PTI versi baru ?



Banyak-banyak hal yang mengundang resah apabila bercakap mengenainya di Sabah, itulah dia isu Pendatang Tanpa Izin atau PTI. Dari sembang di warung-warung sampai lah ke perbahasan di parlimen, ya ampun.... tiada yang tidak menghiris perasaan setiap pembaca. Tidak kiralah tuduhan tersebut sama ada yang peribumi dikatakan pemalas dan yang pendatang dikatakan perampas hak, semuanya menjadi perbahasan yang begitu hodoh.

Beza dengan tuntutan royalti minyak 20%, isu ini cuma berlegar di peringkat atasan. Mungkin kerana hanya mereka yang tahu kemana dan dimana peratus agihan minyak itu mengalir, maka satu kesilapan besar jika tempayan untuk menadah tidak disediakan.


Sebelum ini



Sama ada ia strategi politik atau bukan, pelbagai bahan dan bukti telah dipaparkan mengenai benarnya pemalsuan IC dan bagaimana PTI ini juga dilihat sebagai satu modal besar pada setiap kali pilihanraya menjelang tiba. Pada satu pihak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada PTI akibat masalah yang ditimbulkan manakala ada pihak lain mengambil peluang ini 'memangsakan' PTI sebagai alat mencapai kemenangan pada pilihanraya dengan apa cara sekalipun.


Andainya, isu PTI ini hanya dilihat dari satu aspek sahaja, tanpa mempertimbangkan aspek yang lebih luas, ada kemungkinan polemik ini akan berterusan dan wajah PTI akan terus kekal dengan sisi gelap yang seakan-akan mahu menarik kita semua mengenepikan soal sejarah, kehidupan dan ugama itu sendiri.


Adakah ini satu lagi bentuk toleransi dari sekian banyak toleransi yang memberikan lebih banyak ruang hak dan ketuanan peribumi Sabah terus di cerobohi?

Atau ia satu penafsiran semula kepada isu PTI yang membawa kepada penafsiran semula yang lebih harmoni sifatnya terhadap kepelbagaian suku-kaum di Sabah ini disamping hak-hak peribumi terus terpelihara?


..mampukah kita mendepani cabaran ini?


Meneliti perkembangan yang berlaku, tidak ada satu sampel yang jitu bahawa PTI merupakan punca utama kepada masalah dan tidak dapat dinafikan hujah bahawa segala-galanya juga berakar umbi daripada nilai yang melatari sistem pemantauan yang lemah yang menelurkan lebih banyak masalah.


Seperti resahnya pembaca dengan perbahasan mengenai PTI ini, saya fikir perkara yang sama juga berlaku apabila ada suara mendesak kepada penafsiran semula. Apa jaminan?

Sehingga ke hari ini, sebut saja PTI semacam tiada istilah kompromi kepada individu tertentu. Semua perbincangan mengenainya akhirnya menuju satu lorong yang berakhir dengan idea yang tepu!


PTI cuma satu wajah???



Selepas Ini


Saya tertarik dengan idea yang dikemukakan oleh Ketua Penerangan PAS Sabah merangkap YDP PAS Kawasan Keningau, Sdr Hisamudin Sulaiman berkenaan tawaran PAS yang akan menjadi salah satu manifesto PAS pada PRU yang akan datang.

Secara jelasnya beliau menyebut, PAS melihat perkara ini sebagai isu yang boleh diselesaikan secara serampang dua mata.

Secara umumnya, isu PTI ini boleh dikenal pasti berdasarkan tiga keadaan iaitu individu yang lahir di Sabah, individu yang masih terapung-apung kewarganegaraanya dan individu yang berniat untuk masuk ke Sabah.

Individu yang memang lahir di Sabah kata beliau, golongan ini mesti diberikan hak kewarganegaraan setelah benar-benar layak mengikut peruntukkan yang ada.

Kedua, golongan kewarganegaraan terapung ini mesti diselesaikan secepat mungkin kerana mereka ini juga mampu menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai dan sebagainya.

Ketiga, individu yang baru masuk ke Sabah, golongan ini tidak dapat tidak mesti dihantar semula atau tidak diberi kebenaran masuk kecuali mengikut saluran yang disediakan. Langkah ini bukan kerana sentimen apa-apa, tapi sebagai langkah mengelakkan mereka menjadi mangsa kepada keadaan dan sudah pasti mereka akan menjadi mangsa kepada kemiskinan, setinggan atau si petualang rakuskan kuasa undi.

Saya tidak menyentuh pelbagai lagi aspek lain yang lebih teknikal sifatnya, cukup sekadar idea yang dikemukakan diatas sebagai satu titik permulaan kepada usaha penyelesaian yang lebih lunak dan cuba untuk keluar daripada persepsi buruk 'mengusir' saudara seakidah ini. Idea ini mesti disambut dan diperkemas oleh ahli PAS.


Kembali Kepada Sistem


Islam menawarkan bentuk penyelesaian secara menyeluruh, tidak berpilih-pilih atau dalam juzuk-juzuk tertentu sahaja. Bermakna ia merangkumi satu unsur kepada unsur yang lain sehingga ia mencipta satu sistem yang lengkap dan saling berkait.

Memilih atau menjuzuk-juzukkan sistem yang lengkap ini, bermakna menjadikan manusia sebagai mangsa kepada sistem-sistem ciptaan manusia yang sudah pasti banyak cacat celanya. Mengambil cuma sebahagian sistem ilahi, merupakan kecacatan kepada aqidah dan iman seorang muslim. Sebelum kecelakaan tertimpa kepada seseorang dalam apa jua bentuk dan namanya (PTI, Rasuah, dll..), terlebih dahulu lihat kepada sistem yang diperjuangkan kerana ia merupakan faktor yang paling utama dalam menentukan nilai kehidupan seorang manusia.


Kembali kepada sistem.....


Cuma yang perlu sentiasa diperjelaskan iaitu, bagaimana sistem 'rahmatal lil alamin' yang luas ini mahu di lipat kemas dan cantik agar sesuai dengan setiap sudut bumi yang bernama Sabah. Saya sarankan agar perbincangan ini dipanjangkan di ruang lain yang lebih intelektual sifatnya.


...Satu percubaan, terimalah seadanya...

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer