Andai Ada Ganti

Catatan Dari Kelantan

Pulang dari Kelantan, masih terkenang-kenang suasana Legeh biarpun udara Kota Kinabalu sudah memenuhi ruang nafas. Sahabat saya yang juga teman seperjuangan di bumi dakwah ini iaitu Ustaz Mohd Zaidi Al Kinabatangi merupakan anak Legeh yang terus gagah tidak ditimpa jemu atau undur kebelakang menyahut cabaran perjuangan. Mungkin beliau tidak seperti orang lain, cukup waktu tertentu yang singkat, maka sekadar itulah sahaja bakti untuk anak tempatan.


Di Legeh, saya beruntung kerana serba sedikit dapat menyelami suasana politiknya kerana orang Kelantan dikatakan mempunyai politik yang agak lembut. Senyap-senyap ke Pilihanraya, entah siapa yang akan naik jadi YB dan siapa yang akan turun. Tambahan yang menarik, orang kampung ketika duduk bersarapan pagi selain nasi lemak, mereka juga menjamah pisang goreng politik sambil menghirup kopi 'o' panas.


Katanya, YB disini kalau nak menang pilihanraya akan datang kenalah jadi seperti salah seorang orang kampung disini. Itulah sebabnya Mustapha Mohamad bila turun bersama orang kampung, beliau menukar penampilan diri dari kereta mewah kepada motor kapcai, seluar slek kepada kain pelekat. Bersalaman penuh mesra dengan senyuman kepada orang kampung. Pendek kata, rakyat sudah sampai ke tahap memiliki kuasa untuk menentukan siapa yang naik dan siapa yang turun pada PRU yang akan datang. Silap cara pakai pun gulung tikar YB kita!


Melihat suasana itu fikiran saya melintas jauh ke Sabah. Walaupun menoreh pokok getah yang sama, membaja sawah padi yang sama, mengail ikan cara yang sama namun tidak semudah itu orang kampung disini digula-gulakan, dipancing atau disuap dengan tipu daya menjelang Pilihanraya nanti. Kalau dapat sehingga rakyat sabah pun boleh menentukan siapa pemimpin yang akan dinaikkan atau diturunkan, akan berlakukah keadaan seperti itu?...masa, tenaga, pengorbanan.........sekali lagi ditagih untuk sebuah perubahan.


Dan anak kebanggaan Legeh diperantauan teruskan langkah juangmu!



Kepulangan Yang Tersurat


Kepulangan saya dari Kelantan rupanya riang berganti suram. Seorang yang bergelar ayah, mentor, pendakwah atau panglima di medan perang telah pergi, redha dengan utusan dari langit yang tidak dapat di undur atau dimajukan walau sesaat.


Ketika kemenangan seolah-olah bergema diangkasa, tiba-tiba pemergiannya bagai merentap segalanya. Apakah itu satu kehilangan yang biasa-biasa saja? Mungkin tidak bagi seorang isteri dan anak-anak yang masih memerlukan kelibat seorang ayah. Malah terlalu berat untuk sebuah kisah perjuangan yang panjang dan berliku-liku. Nabi s.a.w pernah merasainya, para sahabat pernah merasainya dan tibalah masanya kita pula yang melalui ujiannya. Seperti galaunya perasaan atas pemergiannya, begitu jugalah sebanyaknya doa dipohon moga diberi kekuatan, Istiqomah dalam perjalanan.



Daie yang tiada ganti


Dari seorang Isteri yang kehibaan
Dari seorang anak yang kehilangan
Dari teman-teman yang merelakan
Dari sanak saudara yang menangisi
Dari sahabat-sahabat yang tidak putus berdoa
Dari perjuangan yang menagih lagi pengorbanan
Dari musuhnya yang tersenyum kepuasan
Dari langit yang menyampaikan perintah-Nya
Maka sempurnalah sebuah pemergian seorang insan
moga damailah dikau disana


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer