Nota Ringkas Pasca Muktamar 59


Pasca Muktamar PAS Pusat kali ke 59, saya menjangkakan beberapa perkara yang hangat dibincang sebelum ini akan selesai. Begitulah polemik yang menjadi kebiasaan berlaku disaat saat akhir pemilihan pucuk pimpinan.

PAS Sabah juga saya kira mengambil bahagian dalam muktamar kali ini. Dalam sesi perbahasan ucapan dasar, wakil PAS Sabah ada mengutarakan berkenaan perlantikan calon naib presiden daripada borneo untuk Sabah dan Sarawak. Hal ini bagi memastikan suara dari sabah benar benar menjadi keutamaan di peringkat kepimpinan PAS Pusat.

Umno-Bn sudah hampir tewas sebenarnya di semenanjung. Mujur Sabah menjadi 'talian hayat' kepada mereka dengan kemenangan hampir disemua kawasan Dun dan Parlimen. Faktor faktor seperti pembangunan sangat memberi kelebihan kepada umno-bn dan sebaliknya menjadi satu hambatan kepada Pakatan Rakyat untuk mencipta sejarah pada PRU ke 13.



Pemuda Negeri Sabah



Pemerhatian saya, masih jelas ketidakseimbangan diantara kawasan kawasan yang hadir sebagai perwakilan. Seingat saya usaha untuk mengangkat gerak kerja pemuda ke peringkat nasional telah dimulakan sejak 4 tahun yang lalu. Namun, idea yang telah dilontarkan oleh ketua pemudanya iaitu sdr. Lahirul Latigu masih tidak mampu diangkat oleh hampir kebanyakkan perwakilan kawasan. Hanya beberapa kawasan sahaja yang dilihat mampu menyinggung isu isu tersebut.

Beberapa saranan telah dilontarkan dalam muktamar sebelum ini bagi memposisikan pemuda pas negeri agar dilihat mampu menguasai dan menjuarai isu negeri seperti penglibatan secara langsung dengan isu yang menjadi denyut nadi rakyat Sabah seperti isu tanah, perkara 20, dasar kabotaj, perjanjian 1963, royalti minyak dan beberapa isu kritikal di Sabah. Namun, isu isu seperti ini masih kurang disentuh oleh muktamar pemuda baru baru ini.

Mungkin bagi pemerhatian saya, isu dalaman parti lebih mendominasi suasana muktamar dan menjadikan isu sebenar yang lebih penting dan genting untuk dibahas di letakkan ke tepi oleh perwakilan.

Saya percaya kita semua tahu isu isu berat seperti kes kes penyelewengan hak rakyat yang berleluasa di Sabah. Cumanya, bagaimana caranya agar isu isu ini menjadi satu 'dokumen' dan bukti rasmi kepada penyelewengan tersebut dan valid untuk dikemukakan di mahkamah atau jika tindakan tersebut di cabar oleh pihak lawan. Saya yakin, penguasaan terhadap isu akan menggerakkan mekanisma bantahan rakyat seperti himpunan aman, demonstrasi, memorandum dan lain lain. Sayangnya, isu isu berat ini hanya berlegar di sekitar gadget gadget ahli sahaja.

Penguasaan terhadap isu juga penting kerana ia menjadi satu asas kepada permulaan pembinaan polisi-dasar cadangan yang menepati keperluan rakyat negeri Sabah. Ia bukan kerja mudah.  Polisi-dasar ini perlu mantap isinya, menyeluruh kandungannya dan merakyat cara perlaksanaannya. Melontar isu ke tengah tengah gelanggang bukan semudah itu, yang pastinya mengundang dan membuka medan perlawanan dengan pihak yang satu lagi.

Mampukah kita mempertahankan hujah dengan fakta yang kuat dan kukuh? Mampukah kita berhadapan serangan balas dari pihak lawan yang jauh lebih berpengalaman dalam politik di Sabah ? Kita ada hujah dan fakta, tetapi kita mungkin belum mahir seni tempurnya kerana kurang pengalaman berlimang dengan sepak terajangnya.

PAS Sabah ada seorang dua figura yang boleh berdiri sebaris dengan tokoh politik lawannya dan punya pengalaman yang tidak kurang hebatnya. Sebelum ini kedengaran desas desus mengatakan PAS Sabah masih belum mendapat penghormatan yang sewajarnya daripada rakan rakan pakatannya. Maka langkah sewajarnya perlu diambil tindakan segera. Mahu imej PAS Sabah lebih segar dan bersedia dihormati kawan mahupun lawan? faktor figura sangat penting di catur sebaiknya kerana ia akan menentukan corak perubahan dan menentukan tahap penerimaan masyarakat Sabah seterusnya meruntuhkan tembok lama 'PAS parti semenanjung'.


Negara Berkebajikan Vs Autonomi For Sabah




Masih ada kerisauan dikalangan aktivis mengenai tuntutan autonomi untuk negeri sabah dan beberapa lagi isu yang berkaitan dengan hak rakyat Sabah yang menuntut kerajaan persekutuan bertindak dengan adil. Tuntutan ini menjadi satu suara kesepakatan dikalangan rakan rakan pakatan rakyat untuk diangkat menjadi suara rakyat menuntut hak mereka terhadap kerajaan BN yang memerintah. PAS sabah bagaimana? rasanya belum ada suara yang begitu lantang menuntut hak yang sama seperti yang dilaungkan oleh DAP dan PKR.

Seimbas lalu suara dari tuntutan-tuntutan tersebut seolah olah bertentangn dengan semangat federalisme. Ditambah lagi kenyataan beberapa tokoh lama tempatan yang menuntut hak yang sama sangat keras 'kenegeriannya' dan kurang enak di dengar oleh orang 'malaya'.

Perkara ini harus dimurnikan dengan segera. Tidak perlu timbul kerisauan bahawa jika PAS menuntut hak yang sama, maka kita juga senada dengan parti tempatan seperti Star dan Sapp. Tidak perlu risau terbawa bawa rentak pihak lain. Dokumen buku jingga pakatan rakyat sabah dan dokumen negara berkebajikan lebih memadai dan mencukupi untuk memenuhi tunturan rakyat sabah. Mudahnya, tuntutan tuntutan tersebut adalah huraian kepada kedua kedua dokumen iaitu buku jingga dan negara berkebajikan.


Pasca Konvensyen PAS Sabah

Saya terlewat sedikit tiba di lokasi konvensyen yang diadakan di Tawau. Beberapa kertas kerja yang sempat saya ikuti daripada kalangan akademik membuka pelbagai respon terhadap isu yang dibincangkan. Dalam banyak banyak topik perbincangan itu, soal penerimaan masyarakat sabah terhadap Pas masih menjadi isu yang sering dibangkitkan dalam usaha memenangi setiap pilihanraya umum.

Dalam satu slot pembentangan, antara isu utama kesukaran melarutkan Pas dalam kompleksiti masyarakat di sabah iaitu masih kentalnya ikatan kekeluargaan yang akhirnya menjadi penentu kepada arah sokongan politik. Istilah 'war lord' yang diguna pakai terbukti begitu berkesan meraih undi secara pukal khususnya dikalangan masyarakat luar bandar. Soalnya, apakah ada faktor lain yang boleh memberikan impak yang sama seperti peranan yang dimainkan oleh 'war lord' ini?

Saya lantas mencadangkan, satu satunya faktor itu iaitu golongan agamawan iaitu para ustaz. Golongan ini ada tempatnya disisi masyarakat sabah. Mereka dihormati sama seperti penghormatan kepada 'war lord'. Justeru, keberadaan Dewan Ulama dalam Pas seharusnya digerakkan dengan lebih agresif. Bersediakah Dewan Ulama Negeri Sabah ?

Selain beberapa slot yang penting, saya juga mencadangkan agar wakil dewan pemuda dapat mempersembahkan angka dan alasan yang konkrit. Kritikan itu ada benarnya, namun pendengar tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan dan akhirnya berakhir dengan respon yang agak emosi.

....Seterusnya, kita nantikan pula munaqasyah. Asah hujah, tajamkan idea !







Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer