Meluaskan Makna Seorang Daie


Saya masih menyimpan cita cita untuk membukukan segala yang tercatat di dalam blog ini. Mungkin suatu hari nanti, bila saya tidak ada lagi di dunia ini, generasi yang akan datang dapat memanfaatkan perjalanan hidup saya yang tidak seberapa ini untuk dakwah.

Setiap orang ada pengalaman masing masing dalam menempuh perjalanan hidup. Mungkin bagi saya, tidak seperti pengalaman orang lain yang mampu pergi jauh ke negara lain dan bertemu pelbagai budaya dan bangsa. Bagi saya, jika ada sedikit pengalaman mengenai sosio politik di bumi bawah bayu ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa sahaja pembaca itu sudah memadai.

Mungkin sudah ramai yang memilih untuk post di timeline facebook masing masing memandangkan ia memudahkan penulisnya. Namun, kebiasaan ada sebahagian penulis hanya mahu memikirkan isu isu yang ringan ringan cuma. Kesannya, terbit pandangan yang bukan dari analisis yang mendalam terhasil. Oleh sebab itu saya memaksakan diri agar menjadi biasa dengan tulisan yang panjang agar proses analisis secara mendalam dapat saya teruskan walaupun masih banyak kekurangannya.

* * *
Sebuah buku yang bertajuk 'Tsaqofah ad Da'ieyah' tulisan Dr. Yusuf Qardawi tidaklah semahsyur buku bukunya yang lain. Tetapi, bila di belek semula pandangan beliau dalam buku ini ia sangat memberi pedoman kepada kita sebagai pendakwah untuk lebih mengenali dan mendekati mad'u kita.

Antara perkara penting yang beliau sebutkan di dalam buku ini iaitu salah satu persiapan seorang da'ie ialah kita mestilah mempelajari dan menguasai ilmu sosio budaya setempat.  Memahami sosio budaya setempat ini tidak sekadar terikat kepada apa yang biasa kita alami setiap hari tetapi juga berupa pemikiran dan kecenderungan masyarakat setempat dalam memahami hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

....Dengan pelbagai isu isu berat yang melanda seperti isu tanah, isu kalimah Allah, isu borneosasi dan lain lain lagi, bagaiman kita menempatkan diri kita dalam memahami bahasa mad'u kita khususnya masyarakat sabah yang mempunyai kepelbagaian budaya dan agama ini. Tentu sekali cara mereka melihat dan menerima isu ini jauh berbeza daripada cara kita melihat. Dan perkara inilah yang mesti menjadi subjek yang perlu ditekuni oleh mereka yang mahu turun ke medan dakwah.

Dalam membina jambatan sebuah perkenalan kepada mad'u kita, perbezaan bukanlah titik yang perlu kita besarkan sebaliknya mencari persamaan terlebih dahulu. Mana mungkin sebuah perkenalan terhasil jika kedua dua pihak melalui jalan berbeda.

***
Puan Jeni sedang memberi penerangan

Bergambar bersama semua audiens anak muda dalam program 'Diskopi'

Malam ini saya bertuah kerana dapat bersama adik adik mahasiswa berbincang santai mengenai isu isu semasa nasional dan tempatan. Tambah meriah lagi kerana bersama kami iaitu Puan Jeni Lasimbang iaitu Ketua Jawatankuasa BERSIH Sabah. Panjang beliau huraikan berkenaan beberapa isu di Sabah yang sangat berkait dengan hak asasi manusia. Beliau juga turut menyampaikan pandangan beliau berkenaan dengan beberapa isu yang pada saya sangat kontra dengan pandangan sebagai seorang muslim.

Namun, seperti yang saya telah sebutkan diatas tadi bahawa mencari titik persamaan ini akan membawa kita kepada jalan yang lebih mudah untuk memahami bahasa masyarakat di Sabah khusunya golongan pertengahan. Dalam bahasa mudahnya, inilah sosio budaya gologan pertengahan masyarakat di Sabah yang turut mengindamkan sebuah 'keadilan dan pembelaan hak' untuk masyarakatnya. Dengan memahami 'bahasa' mereka, ini akan membuka satu jalan yang lebih luas dalam bentuk kerjasama program program kesedaran dan pendidikan hak sebagai rakyat.

Nah, betapa kita telah berjaya sebenarnya membawa dakwah kita ke tengah tengah masyarakat. Tidakkah ini satu permulaan sebuah kejayaan ? ya, terbukti benar apa yang telah di huraikan oleh Dr. Yusuf al Qardawi dalam bukunya 'tsaqofah ad da'ieyah'...

Sebuah lagi buku beliau yang seharusnya menjadi rujukan ahli gerakan Islam iaitu 'Kebangkitan Gerakan Islam, Dari Masa Transisi Menuju Kematangan'. Beliau menggariskan 10 kaedah bagi memastikan setiap perubahan yang ingin di tegakkan tidak terlalu jauh dari realiti dakwah. Antaranya beliau menyebut bahawa transisi mestilah berubah daripada 'retorika kepada aksi dan penerapan'. Maka mesti ada usaha yang serius untuk membawa prinsip dan matlamat dakwah yang dilaung laungkan dalam kuliah kuliah, bilik bilik seminar, dan majlis majlis ke lapangan sebenarnya. Tanpa aksi dilapangan, dunia kita dan dunia mereka sungguh jauh berbeda!

...Dan bagi meluaskan lagi ufuk dakwah ini, saya menyarankan agar semua permasalahan dakwah dilapangan tidak harus dilihat hanya kejahilan ilmu semata. Ada kalanya warna dan bahasanya berubah kepada istilah seperti 'hak peribumi', 'hak asasi', 'borneosasi', 'dasar kabotaj' dan lain lain.

Saya juga berharap agar kita tidak terperangkap dan alergik dengan istilah sosialis, atheis, lalu tenggelam dalam pertarungan istilah yang berlarutan. Sedangkan di sisi dakwah, jalannya sangat mudah dan mesra alam.

Selamat mencuba!









Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer