Pergilah Menuju Bakti, Adindaku


Mencari sebab untuk apa, menulis di blog yang telah lama ditinggal...

Kemahuan sentiasa tercetus setiap kali idea tercipta....Namun, kekuatan belum juga mahu menggerakkan gerak hati lekas-lekas menumpahkan apa saja yang ia mahu.

Kali ini, kemahuan benar-benar kuat untuk mencoret, kerana ada satu dorongan. Dorongan inilah yang menjadi alasan agar perancangan sebelum ini tidak kandas seperti yang sebelumnya.



Saya menerima mesej daripada seorang sahabat, adindaku Muhd Nadir An Nuri memberitahu pemergiannya  menyambung pengajian di Universiti Islam Gaza. Sebelum itu, beliau merupakan mahasiswa di salah sebuah universiti di Syria yang sedang tenat bergolak sekarang.

Jika dia manusia biasa-biasa, belum ke Syria lagi niat sudah di batalkan kerana sebab-sebab yang difikirkan memang wajar untuk tidak kesana. Tapi sehingga ke hari ini, bukan saja dapat hidup di tengah suasana masyarakat, budaya dan muka bumi yang berbeza dengan suasana di tanah airnya, malah mampu memberi sumbangan yang besar kepada umat Islam di sana.

Itulah peribadinya yang saya kenal sejak dulu. Semangatnya, kemahuannya sentiasa membara yang tidak mudah di lemahkan oleh alasan yang remeh temeh kebanyakkan anak muda seusianya. Sewaktu menuntut di UMS dulu, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk pergi jauh ke pedalaman Sabah mendekati masyarakat disini. Hasilnya, lahir anak tempatan yang punya kesedaran Islam.

Peribadi seperti adindaku ini juga yang setengah naqib dan abang-abang tidak berapa selesa. Bukan kerana buruknya atau sebagainya. Malah seriang mendapat label 'keras kepala'(dengan izin), bergerak sendiri, menyusahkan organisasi atau 'terlalu laju' dan lain lain lagi. Saya antara yang dekat dengannya memilih untuk tidak menggunakan label-label seperti itu.

Saya melihat jauh ke dalam dirinya. Apa bakatnya yang terpendam, cuba saya fahami dan selami. Pada masa yang sama saya belajar dari sikapnya, ketekunanya dalam setiap tindakan dan gerak kerja. Ya, memang ada, jika digilap bakat itu akan tumbuh dengan sempurna. Soalnya bagaimana?

Apakah kaedah membentuk jiwa manusia itu sama seperti terbentuknya logam dan bahan bahan pejal? Bentuknya sudah siap, acuannya sudah ada, ikut saja. Atau berikan saja dua pilihan, yang satu hitam dan yang satu putih. Pilihan antara dua sahaja, tiada pilihan lain!?...anda akan merasa sempit memikirknnya.

Membentuk manusia kata cendekiawan perlu ada 'Pedagoginya'. Seorang guru contohnya, melangkah masuk ke kelas dengan pelbagai karenah murid-murid, perlu ada pedagogi. Begitu juga dengan seorang petani, melangkah ke bendang perlu ada pedagogi. Apakah seorang naqib atau senior dalam perjuangan tidak perlu kepada pedagogi?..

Betapa harmoninya, petak petak sawah kelihatan 'HIJAU' kerana sawah padi yang cukup isipadu bekalan air. Air itu pula mengalir dari parit-parit kecil yang dibentuk sedemikian rupa dari tali air utama. Dari sungai di alirkan ke tali air, dari tali air ke parit dan alur kecil, dari alur terus mengalir mengairi petak sawah.  Lihat pedagogi seorang pesawah!...alam mengajar kita sunnatullah.

Boleh saja kaedah hukuman di guna pakai. Apakah pertimbangannya sudah cukup matang? jika belum, kita telah memilih lebih banyak aksi-aksi pertembungan yang natijahnya adalah lemah dan perpecahan. Kesan pukulan, dari 'BIRU' menjadi lebam, bengkak kemudian bernanah.

Pedagogi mengacu keberkesanan tarbiah, seperti sang pesawah menangani derasnya arus sungai, dialirkan ke tali air, dialirkan pula ke alur dan parit kecil akhirnya sampai ke petak yang segar meng 'HIJAU' sawah padinya. Tidak lama lagi kita akan tuai hasilnya, percayalah.

Pergilah adindaku ke medan bakti...kami telah menuai hasilnya, gaza menjadi saksinya. 



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Melangkah Menuju Kemenangan



'Melangkah menuju kemenangan'...Inilah slogannya yang menggegar. Gambaran besar kepada cita-cita pemuda untuk mengangkat tinggi perjuangan Islam di persada politik negeri Sabah. Slogan ini juga adalah garis panduan kepada gerak kerja pemuda pada fasa seterusnya.

....Saya tiba agak lewat kali ini ke muktamar Pemuda Negeri. Semalaman saya menemani rombongan dari kerajaan negeri kedah, menjadi pemandu pelancong sekitar kundasang-ranau.

Niat untuk mencoret dalam blog yang sudah bersarang labah-labah ini, akhirnya tercapai juga. Mungkin tak sempat-sempat kerana tugasan sebagai mudir muda yang masih setahun jagung, namun sudah ditaklif dengan amanah yang sangat mencabar...ada sahabat berkata, 'jarang betul ada mudir yang masih muda macam kamu. biasanya tua-tua tu baru jadi mudir'..

Tahniah Pemuda!

Sebelum membaca isi ucaptama Ketua Pemuda, Sdr Lahirul Latigu, saya sememangnya sudah berpuas hati dengan pencapaian pemuda ketika ini. Tidak lagi sibuk mencari kesalahan ejaan atau hal-hal yang remeh walaupun ianya penting, tetapi yang lebih bermakna iaitu saf pemuda ketika ini telah mencapai dan menepati komitmen kepada rakyat seperti keputusan semua dalam muktamar sesi lepas.

Ucaptama kali ini hanyalah pengabsahan kepada pencapaian pemuda sebelum tibanya muktamar. Antara pencapaian yang saya maksudkan iaitu kita telah berjaya meletakkan nama Pemuda PAS itu sendiri sebaris dengan teman-teman Pakatan yang lain. Kita juga diberi kepercayaan untuk memimpin Pemuda Pakatan pada sesi kali ini. Selangkah lagi, pemuda PAS membuka dan melebar perjuangan. Menjawab dan menghapus persoalan dan kesangsian.

Masyarakat Sabah sudah melihat dan yakin bahawa Pemuda PAS adalah pilihan rakyat untuk mendokong aspirasi negeri ini, kerana penglibatan pemuda yang tidak berbelah bagi dalam pelbagai isu yang melibatkan kepentingan rakyat negeri ini. Tahniah Pemuda Negeri!

Luar & Dalam

Tidak mahu selesa dengan apa yang ada, saya fikir pemuda perlu melihat secara lebih halus dan objektif perancangan seterusnya. Ya, kita berjaya mengangkat nama Pemuda diluar sana, apakah mobilasi organisasi dalaman juga turut maju kehadapan mencapai objektif masing-masing?. Jangan hanya bersandar kepada 'untung' ketua pemuda sahaja. Kita adalah sebuah organisasi, bukan individu tertentu. Kita tidak seharusnya hanya bertumpu kepada isu populis, tetapi juga isu-isu yang berbentuk pendidikan dan kebajikan yang tidak mengabaikan kepentingan semua rakyat.

Kebangkitan Anak Muda Sabahan

Antara isu yang juga seharusnya diberi perhatian iaitu kebangkitan anak muda Sabahan. Biarlah saya 'penat' dengan kerenah orang-orang lama, yang penting jangan kita terlepas golongan mudanya. Kerana terbukti disepanjang zaman bahawa golongan muda inilah yang mendokong 'perubahan'.

Saya menghormati keputusan perwakilan berkenaan apa juga langkah yang telah diputuskan. Lontaran pandangan ini, hanyalah sekadar alternatif jika pun ada manfaatnya. Bicara soal ini, saya masih ingat kepimpinan pemuda yang lepas, saya sebagai ahli merasa bahawa idea saya dan semangat saya, ada tempatnya untuk disalurkan dalam gerak kerja kepemudaan.

Keberadaan saya disambut. Kemahuan saya ada ruang dan peluangnya. Maka saya merasakan pemuda adalah medan terbaik untuk saya. Disamping mara kehadapan, langkah sumbing saya diperbetul. Tawaran sebegini sesuai dan kena pada masa dan tempatnya. Sekarang terpulang kepada saf pemuda saat ini samada melihat dengan cara apa kebangkitan anak muda sabahan pada hari ini. Adakah sebagai pembantu atau sebagai saingan? ..Lihatlah jauh kehadapan dalam membina generasi pelapis, bimbing dan salurkan bakat mereka. Hentikanlah perang dalam cawan. Kita adalah satu ketumbukan mata rantai perjuangan Nabi S.A.W.

Ilmu & Pemuda

Sebagai ingatan cuma, pemuda dan ilmu seperti yang mana yang seharusnya punyai kaitan yang sangat kuat. Apakah yang mampu diberikan jika kita tidak mempunyai apa-apa? malah sebagai pendokong gerakan Islam wajiblah berilmu sebelum turun ke medan perjuangan. Agar lebih bersemarak selepas ini, pemuda hendaklah mengeluarkan arahan secara terus kepada semua ahli agar turun 'berdemo' di tempat-tempat kuliah ilmu. Tambah lagi kita di Sabah ini, 'jarang-jarang' ada kuliah ilmu. Tapi bila sudah ada, ulama-ulama tersohor yang datang pemuda pula yang 'jarang-jarang' kelihatan. Mungkin sangkaan saya tidak tepat. Walaubagaimanapun, jadikanlah ia sebagai sekadar peringatan.

Terus Melangkah!

Kembali kepada apa yang telah digariskan oleh Ketua Pemuda. Beliau memberikan keyakinan bahawa pemuda akan terus membawa panji aspirasi rakyat Sabah. Komitmen dan azam Ketua Pemuda ini mestilah disambut dengan penuh penghayatan oleh semua perwakilan. Kembalilah ke kawasan masing-masing dan bekerja untuk melaksanakan apa yang telah ditaklifkan sebagai pendokong gerakan Islam. Takbir!!!

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Fenomena Hisamudin Sulaiman



Saya rasa tidak keterlaluan jika saya beranggapan sedemikian. Beliau ialah YDP Pensiangan sekarang ini dan keberadaan Hisamudin jauh di pedalaman Sabah itu ada sesuatu yang boleh di kaji semula.

Sebelum ini, majoriti aktivtis Islam di Sabah melihat bahawa dengan faktor kefahaman agama yang masih keterbelakang masyarakat di Sabah, adalah begitu sukar untuk mencampakkan politik Islam itu sebagai salah satu produk di pentas politik negeri ini.

5 tahun kebelakang, mengimbau kembali sebelum era Pakatan Rakyat ya'ni persefahaman politik antara parti-parti pembangkang, aktivis Islam Sabah ada jurang dengan aktivis-aktivis Sabahan samada yang muslim atau non muslim.

Keyakinan bahawa Sabah belum sampai masa untuk politik Islam masih begitu menebal ditambah dengan prasarana pendidikan yang agak mundur di Sabah ini. Tentunya persoalan yang sering terpacul iaitu, kalau mereka tidak faham Islam, bagaimana hendak faham politik Islam?. Institusi Islam pun masih terhad perlaksanaanya, ditambah lagi dengan ketidakwujudan sistem pondok seperti di semenanjung.


Hal ini menjadi sebab mengapa kekuatan pemuda Islam ketika itu ditumpu kepada penyebaran dakwah. Bukan tidak ada aksi pemuda di pentas politik, cuma masih tidak berlaku ditahap yang ada sekarang ini.

Pasca Pakatan Rakyat, perubahan itu nampak begitu ketara dan agak menyebelahi PAS dari sudut membuka hubungannya dengan sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat yang sama. Termasuklah, aktivis pemuda di Sabah yang begitu mendapat manfaat yang banyak hasil dari muafakat ini.

