Jika Mereka USIA dan USNO Yang Dulu

Satu ketika saya diberi peluang untuk membentang kertas kerja berkenaan peranan Gerakan Islam dalam memartabatkan pendidikan Islam...Ia memang satu pengalaman yang baru bagi saya, tambahan pula isi yang hendak disampaikan itu berlatar belakangkan sejarah di semenanjung.

..Dan sayalah pembentang paling pantas dikalangan pembentang yang lain. Mengambil masa 10 minit sahaja, mungkin kerana sejuknya kundasang ketika itu.

Dalam masa yang singkat itu, saya mengambil beberapa baris ayat daripada isi kandungan kertas kerja kemudian membuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Sabah.

Saya cuba mencari sebuah blog kepunyaan USIA yang memaparkan mengenai penganugerahan tokoh kepada beberapa individu penting yang berjasa dalam penyebaran Islam di Sabah. Penganugerahan tersebut agak menarik minat kerana diberi penghormatan sebagai 'anugerah tokoh pemimpin gerakan Islam' tidak silap saya. Alhamdulillah, disini saya selitkan.



Anugerah tersebut mungkin satu perkara yang elok juga untuk kita selidiki bagaimana apa yang mereka katakan tentang gerakan Islam itu melaksanakan tugasnya seperti mana gerakan Islam yang kita kenali pada hari ini.

Apakah asas gerakan Islam itu memang sudah ada sebelum Parti Islam Se-Malaysia masuk ke Sabah pada sekitar tahun 1980 ?

Bolehkah dikategorikan pertubuhan seperti USIA dan USNO adalah terjemahan kepada perlaksanan gerakan Islam syumul yang terpisah secara entiti ketika itu?...USIA adalah tangan dakwahnya dan USNO adalah tangan politiknya?

Pada saya, iya. Kemahuan umat Islam dan beberapa tokoh kepimpinan muslim ketika itu untuk melaksanakan Islam ke peringkat yang lebih tinggi memang sudah ada seperti apa yang diusahakan oleh Tun Datu Mustapa dan rakan-rakan beliau.

Pada satu tahap, perkembangan Islam di Sabah nampak begitu rancak dengan syiar Islam dan meningkatnya populariti muslim sehingga ke tahap Sabah mengisytihar agama rasminya ialah Islam. Sudah tentu ia satu perkembangan yang sangat membanggakan kita.

Sampai ke satu tahap, graf perkembangan tersebut tidak dapat melonjak lagi, sebaliknya mengalami fasa kemerosotan yang sangat membimbangkan. Fasa inilah yang saya dan generasi akan datang sedang lalui sekarang ini. Semuanya berpusing, dari peng Islam beramai-ramai riuh sekampung bertukar kepada pemurtadan beramai-ramai secara senyap-senyap!

Perkembangan ini harus diselidiki kembali. Sungguh bernaskah apa yang pernah dilontarkan oleh arkitek gerakan Islam Almarhum Dr. Fathi Yakan, akan tiba satu masa sebuah kepimpinan itu tidak mampu lagi ke tahap yang seterusnya, maka sampai masanya tunas-tunas baru kepimpinan menyambung tugas kepimpinan yang sebelum ini.

Mahukah dikenang oleh anak cucu kita, sekadar jatuhnya USNO kerana rakyat menolak kepimpinannya dan USIA yang terpalit dengan bermacam-macam tohmahan yang tidak sedap didengar telinga?

Ayuh, kita himpun semula perjuangan yang berserakan di sepanjang perjalanan perjuangan Islam di bumi Sabah ini. Mari kita susun ia dalam bentuk yang teratur semula, yang mampu mencabar dan mengharungi liku-liku perjuangan walau besar mana si zalim itu. Kita himpun ia dalam bekas yang bersih agar benar dan jelas matlamatnya untuk Islam.

Mungkin kita asyik dan kagum dengan fizikal sebuah kejayaan, tetapi kita lupa mengisinya dengan ruh perjuangan yang sejati. Hari ini dalam kenangan sebuah kejayaan di bumi bawah bayu yang tanpa tarbiah yang terlaksana dalam bentuk Usrah, Tamrin, Liqo' dan sebagainya akhirnya tersungkur di tengah jalan. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya agar ia kembali hidup menyambung semula tugasnya sebagai pewaris perjuangan para Rasul Anbiya'.

Saya mengajak teman-teman yang memilih USIA sebagai landasan perjuangannya, agar meneliti kembali titik kelemahan ini jika mahu USIA kembali bernafas dengan wajah dan semangat baru. Saya yakin teman-teman di USIA masih mempunyai harapan yang besar untuk melihat USIA kembali gah seperti dahulu.

Begitu juga dengan pejuang-pejuang lama USNO, yang beriya-iya mahu menghidupkan kembali jasad USNO dalam gelanggang politik, selami dan hayati kembali landasan menuju misi yang hendak dicapai..Jika benar mereka mahukan Islam, mengapa sampai terbabas?

Lupakan dulu soal apa warnanya, hijau atau bulan purnama, samada semenanjung atau sabahan. Tapi lihat soal prinsip, kepimpinan, matlamat yang jelas dan dinamika menghadapi perubahan zaman. Masihkah kita mahu bermain sentimen-sentimen diatas, sedangkan anak cucu kita semakin jauh dari agamanya, dirampas haknya, ketinggalan pemikirannya dan rendah jatidirinya?

Peliknya orang yang mahukan Islam tetapi menolak dasar dan prinsipnya!


Tunas baru gerakan Islam di Sabah sudah tiba, usah ragu-ragu lagi untuk bersama membantu dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.



Renung-renung, fikir-fikirkan jika mereka USIA dan USNO yang dulu.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer