Sebelum ke Medan Sebenar


Keputusan sudah diketahui, siapa pemenangnya. Galas dan Batu Sapi adalah diantara beberapa siri keputusan yang kita terima keadaannya, samada kalah atau menang. Namun seperkara yang kita syukuri adanya jika kita menang. Jika kita menang, syukur kita bertambah, nikmat kemenangan begitu manis dikecapi kerana ianya dengan cara yang diredhai Allah. Jika kita kalah, ia tidak pernah membuat kita rasa lemah lantas membangkitkan kekuatan untuk terus memburu kemenangan di hari muka.

Hampir 2 minggu berkampung di Sandakan. Bermula dengan HEMPAS ke PRK Batu Sapi, keluar sekejap dari hidup kebiasaan harian untuk memastikan fokus kepada misi membangkitkan kekuatan rakyat menjelang PRU-13 nanti. Hari ini sudah kembali kepada rutin harian, yang ujiannya saya rasa lebih berat dari PRK Batu Sapi. Mesti kaya seperti orang lain, mesti berharta seperti orang lain, mesti senang macam orang lain. Jika tidak, kita akan nampak ganjil dimata orang. Walaupun mungkin atas alasan 'amanah', berapa ramai yang mampu menerimanya atau sekurang-sekurang memahami cabarannya. Kepada Allah jua kita bertawakkal.


Kalah yang Memberi Erti

Saya kagum dengan komitmen yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang terpaksa mengambil cuti untuk bertugas di Batu Sapi. Jika berkenderaan dari sebelah Kota Kinabalu, perjalanan ke Sandakan mengambil masa sekitar 6 jam. Saya dan beberapa lagi petugas sepenuh masa pilihanraya, ada masanya memberi keutamaan kepada aktiviti yang lebih asas dalam pilihanraya. Untuk menggerakkan semua program diperingkat optimum bergantung kepada petugas dan sumber kewangan, dan disinilah masalah utamanya.

Ada yang berkata, 'mujur bukan kita yang bertanding'. Dengan tenaga yang serba kekurangan, kewangan yang tidak mengizinkan menuju ke medan perang, kita lebih akan lebih cepat menuju ke jurang kekalahan. Yang optimis pula berkata, 'kalau begitu sampai bila-bila pun kita tidak akan ke medan perang kalau mahu tunggu semua tersedia? Kezaliman sudah didepan mata!......Buntu seketika....Kedua-duanya ada alasan yang boleh diterima, namun untuk menolak lantas meninggalkan salah satu daripadanya bukan masanya lagi.

Sehingga tibanya PRK Batu Sapi, kita tidak tahu setakat mana kemampuan kita dari sudut jentera dan kemampuan kewangan. Tanpa jentera yang tersusun rapi dan terorganisasi, kekuatan kuantiti yang ada hanya akan terbazir sia-sia. Mahu teruskan juga, itu mungkin bukan lagi diatas pertimbangan yang rasional. Akan terdedahlah pasukan kepada tipu daya musuh, paling tidak dilihat oleh orang 'macam mau nda mau'. Ala kadar saja. Sekadar Ibadah???

Kadang-kadang atas kekurangan jentera itu kita khuatir pula dijadikan alasan. Kezaliman yang sudah memuncak, pembodohan, rampasan hak, penyelewengan yang berleluasa berlaku didepan mata namun tidak ada upaya melakukan sesuatu. Cukupkah dengan hanya menegur dalam hati!..itu tidak seharusnya ada pada seorang ahli gerakan. Mengapa begitu lemah berhadapan juak-juak kebatilan?..seperti takutkan anjing, semakin kita berlari semakin galak ia mengejar. Begitulah mereka.

Nampaknya kedua-dua perkara diatas perlu saling berkomunikasi. Organisasi perlu digerakkan untuk menjalankan tugasnya sebagai gerakan dakwah yang berinteraksi dengan jerih payah umat. Batu Sapi telah membuka hubungan dan memecah tembok halangan terhadap madu. Terserah kepada jentera Batu Sapi apa yang perlu dilakukan selepas, jika benar-benar Sekong mahu ditawan. Tidak ada alasan lagi kita belum dikenali atau dipandang kerdil kerana terbukti kita ada tokoh yang dihormati lawan. Kebanyakkan responden yang ditemui juga mengabsahkan mahu PAS yang bertanding!

Hakikatnya di Batu Sapi, kitalah yang bertanding. Itulah jentera kita, gerakkerja kita, kekuatan kita, kekurangan kita, strategi kita pada PRU ke-13 nanti. Memang bukan calon kita yang bertanding, tapi inilah medan latihannya sebelum turun ke medan tempur yang sebenar. Tidak ada ruginya kita berhabis-habisan, kerana itulah kita dapat mengukur kekuatan sebenar jentera kita dan apa yang perlu dipertingkatkan. Apakah anda sudah dapat apakah makna kekalahan ini?...besar maknanya buat kita semua!



Sepetang di Batu Sapi

Saya sempat melewati beberapa peti undi yang ada ditemani sebuah kamera 'berkuasa tinggi' jenama 'pinjam'. Tidak hairan kalau ada orang kagum dengan jentera PAS membantu kerja-kerja meraih undi, macam calon PAS yang bertanding. Basah kehujanan pun masih tetap tidak berganjak meraih.



Kadang-kadang terkesima dengan peraih undi wanita Umno yang terpekik melolong tidak menentu. Aku jadi malu, tambah yang berkelakuan begitu sudah masuk pangkat makcik!..kadang-kadang lucu, melihat muslimat yang kebanyakkanya nampak kekok meraih undi. Mungkin kena ada kursus latihan merai undi selepas ini untuk jentera muslimat.


Sekadar gambar hiasan...

Peraih undi dari ketiga-tiga parti tidak kisah bercampur sesama peraih undi yang lain. Inipun lucu juga. Nampaknya sentimen parti di Sabah ini belum cukup kuat lagi. Ditepi peraih undi Bn, ditengah peraih undi wanita keadilan, berselang seli dengan peraih undi SAPP. Kalau di Semenanjung, silap haribulan masuk ke kem lawan alamat panas telinga sampai ke petang.

Petang itu hampir ke maghrib, keputusan kekalahan mungkin sudah nampak tanda-tandanya..Saya demam, demam kalah agaknya...Innalillah

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer