Pergilah Menuju Bakti, Adindaku


Mencari sebab untuk apa, menulis di blog yang telah lama ditinggal...

Kemahuan sentiasa tercetus setiap kali idea tercipta....Namun, kekuatan belum juga mahu menggerakkan gerak hati lekas-lekas menumpahkan apa saja yang ia mahu.

Kali ini, kemahuan benar-benar kuat untuk mencoret, kerana ada satu dorongan. Dorongan inilah yang menjadi alasan agar perancangan sebelum ini tidak kandas seperti yang sebelumnya.



Saya menerima mesej daripada seorang sahabat, adindaku Muhd Nadir An Nuri memberitahu pemergiannya  menyambung pengajian di Universiti Islam Gaza. Sebelum itu, beliau merupakan mahasiswa di salah sebuah universiti di Syria yang sedang tenat bergolak sekarang.

Jika dia manusia biasa-biasa, belum ke Syria lagi niat sudah di batalkan kerana sebab-sebab yang difikirkan memang wajar untuk tidak kesana. Tapi sehingga ke hari ini, bukan saja dapat hidup di tengah suasana masyarakat, budaya dan muka bumi yang berbeza dengan suasana di tanah airnya, malah mampu memberi sumbangan yang besar kepada umat Islam di sana.

Itulah peribadinya yang saya kenal sejak dulu. Semangatnya, kemahuannya sentiasa membara yang tidak mudah di lemahkan oleh alasan yang remeh temeh kebanyakkan anak muda seusianya. Sewaktu menuntut di UMS dulu, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk pergi jauh ke pedalaman Sabah mendekati masyarakat disini. Hasilnya, lahir anak tempatan yang punya kesedaran Islam.

Peribadi seperti adindaku ini juga yang setengah naqib dan abang-abang tidak berapa selesa. Bukan kerana buruknya atau sebagainya. Malah seriang mendapat label 'keras kepala'(dengan izin), bergerak sendiri, menyusahkan organisasi atau 'terlalu laju' dan lain lain lagi. Saya antara yang dekat dengannya memilih untuk tidak menggunakan label-label seperti itu.

Saya melihat jauh ke dalam dirinya. Apa bakatnya yang terpendam, cuba saya fahami dan selami. Pada masa yang sama saya belajar dari sikapnya, ketekunanya dalam setiap tindakan dan gerak kerja. Ya, memang ada, jika digilap bakat itu akan tumbuh dengan sempurna. Soalnya bagaimana?

Apakah kaedah membentuk jiwa manusia itu sama seperti terbentuknya logam dan bahan bahan pejal? Bentuknya sudah siap, acuannya sudah ada, ikut saja. Atau berikan saja dua pilihan, yang satu hitam dan yang satu putih. Pilihan antara dua sahaja, tiada pilihan lain!?...anda akan merasa sempit memikirknnya.

Membentuk manusia kata cendekiawan perlu ada 'Pedagoginya'. Seorang guru contohnya, melangkah masuk ke kelas dengan pelbagai karenah murid-murid, perlu ada pedagogi. Begitu juga dengan seorang petani, melangkah ke bendang perlu ada pedagogi. Apakah seorang naqib atau senior dalam perjuangan tidak perlu kepada pedagogi?..

Betapa harmoninya, petak petak sawah kelihatan 'HIJAU' kerana sawah padi yang cukup isipadu bekalan air. Air itu pula mengalir dari parit-parit kecil yang dibentuk sedemikian rupa dari tali air utama. Dari sungai di alirkan ke tali air, dari tali air ke parit dan alur kecil, dari alur terus mengalir mengairi petak sawah.  Lihat pedagogi seorang pesawah!...alam mengajar kita sunnatullah.

Boleh saja kaedah hukuman di guna pakai. Apakah pertimbangannya sudah cukup matang? jika belum, kita telah memilih lebih banyak aksi-aksi pertembungan yang natijahnya adalah lemah dan perpecahan. Kesan pukulan, dari 'BIRU' menjadi lebam, bengkak kemudian bernanah.

Pedagogi mengacu keberkesanan tarbiah, seperti sang pesawah menangani derasnya arus sungai, dialirkan ke tali air, dialirkan pula ke alur dan parit kecil akhirnya sampai ke petak yang segar meng 'HIJAU' sawah padinya. Tidak lama lagi kita akan tuai hasilnya, percayalah.

Pergilah adindaku ke medan bakti...kami telah menuai hasilnya, gaza menjadi saksinya. 



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer