Secawan Air Panas Tanpa Radix



Saya sedang berhadapan pemandangan pagi yang cantik bumi kundansang. Puncak Gunung Kinabalu pun masih sangat jelas kelihatan dari arah penginapan saya. Sejuknya, hingga memaksa saya memanas air untuk melawan rasa gigil yang menusuk sampai ke tulang. Saya menghirupnya kosong tanpa Radix yang menyelerakan. Kundasang ini kampung adindaku Azizul Julirin, orangnya nampak 'cool' saja se'cool' kampungnya ini.


"Seperti muka orang cina orang dusun ini ya, tapi nampak lembut sikit", kata sahabat saya.


"mungkin kerana cahaya iman agaknya", beliau menambah lagi. Saya membiarkannya bermonolog seorang diri.


Kes yang sama, semasa dikampus dulu seorang rakan sekuliah saya yang pertama kali datang ke Sabah mengadu rasa hairannya tentang pelajar Sabahan. Katanya, dia agak terkejut apabila memberi salam kepada sesetengah pelajar Sabahan, dibalas dengan 'salam sejahtera' bukan dengan 'wa alaikum salam'. Bersungguh-sungguh beliau meminta penjelasan daripada saya mengenai pengalaman yang baru dilaluinya. Saya pun memulakan panglipurlara mengenai sejarah suku-suku di sabah ini.


Pada satu ketika, beliau agak keliru apabila saya mengemukakan pandangan berkenaan hal ehwal suku kaum di Sabah dari sudut pandang perundangan yang wujud dan sudut pandang kebanyakkan tulisan berbentuk kajian ilmiah. Isu 'konotasi' bangsa mengikut laras bahasa sabahan berbeza daripada apa yang difahami oleh rakan-rakan semenanjung. Adakah itu kesan daripada perundangan atau kesan daripada kajian ilmiah?..sebelum beliau mengalami kekeliruan tahap bahaya.....


"Kalau disemenajung cuma ada 3 bangsa, disini ada 62 suku kaum", saya menutup panglipurlara pada petang itu.





Kes lain ketika meraikan jemputan daripada Sdr Vincent Lee, Pengerusi Kelab Penyokong (kaum cina) Pas Pusat. Sebelum sampai ke Sabah, beliau singgah sekejap di Sarawak. Kata beliau, pendekatan politik di Sabah dan Sarawak kena banyak berbeza daripada Semenanjung. Beliau sendiri melalui pengalaman bertandang ke Sabah, mencadangkan beberapa saranan yang baik kepada PAS keseluruhannya dalam suasana yang ada dengan situasi kelab penyokong yang semakin mendapat sambutan dari masa ke semasa.


Saya mula terbayang, sekiranya kelab penyokong di Sabah ini betul-betul mendapat sambutan, alangkah ramainya ahli yang terdiri daripada 62 suku-suku kaum di Sabah. Itu belum kira cawangan lagi, tentu lebih meriah daripada semenanjung. Soal relevan atau tidak, itu bergantung kepada pendekatan yang dilaksanakan. Pendekatan yang bagaimana yang dapat memecahkan dinding pemisah antara kita dan suku kaum yang menjadi sasaran. Samada kelainan atau kelebihan, pendekatan kebajikan perlu di kembangkan lagi kerana ini merupakan jalan mudah untuk masuk Islam kepada golongan sasaran ini, walaupun memangkah PAS belum tentu lagi. Bezanya daripada semenanjung, memangkah PAS belum tentu mahu masuk Islam.


Lagi sedikit kelainan tentang sesetangah masyarakat Sabah yang agak lucu, anda jangan terkejut kalau ternampak seorang anak muda memakai 'kopiah PAS' tapi bajunya 'pergerakan pemuda UMNO'. Sesetangah surau atau masjid, Safnya nampak seperti 'orang PAS' dengan serban dan jubahnya, betapa melesetnya jika anda berpandangan seperti itu. Itu mungkin AJK UMNO Bahagian!


Namun jauh di sudut pemikiran, saya melihat realiti diatas bukan sekadar bahan senda gurau, kerana ia merupakan suasana yang terbentuk oleh respon mereka terhadap aktivis dakwah-politik yang digerakkan sebelum ini. Berusahalah, mungkin mereka belum ketemu ruh sebenar untuk kopiah, serban dan jubah yang mereka pakai itu. Bila masanya telah tiba, mereka akan berkata "kalau aku tahu, lama sudah aku masuk PAS".......


...Jangan tunggu perubahan datang, tetapi jadilah orang yang akan membuat perubahan

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer