitu kesimpulannya.
Saya cuba untuk memahami situasi ini dari satu sudut yang lebih objektif agar membuahkan solusi yang boleh diguna pakai. Ini juga merupakan satu sarana agar apa yang telah terbina dikalangan aktivis kampus sehingga ke hari ini bukan untuk diruntuh kemudian dibina semula. Tidak begitu keadaannya, malah apa telah tersedia sekarang cuma perlu sedikit suntikan melalui 'world view' yang pelbagai.
Menyuntik Idealis
Mengambil petikan daripada apa yang dikatakan oleh Almarhum Dr. Fathi Yakan, pemuda seharusnya tidak mengharapkan perubahan berdasarkan apa yang ada sahaja, sebaliknya perubahan mestilah dicapai melalui apa yang seharusnya berlaku. Pencapaian yang dimaksudkan oleh beliau ini ada kaitannya dengan penggunaan maksimum darjah pemikiran yang melihat jauh kedepan.
Sebagai permulaan, saya mencadangkan wacana-wacana pemikiran tokoh-tokoh besar yang lebih serius bukan sekadar mengambil sepatah dua kata-kata semangat dari pembacaan yang ringan. Tanpa penelitian dan penghayatan kepada idea-idea yang dihidangkan melalui pembacaan atau perbincangan, agak sulit rasanya untuk melahirkan kepimpinan yang mampu membawa gagasan yang baik. kayu ukurnya, apakah penerimaan pelbagai lapisan terhadap idea yang dilontarkan?..atau sekadar ribut didalam cawan.
Melalui pemerhatian, aktiviti kemahasiswaan di semenanjung banyak memberikan pengaruh yang besar kepada arus perubahan di kampus-kampus sekitar Kota Kinabalu dan Labuan. Ini satu perkembangan yang baik dan perlu diteruskan dengan perkongsian yang lebih bijak. Saya mengatakan sedemikian kerana bimbang berlaku ketidak serasian antara idealis dan kemampuan untuk mendokong gagasan yang besar tanpa persediaan 'inside-out side'. Sebaliknya berlakulah 'blind spot' antara kaedah cuba jaya dan hentam sajalah.
Walaupun begitu, saya masih optimis bahawa idealisnya aktivis kampus-kampus Borneo sehingga ke hari ini masih perlu diberikan suntikan. Mengambil situasi Pakatan Rakyat ketika ini, begitu mengasak aktivis untuk menterjemahkan ide-ide keadilan Islam dalam bahasa demokrasi. Atau masih lagi 'bulat-bulat' dengan impian tertegaknya Negara Islam?...maaf kalau saya tersilap.
saya dan anda semua masih diatas cita-cita tertinggi iaitu Daulah Islamiyah.
Memahami Realiti
Memahami Idealis mungkin lebih mudah daripada menelaah realiti yang berlaku bagi sesetangah orang. Sebuah Idea yang besar benar-benar akan teruji keberkesanannya dalam lapangan yang sebenar. Saya yakin walaupun realiti ini apa yang biasa nampak di depan mata, namun ia masih kekal sebagai realiti semata-mata tanpa kajian yang lebih terperinci.
Pertama, realiti ketumbukan gerakan Mahasiswa yang sedia ada seperti GAMIS merupakan warisan gerakan Mahasiswa dekad-dekad 60-70 an yang banyak mencorak sedikit sebanyak hala tuju kepimpinan negara ini pada waktu itu. Pada tahap itu mahasiswa sudah mampu keluar dengan gagasan tersendiri dan sebagai entiti 'check and balance' pandangan mereka mengambil tempat dalam politik tanah air.
Kedua, faktor interaksi erat yang terjalin diantara aktivis mahasiswa dan tokoh-tokoh pemikir terkenal melengkapkan lagi keberkesanan para aktivis memahami realiti sekeliling. Tidak berapa lama sebelum kebangkitan mahasiswa, berdiri tokoh-tokoh pemikir Islam seperti Dr Burhanudin Al Helmi dan graduan-graduan Al Azhar yang terdedah dengan perkembangan gerakan Islam timur tengah. Sedikit sebanyak, faktor idea tokoh-tokoh ini larut dalam aktivitas mahasiswa dekad itu.
Ketiga, saya mahu membuat sedikit perbandingan dengan arus kebangkita mahasiswa di borneo. Mungkin kerana pembacaan saya yang masih kurang, maka saya gagal mengambil contoh-contoh dari sejarah. Sepanjang pembacaan, orientasi politik begitu mendominasi pencapaian negeri Sabah hingga ke hari ini. Barangkali ada benarnya bahawa kesedaran politik di Sabah 10 tahun keterbelakang berbading semenanjung, kerana intipatinya bukan 'politik nilai'.
Walaupun ada di gembar gemburkan rakyat sabah lebih 'advance' kerana berani menukar corak pemerintahannya, dari satu sudut, adakah ia lahir daripada perkembangan ilmu, atau pengaruh daripada tokoh-tokoh ilmuan yang terdekat. Jika disoroti semula, kita 'hanya ada' Tun Mustapha dan rakan-rakan seangkatan dengannya, dengan niat tidak hendak merendahkan siapa-siapa. Jika kesedaran Islam di Sabah menjadi kayu ukurnya, anda sendiri tahu jawapannya.
Setelah hampir 40 tahun, barulah ada satu universiti ditubuh di Sabah pada tahun 1994 jika tidak silap saya. Malang bagi mahasiswa ketika itu yang baru bertunas cara fikirnya, ruang yang sepatutnya terbuka untuk mereka turut sama memberikan pandangan telah ditutup rapat lama dulu oleh AUKU. Maka berlakulah apa yang terjadi, suara ke tiga yang seharusnya datang daripada kampus yang bukan dari sisi politik sempit, tidak kedengaran membela masyarakat .
Masih lagi isu-isu seperti isu agama, hak bumiputera, tanah dan kad pengenalan dimanipulasi untuk keuntungan politik dan jauh dari rasa peduli Mahasiswa...apakah idealisnya Mahasiswa mampu memberikan alternatif ke tiga terhadap isu-isu diatas?
Kesimpulan; rupa kepada makna
Saya membawakan beberapa penelitian diatas jauh sekali untuk merendahkan malah jauh sekali hendak membunuh semangat yang ada. Apa yang penting dalam perjalanan yang panjang bukan saja tahu persediaannya besar tetapi juga tahu bertindak dengan tepat.
Ya, memang teruja dengan gaya pidato kepimpinan GAMIS yang memukau atau selautan mahasiswa berdemonstrasi di jalanan. Sungguh teruja bukan?
Tidak salah mengambil semangat tersebut, tapi bukan secara simplistik. Perlu di tekankan disini, itu semua adalah rupa yang terhasil daripada apa yang telah saya sebutkan diatas; suasananya, budaya ilmunya, golongan pemikirnya dan sejarahnya. Inilah nilai yang memberi makna kepada rupa perjuangan Mahasiswa.
Lantas, adakah kita hanya mampu menjadi pelaku yang hanya memerhati dan menunggu perubahan berlaku di depan mata?....Saya percaya idealisnya mahasiswa kampus borneo ketika ini merupakan satu perkambangan yang cantik. Tinggal lagi sudut realistiknya yang masih banyak kelompangan yang perlu diperbaiki...
"Membumikan Pro Mahasiswa di Borneo".....saya begitu teruja mengikuti perkembangan realistiknya.
Thursday, February 4, 2010
Aktivis Kampus Borneo; Idealis kepada Realis
Posted by bayugunung at 6:35 AM 0 comments Links to this post
Wednesday, February 3, 2010
Bunyamin; Hatiku di Kelantan
Senyumnya, riak wajahnya, saya sudah tahu semuanya berjalan lancar. Sebelum itu lagi, tapi berita gembira melalui sms saja, tidak mampu memberikan gambaran sebenar.
..Alhamdulillah...Tahniah Sdr Bunyamin, walaupun agak terlambat sedikit mengucapkan tahniah.
Saya tahu sahabat saya seorang ini, duka pilunya seiring senyum dan gurau sendanya melalui perjalanan yang panjang ujian tuhan. Rasa apa yang terselit dibalik hatinya, juga ada pada saya.
Namun kali ini, saya tidak lagi dapat merasai apa yang baru dilaluinya. Ya, walaupun senyuman yang sama, saya tahu hanya mereka yang sudah sampai seru saja yang boleh berkongsi rasa yang sama. Ketika itu, siaplah saya yang akan menjadi mangsa buli orang yang dah kahwin.
"Lima tahun man menunggu!..tegas Bunyamin
"Iya Bun?, saya seakan - akan tidak percaya.
malam itu, saya tekun mendengar saat-saat lucu tapi mendebarkan majlis pernikahan yang saya kira berjaya meruntuhkan tembok mitos antara kelantan dan Sabahan. Sebelum ini ada sejarah, beberapa orang sahabat dari Sabah yang tidak sampai jodohnya dengan muslimat kelantan. Banyak sebabnya, tapi yang selalu menjadi alasan, "orang jauh" kata keluarga muslimat.
Oleh kerana sembang-sembang malam tersebut terlalu panjang, saya pun tidak bercadang menerbitkannya sepatah-sepatah dalam blog ini. Cuma saya katakan kepada beliau saya akan berikan tajuk yang sesuai. Banyak-banyak tajuk, inilah tajuk post yang beliau setuju sebagai mewakili kisah sebuah perjalanan jodoh yang panjang, penuh ujian kesabaran dan pengorbanan.
Lepas ini, ada 2,3 orang lagi yang akan menyusul..Tungguuuuuuu
Posted by bayugunung at 10:26 PM 1 comments Links to this post
Friday, December 11, 2009
Mencabar Kebiasaan
Terbukti dan mereka telah membuktikannya, adik-adik saya ini tentunya sudah mengambil keputusan bahawa mereka bukan lagi mahasiswa asal-asalan, seperti robot yang tidak punya akal untuk berfikir, kontang dari gerak hati yang kuat untuk melakukan perubahan.
Mungkin ada kata-kata sinis yang kedengaran lewat penghantaran memorendum tersebut. Tak mengapa. Dalam suasana generasi Sabahan dan di tanah Sabahan ini sendiri yang agak asing 'melawan' orang besar yang punya kedudukan, ia tidak boleh dibanding-banding dengan akitivisma mahasiswa di semenanjung. Kerana apa?..panjang ceritanya, banyak bezanya.
Daerah Baru
Bagaimanakah perasaan anda ketika menjengah ke satu tempat yang tidak pernah anda terbayang untuk kesana?
Tentunya ia satu pengalaman perasaan yang sungguh menyeronokkan. Ketika itu, terlupa seketika penat lelah perjalanan yang baru ditempuhi sebentar tadi. Hilang ditiup angin cerita-cerita dongeng yang cuba menggugat perasaan untuk terus melangkah. Kerisauan yang mencengkam kemahuan akhirnya bertukar menjadi satu keyakinan yang tertancap teguh. Tinggal anda tersenyum-senyum sendirian, menikmati bayu di puncak kemenangan.
Daerah baru yang baru ditemui, membuka satu lagi ruang baru dalam hidup. Jika difikirkan sangat soal kekurangan-kekurangan yang ada, tentu tidak akan sampai menjelajah daerah baru ini. Jika ada orang mahu agar setiap langkahnya yang hendak terperosok kedalam lubang, sentiasa saja ada orang kebetulan disitu berdiri dan berkata, 'awas, ini lubang', ini adalah satu kemustahilan. Bagus juga kalau sesekali terperusuk masuk, sekurang-kurangnya tahulah kita, ada pengalaman bagaimana sakitnya jatuh ke dalam lubang.
Albert Enstein seorang ahli fizik yang terkenal di abad ini berkata, 'saya bukanlah siapa-siapa, cuma orang biasa yang penuh dengan tanda tanya'. Dengan tanda tanya itulah beliau meneroka dunia yang penuh tanda tanya ini lantas terhasil teori kuantum masa yang terkenal. Lalu ia cuba dikembangkan lagi oleh anak-anak muridnya sehingga ke hari ini. Ketika persoalan tentang keunikan hukum alam ini begitu mencetuskan rasa ingin tahu membuak-buak, Enstein ketika itu masih seorang pemuda dan hasilnya, beliau berjaya menjelajah ke daerah baru pemikiran. Membuka semangat baru kepada pemuda-pemuda saintis yang lain. Membuka dunia baru kepada kehidupan.
Seperkara lagi juga dari Enstein, katanya, 'suatu masalah biasanya dapat diatasi bukan dengan penyelesaian yang setara dengan masalah tersebut, tetapi dengan yang lebih baik dari masalah tersebut'. Ertinya, tidak sekadar melihat masalah bukan saja dengan menelusuri dimana puncanya, tetapi lebih dari itu, masalah yang terjadi biasanya disebabkan dimensi pandangan yang tidak pelbagai. Kebanyakkan penyelesaian tersebut ada disana, diluar kotak pemikiran dan kejiwaan yang ada ketika ini. Tanpa satu cabaran dan asakkan, jiwa dan pemikiran kita tidak akan mampu kesana, daerah baru pemikiran. Oleh itu, teruskan tradisi mencabar kebiasaan!
Syabas adik-adikku. Ayuh terus mara, hayunkan langkahmu ke medan juang!
Posted by bayugunung at 4:08 AM 1 comments Links to this post
Thursday, December 3, 2009
Halusi Pendekatan
Berita berkenaan Faizal Julaili masuk UMNO bersama jawatan beliau sebagai Setiausaha AMK Negeri Sabah merangkap Ketua Pemuda PKR Bahagian Papar telah disanggah oleh Ketua Penerangan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Sabah, Sdr Zainuddin Hassan. Bacaan yang mudah bagi orang politik, tentunya kerana peralihan Faizal tersebut ada nilai 'melemahkan' imej Angkatan Muda Keadilan dan Pakatan Rakyat.
Saya terbayang-bayang masyarakat di bumi bawah bayu ini disaat deretan kes seperti Faizal ini semakin berjangkit. Saya cuba meletakkan diri di tempat mereka sebagai petani, nelayan, peniaga kecil-kecilan yang kedudukan paras kemiskinannya tercorot di Malaysia. Pendapatan mereka cukup-cukup saja untuk menyara makan minum hari-hari, sekolah anak-anak dan keperluan asas yang lain. Selebihnya, untuk hidup sebagai rakyat yang punya hak merasai kemajuan ekonomi negara ini adalah tanggungjawab pemimpin yang mereka lantik. Kan sudah 50 tahun merdeka!..Tapi YB nya lompat lagi, lompat lagi dan lompat sikatak lompat.
Apakandaya, mereka terpaksa juga memangkah YB tersebut walau hati sudah tidak mampu menahan sebak.
Sebaik saja berita berkenaan kemasukkan Faizal Julaili kedalam Umno tersiar dalam Sabah Times, saya menemani bro Lahirul tengah hari itu berkunjung ke pejabat bro Abdul Razak Jamil, Ketua Pemuda AMK Sabah. Saya kurang maklum apa yang dibincangkan memandangkan itu cuma pertemuan mahabbah yang singkat, jadi saya kena memandu kereta Bro Lahirul pusing-pusing Asia City supaya memudahkan perjalanan balik nanti. Asia City agak sesak ketika itu, hendak memarking kereta agak melecehkan.
Satu tapisan agaknya kepada PKR Sabah memandangkan selera masyarakat disini lebih kepada parti tersebut berbanding teman-temannya PAS dan DAP. Positif ke arah masa depan Pakatan Rakyat, boleh dikatakan PAS juga ada peluang yang cerah untuk sama-sama menyumbang disamping DAP yang ada tempatnya tersendiri dalam kedudukan kerusi pada hari ini. 41 kerusi muslim di Sabah yang akan menentukan keputusan Pilihanraya Umum, PAS mungkin cuma perlu memikirkan pendekatannya dalam suasana semangat kesukuan yang masih agak tebal sekarang ini.
Tidak mustahil, tapi yang menghairankan mengapa PAS hilang deposit di Merotai PRU-12 sebelum ini?..Adakah kerana faktor pendekatan yang masih perlu diperhalusi?..soalan tersebut dibangkitkan oleh orang lama USNO, Sdr Abdullah Sani ketika bersembang-sembang selama hampir 3 jam berkenaan perjalanan politik di Sabah. Rezki kami bertemu beliau, banyak sudut pandang yang memperkaya lagi apakah waqie' sebenar di Sabah. Kuncinya, dekati masyarakat, pesan beliau lagi.
Mengapa Mesti PAS
Selain PKR dan DAP, PAS boleh juga dikatakan sebagai penentu yang mencorak arah mana senario politik negara pada masa akan datang. Jika mahu dikatakan PAS cuma parti doktrin politik semata-mata, tidak ada bezanya dengan parti lain itu memang benar. Itu petanda, PAS memang berhasil meletakkan dirinya dalam waqie' dan realiti di Malaysia pada hari ini. Jika ada yang mahu mengatakan bahawa PAS menggunakan agama untuk cita-cita politiknya, silakan. Kalau tidak guna agama, nak guna apa? hanya agama boleh menyelamatkan manusia dunia dan akhirat.
Yang sebenarnya, PAS adalah sebuah gerakan Islam yang meletakkan undang-undang tertinggi iaitu al Quran dan Sunnah. Termaktub dalam perlembagaan PAS dan tidak ada lagi pertikaian. Mengapa dikatakan ia sebuah gerakan Islam atau Harakah Islamiyah?..kerana, sesiapa sahaja yang mengucap 2 kalimah syahada bermakna dia cuma ada satu identiti sahaja.
Identiti itu ialah "Ummatan Wahidah" iaitu ummat yang satu. Sejarah ummat yang satu ini begitu jelas tali menali sampai kepada Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi-Nabi terdahulu. PAS dengan merujuk kepada sejarah Islam yang terbentang panjang ini berusaha mengembalikan semula seorang muslim kepada sejarahnya yang terkandung didalamnya cara berpolitik, cara berekonomi dan cara beribadah selepas ia terputus semasa kerajaan Turki Uthmaniah.
Bersilat dalam suasana perang politik pada hari ini, tidak semestinya PAS terbawa-bawa atau dilihat sama saja dengan lawannya. Masih lagi PAS dulu kini dan selamanya berpandukan kepada kaedah ilmu fiqh dan matlamat syariah untuk menentukan sempadan antara perkara dasar dan perkara cabang dalam ugama. Bagaimana strategi politik PAS selepas ini akan dilumati sebaik mungkin dalam lingkungan perbendaharaan ilmu dalam Islam yang luas, Insya Allah.
Apakah pula seruan PAS kepada non muslim?...Syariatullah menyatakan Islam ini 'rahmat kepada sekalian alam" yang diterjemahkan kepada "PAS 4 All". Cukup jelas dari posisi dasar dan matlamat yang ingin dibawa. Apa yang banyak menjadi pertikaian kepada PAS sebahagiannya dalam zon cabang iaitu soal pendekatan dalam warna dan rentak yang pelbagai masyarakat di Malaysia. Bukan mudah hendak mengekalkan dasar dan matlamat pada sama, pendekatan mesti menari mengikut rentak terkini.
Justeru, mengikut resmi Pilihanraya Umum, sesebuah parti dilihat baik atau tidak bergantung kepada pendekatannya dan inilah cabaran besar kepada PAS di Sabah khususnya. Merai suasana setempat disamping idealisme politik merentas masa jika dicantum menjadi dinamika pendekatan, sedang diperbaiki dari masa kesemasa oleh ahli-ahli PAS yang komited dan konsisten.
Posted by bayugunung at 1:35 AM 0 comments Links to this post
Tuesday, December 1, 2009
Berjiwa Besar
Selamat Hari Ulang Tahun Perkahwinan kali ke-4 buat abang Nas dan isteri tercintanya Kak Iman. Sepanjang usia perkahwinan keluarga ini telah dianugerahkan 2 orang cahaya mata sebagai penyeri dan khabarnya 'in progres' untuk cahaya mata yang ke-3...mudah-mudahan panjang umur, murah rezeki.
Begitu juga teman-teman seangkatan yang pernah hidup sebujang, tidur sekatil dan makan setalam yang khabarnya sudah sampai seru, selamat melangkah ke alaf baru.
Berkenaan abang Nas, rasanya ada persamaan yang saya berkongsi rasa yang sama dengan beliau. Menjadi seorang petugas sepenuh masa pada zaman penubuhan awal PAS di Sabah tentunya beliau melalui suasana yang begitu berbeza berbanding apa yang saya dan sahabat-sahabat lain lalui sekarang ini.
Ketika PAS masih terlalu asing, menjadi seorang petugas sepenuh masa bukanlah pilihan yang popular bagi sebahagian pemuda. Ketika nama PAS sudah disebut-sebut oleh orang-orang kampung di Sabah ini, masih lagi ada yang segan di panggil 'orang PAS'. Tambah lagi kalau anak harapan keluarganya bekerja dan berprogram untuk PAS, bukan saja mak bapaknya pening kepala, bakal mak mertuanya pun jeling semacam, tergaru-garu kepala. Jangan tepuk dahi sudah.
..asing, memang asing...
Namun, apa sebenarnya yang tidak akan dilalui oleh orang yang punya cita-cita atau jiwa yang besar?..Berdepan dengan musuh sudah semestinya. Dikhianati teman seperjuangan sudah ada terjadi di depan mata. Terasa kesunyian di jeriji penjara sudah banyak berlaku. Terasa kehilangan kerana tidak punya harta itu sudah lumrah. Terasa kerdil, terasa asing dan banyak lagi....
...bukan hal yang biasa-biasa semua itu. Semuanya jauh dari pandangan, malah jauh lebih sukar untuk di mengerti oleh orang kebanyakkan. Kalau mahu perjuangan itu mudah, tentunya Nabi kita Muhammad S.A.W lebih dahulu berdoa supaya Islam ini sekonyong-konyongnya diterima saja oleh orang-orang quraisy. Mudahnya...
Ah..baca sendirilah sejarah tentang tokoh-tokoh besar dunia, atau belek semula buku-buku motivasi tentang orang berjiwa besar. Kuncinya ialah perngorbanan semua. Tuntutan ini bukan kepada seorang dua, tetapi seramai mungkin. Mustahil tokoh-tokoh besar tersebut mampu bertahan tanpa pembantu-pembantu yang sentiasa sedia memberikan bantuan. Setiap orang paling kurang pun berdoalah dengan hati yang ikhlas di hujung solat kalian.
Ya ALLAH, Ya Hayyu Ya Qayyum, Ya Zal Jalali Wal Ikram,
Satukanlah saf pejuang-pejuangmu di jalan Mu ya Allah. Kuatkanlah kaki-kaki mereka. Bantulah mereka dengan tentera-tentera yang KAU pernah turunkan di medan Badar pada masa dahulu, hantarkanlah angin taufan membantu mereka seperti KAU hantarkan ketika perang Khandaq, bantulah mereka dengan tentera-tentera tak terlihat seperti KAU lakukan ketika perang Hunain, jagalah mereka ya ALLAH, sebagaimana KAU menjaga tentera-tentera muslimin ketika Perang Mu’tah. Pertahankanlah mereka ya ALLAH, sebagaimana KAU menjaga RasulMu di medan Uhud.
Ya ALLAH, Ya ALLAH, Ya ALLAH,
Tangan kami pendek tak tercapai ke sana, tanganMu jugalah yang berada di atas kekuatan kesatuan mereka. Bantulah mereka saudara-saudara kami yang sedang berjuang itu ya ALLAH. Bantulah mereka Ya ALLAH.
Posted by bayugunung at 2:25 AM 1 comments Links to this post
Saturday, November 21, 2009
Bukan Benci
Memandangnya berulang kali pun tidak akan jemu-jemu. Pandanglah kesekian kalinya, bahkan hatimu bertambah tenang. Pandanglah lagi langit tuhan, tidak akan kau temui dimana-mana kecacatan.
Dari langit yang biru terbentang ke awan gemawan yang bergumpal indah, bawalah turun pandanganmu ke bumiNya pula. Sebaik-baik ciptaan dan paling menarik rasa kagum iaitu ciptaan bernama manusia.
Seni ciptaan tuhan yang maha halus, dijadikan manusia itu pelbagai rupa, bangsa dan suku-suku agar ia mudah dikenali. Tapi matlamat paling utama dijadikan-Nya perbezaan ini iaitu untuk saling kenal-mengenal, hormat menghormati.
Bencikah saya?
Sejak berpijak di bumi Kota kinabalu atau dulu diberi nama jesselton ini, saya semakin banyak mengenal keunikan kehidupan yang menggambarkan perasaan dan pemikiran yang pelbagai.
Bermula dari Teluk Sepanggar ini, saya bukan sekadar melihat dan mendengar malah merasai keramahan budi dari perbezaan yang pelbagai ini. Ke Inanam sedikit disana ada orang kenamaan yang punya keluarga besar. Masyarakat disitu memanggilnya Ustaz Nahar.
Ian abar nei?... ayat sapaan yang biasa terdengar setiap kali bertemu sesama 'sama' atau Bajau. Walaupun berkulit 'sama', semangatnya tetap untuk Islam berdaulat. Kami meneladaninya.
Turun lagi ke sebelah Kionsom, jauh dihujung sebuah kampung orang Islam yang damai bernama Kg Kobuni.Tidak pernah saya dinilai dengan wang atau harta, asal makmurkan Kg kobuni dengan dakwah itu sudah lebih dari cukup. Ramah dan lembut orang-orang lama menjemput setiap kali saya bertandang, membuatkan saya terasa ingin kembali seperti selalu. Alang-alang berada di Kg. majoritinya Dusun, belajarlah bahasanya.
'Bah, mamanau okupo', setiap kali saya meminta diri. Baru sedikit yang saya tahu, 'aman-aman' di Kg Kobuni sudah cukup puas hati.
'bah, logot-logot kio' mereka membalas.
Bersebelahan Kionsom, tidak berapa jauh iaitu Kg Inanam Laut. Kampung bakal YB DUN Karambunai 5 tahun akan datang ..Jomo Sama?..ayat yang paling banyak disebut setiap kali bertemu adindaku Abdillah Matlin. Saya tidak perlu menjadi 'sama' atau bajau, cukup beliau sebagai cekgu 'sama' saya, Insya Allah beberapa purnama lagi saya akan bertazkirah dalam versi bajau pula...
semberen tu kawin ta dendo sama?, Abdillah suka sangat mengajukan soalan maut setiap kali hendak berpisah. Terkekeh-kekeh saya dibuatnya.
Turun ke Selatan sedikit sebelah Putatan, sahabat-sahabat yang terdiri daripada golongan Ansar & Muhajirin kebanyakkannya terdiri dari tenaga pengajar. Terlalu ramai kalau hendak disebut satu-satu. Antaranya yang banyak menyumbang dalam dakwah iaitu Cikgu Hamid and da geng. Orang lamanya seperti Ustaz Mad Suaid, Ustaz Azman dan lain-lain. Orang mudanya pula bersemangat berkaptenkan Ustaz Azman. Antaranya Ahmad Tariq and da geng. Juga anak tempatan yang mencuri tumpuan dan sedang meningkat naik iaitu Ustaz Akmal...Bilalah saya boleh menyapa Ustaz Akmal, 'Assalamualaikum YB'...
Turun lagi ke sebelah Papar, saya banyak mengenali sahabat-sahabat suku Brunei. Kerana agak kurang 'bekurapak'nya, saya selalu menyakat beliau. Zulzaim kuat keazaman orangnya. Seorang lagi, Naqibah yang cukup disegani diseluruh pelusuk buana ini(cewah), siapa lagi kalau bukan Kak Jannah...kalau bertandang ke rumah beliau beraya, biasakanlah yang muslimin menyahut bila di panggil 'Awang'. Jangan buat tak tahu pula. Itu panggilan mesra orang Brunei ba...auu..
Naik semula ke utara sebelah Tuaran, disana ada bintang bernama Fairuz Bend. Seluruh pelusuk Tuaran kenal akan beliau asbab trade mark 'anak cikgu ben'. Juga mutiara terpendam di Kg Sabandar dan senyuman tawadhuk orang tenghilan Kak Faridah and da geng. Ada saja program berbentuk pengisian ruh Islam untuk anak-anak tempatan di Masjid daerah Tuaran. Melihat mereka istiqomah berprogram, terasa saya masih kurang istiqomah, dan masi kurang keikhlasan berbanding mereka di sana...sleng 'sama' orang tenghilan lebih mudah dari sleng 'sama' kota belud. Itu yang banyak saya belajar dari Fairuz Ben dan Kak Faridah.
Huh, makin teruja saya belajar bahasa Bajau.
Naik lagi ke utara ke lembah berbukit-bukit yang dikatakan 'centre of politic' di sabah iaitu kota Belud, asal-usul suku 'sama'. Sejarahnya banyak tersimpan di dalam kotak memori orang tua-tua disini. Hendak mendapatkannya, kenalah merendah diri duduk lutut bertemu lutut mendengar secara manual. Kota Belud ini juga pernah menjadi saksi pengIslaman beramai-ramai di zaman Tun Mustapa.
Adakah PAS akan muncul lagi di kota Belud pada PRU-13? sejauh mana ukuran kemampuan berdasarkan kekuatan?, jawapannya ada pada Ustaz Mustaqim Aling sebagai terajunya dan di dokong oleh barisan muslimat seperti Kak Soraya, Kak Runa dan lain-lain. Atau masih menunggu seorang lagi bintang Kota Belud yang masih jauh perantauan iaitu Sdr Zulhilmee. Si Fauzi pun apa kurangnya...
"Zulhimee, pesorong kam"
Ke tengah Sabah, betul-betul dibawah Gunung Kinabalu sebuah lembah bernama Kundasang. Lebih kurang 45 minit dari Kota kinabalu jauhnya Kundasang, disana pun ada bintang yang sedang bersinar namanya Azizul Julirin. Sedikit masa lagi, UMNO disana akan tergugat. Cakap orang sebelah kundasang-ranau pula lebih pekat katanya dari mana-mana bahagian di Sabah. Sekali dengar macam pemidato bunyinya. Bagi kawan-kawan semenanjung yang kurang terdedah, mereka kata macam orang indonesia orang Sabah bercakap. Begitu baku dan menepati sebutan tatabahasa sebenarnya. Itulah kelebihannya.
Terus ke sebelah pantai timur iaitu Sandakan dan Tawau. Sleng disana agak berdendang sedikit. Bajau, Bugis, Sungai, Tidong contohnya, ada unsur emosi yang menonjol dalam pertuturan seharian mereka. Dulu di Tawau ada rancangan 3 bahasa, sekarang saya tidak pasti.Apa yang pasti, ia menggambarkan bertapa rukunnya ketiga-tiga suku tersebut dan suku-suku lain di sebelah pantai timur.
Walaupun sesetengah pemudanya mahir dengan sleng tawau, tapi belum tentu boleh berbalas cakap bugis dengan saya. Sayang, kan dakwah akan lebih berkembang dengan menjiwai bahasanya. Apa yang menarik perhatian, anak-anak mudanya lebih kedepan dan berani menggalas tanggungjawab dakwah walau dalam usia muda. Memang 'perform' kata orang sebelah sana. Generasi PERPPISnya sudah bertebaran menabur bakti.
* * *
Makmurnya berbilang-bilang rupa dan bangsa bila dipayungi Rahmat Allah s.w.t. Kacau bilau berpanjangan bila perbezaan ini dirempuh oleh politik tidak bertuhan.
Cukuplah sampai disini dulu. Cukuplah keunikan di Sabah ini yang memang tidak dapat dipisahkan dengan aura kesukuannya yang banyak membentuk perjalanan politiknya. Bukan benci pada lidah yang dianugerahkan fasih bertutur Bajau, Dusun, Kadazan dan sebagainya. Bukan juga benci kepada setiap pembela bahasa dari pupus atau pembela hak peribumi dari dirampas. Pilihan yang akan menentukan benar atau batilnya tindakan yang datang kemudian. Adakah ia alat atau matlamat?...Dalam soal ini Ilmuan Islam telah mewariskan perbendaharan fiqh yang luas sebagai jalan keluar. Selain ini, saya tidak pasti. Selalunya ia menjadi sempit apabila kuasa dan harta sudah digenggaman. Akhirnya yang sudah begitu dekat untuk dicapai malah semakin jauh dan sukar untuk di himpun semula.
Bersusah-susahlah agar Islam itu matlamat tertinggi, tidak ada yang tertinggi melainkan Islam!
Posted by bayugunung at 4:24 PM 4 comments Links to this post
Tuesday, November 10, 2009
Hijau Mentah lagi Hingusan
Hijau Lagi Mentah
Menyentuh tentang orang-orang 'perjuangan', terasa seperti ada hantu-hantu yang membayangi setiap baris kata yang saya tulis. Sehingga saya asyik memerhati kiri dan kanan, sesekali menoleh ke belakang. Mana tidaknya, kalau individu atau gerombolan tersebut sudah tegar berdiri ditengah-tengah gelora ombak politik, masak pula dengan asam garam perjuangan berpuluh tahun.
Ia membawa saya terkenang, kisah anak muda bernama Ibrahim a.s
"Apa yang kau tahu anak muda!..sergah si bajingan kepada sang pendekar. Begitu saya terbayang kisah seorang anak muda yang masih hijau mentah, cuba mencampuri urusan orang tua seperti dalam filem kependekaran Indonesia dulu-dulu.
Nada yang sama ketika Nabi Ibrahim membawa paradigma tauhid kepada orang-orang 'perjuangan' ketika itu. Lalu dengan misai yang dipintal sampai ke hujung, melemparkan pandangan yang tajam menggoncang perasaan. Nabi Ibrahim dipandangnya kerdil sekerdil semut yang sekali tenyeh saja sudah hapus dari dunia ini.
Anak hingusan!!!...Nabi Ibrahim di perlekeh.
Bakar dia!!!..ha,ha,ha...
Mungkin kerana angkuh dengan dengan pengalaman dan kuasa yang dimiliki, tidak disedari bahawa bukan Nabi Ibrahim yang sengaja berani-berani mencabar orang-orang 'perjuangan' ini. Melainkan telah ada jaminan bahawa, kebenaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan nabi-nabi selepasnya adalah dari Yang Maha Esa, dan pertolongan berupa kemenangan bersama-sama pembawa panji kebenaran ini kelak.
Namun begitu bukan semua, orang-orang 'perjuangan' ini berkubur dengan nisan sukunya atau kebangsaannya. Ada yang tunduk dengan hujah dan pemikiran tauhid, tukar kapal lain agar destinasinya menuju ke akhirat yang abadi selamat aman dan makmur.
Pintu Yang Satu

Sukarnya membuat penilaian dalam dunia yang penuh aneka warna ini. Alangkah sukar pula untuk membuat pemisahan yang manakah batil, yang mana kebenaran. Sedar-sedar anda telah terjun ditengah-tengah gegak gempita peperangan. Mahu tidak mahu, anda juga mesti ikut sama berperang. Duduk saja-saja, anda akan mati sia-sia. Persoalannya, kamu berperang di pihak siapa?..
Ada yang mangajak anda, "sertailah kami, kami bukan siapa-siapa, darah keturunanmu juga"..ada yang bersorak, "mari bersama kami, kita kembalikan hak negeri kita". Ada yang berdiri di pentas politik, ada yang memilih jalan bersenjata. Tertarik juga dengan laungan Islam dari satu kumpulan, tapi warnanya menakutkan, 'biru' pekat mata penghuni neraka.
Kamu di pihak mana?
Jika langkah perjuangan mu baru bermula, masuklah dari satu pintu. Pintu itu, pintu yang satu dimana Nabi-nabi terdahulu dan orang-orang saleh masuk melaluinya. Pastikan pula keluar dari pintu yang satu juga.
Jika sudah terlanjur berada ditengah-tengah peperangan, ingat semula dari pintu yang mana satu kamu melangkah masuk. Pintu itu bukan pintu 'kebangsaan', bukan juga yang sewaktu dengannya walaupun indah belaka slogannya, mempersonakan mata memandangnya, jatuh hati melihatnya. Lalu keluarlah dari dunia ini dari pintu keluar yang satu itu, pintu dimana para Nabi-nabi dan orang soleh keluar melaluinya.
Pintu masuk itu ialah kalimah tauhid, tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad itu pesuruhNya dan pintu keluar itu ialah pintu 'Husnul khatimah'. Dari pintu masuk itu sehingga ke pintu keluar itu, jalannya sangat jelas bagi orang yang ikhlas mahu menulusurinya. Carilah jalan yang lurus tersebut dan berjuanglah kerananya.
Jangan di sergah budak hingusan, jangan cemuh budak mentah kerana kebenaran yang dibawa. Kalau itu jalan yang lurus, serahkan dirimu...
Kepada orang-orang 'perjuangan' ini, mungkin tidak mampu saya mempersoalkan besarnya nilai perjuangan mereka ketika ini, cuma yang mampu sedikit nasihat dari anak muda yang hijau mentah, agar kita sama-sama bermula atau kembali ke pintu masuk yang sama dan keluar dari pintu yang satu juga.
Teruskan perjuangan!
Posted by bayugunung at 10:48 PM 2 comments Links to this post