Akhirnya, mentaliti bahawa politik Islam belum boleh diterima dipecahkan temboknya oleh seorang muhajirin yang bernama Hisamudin Sulaiman. Seorang muhajirin ya, bukan anak tempatan. Bagaimana boleh sentimen perkauman dan sentimen sabahan vs semenanjung
ditembusi oleh aksi dan pemikiran beliau?..ini adalah satu fenomena, ketika anak tempatan sendiri tidak yakin, orang kampung mereka boleh menerima politik Islam!

Lihat ke Pensiangan sana, ceramah PAS sudah boleh diterima dan bendera PAS sudah boleh berkibar di pelusuk kampung tanda sokongan. Tidak pernah terjangkau akal, proses penerimaan politik Islam oleh masyarakat di Sabah berlaku begitu cepat, lebih awal dari yang dijangkakan.


Sekarang ini, bukan lagi soal tubuh badan Hisamudin Sulaiman. Soalnya sekarang, kalau bukan cita-cita besarnya (Idealis), mungkin beliau juga diantara beribu aktivis Islam yang percaya dan masih berpegang dengan mentaliti yang sama. Kecilkah soal idealis ini? hingga beliau sudah mampu dan bersedia untuk menawan perlimen pensiangan?..mungkin juga idealis ini kelihatan tidak ada apa-apa jika tidak 'bekerja' untuk me realisasikaan setiap cita dan impian.

Katakan pada saya, jika ini bukan soal Idealis, tunjukkan saya usrah mana, cawangan mana, DUN mana dan Parlimen mana yang mahu anda mahu buka dan tandingi PRU-13 ini?

..Dan tanyalah pada Hisamudin sendiri, masihkah beliau bersama, setia dan wala' pada kepimpinan parti?...

Ya, itulah jawapannya untuk anak muda yang sedang mekar berkobar semangat juangnya. Iya mengambil dan mempelajari sejarah yang lalu, dan menjadikannya inspirasi untuk melakukan perubahan masa depan. Idealis kepada realis, adalah kunci perubahan. Hilang salah satu darinya, maka tempanglah kebangkitan anak muda.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Tidak Seperti Lafaz Tuan

Tergerak pula hati untuk menuangkan apa yang terlintas, ketika terdengar satu wirid yang maknanya cukup indah. Mencuba menghayati perasaan si pencipta wirid itu, seorang ulama tersohor dengan membacanya...


Teruskan...

Lafazkan wirid itu
Seperti dalamnya lafaz tuan
Yang terbit dari bejana kalbu
Basah dengan getaran rasa
Cinta dan rindu
Pada khaliknya dan kekasih agungnya

Teruskan...

Lafazkan wirid itu
Sedalam rasa yang bisa
Walau tidak tercapai olehku
Maqam hati yang tiada cela

Walau ku cuba
Dalam doa terus mengadu
Dalam sujud sedalam rasa
Dalam fikir selemahnya aku
Dalam pandangan Dia segala

Namun tak termampu
Mencapai kalian dalam cahaya
Ma'rifat kurnian Tuhan mu
Duhai para solihin ikutan semua

Masih terasa jauhnya
Mendaki tuan dipuncak mujahadah nafsu
Walau dihampar putus asa
Dihambat dosa jalan menujumu
Namun kerana alpa
Aku terus mengintai rasa
kerna ku tahu bahagia itu
Hembusan ketenangan Dari-Nya

Ku cuba terus mencuba
Mengalun wirid juga sepertimu
Biar jauh dilapis hijab-Nya
Biar perasaan itu cuma palsu
Biarkan itu semua
Kerana ku tahu
Dia maha kurnia
Pada saat ini apa yang ku mahu

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Langkah Bermula Akademi Siasah Tun Datu Mustafa



Alhamdulillah, Wacana Rakyat selesai..

Wacana Rakyat adalah antara beberapa pengisian yang menjadi program bersiri untuk mencapai misinya. Jadi, saya berharap ia bukan sekadar program yang kita hadiri sebelum ini.

Secara sedarnya, memang kita telahpun menghadiri banyak program yang berbentuk pemantapan kefahaman, tetapi saya dan sahabat-sahabat yang lain insaf akan betapa perlunya agar setiap program ini disusun dan dirangkum kepada suatu yang ber'visi' sifatnya.

Ia bermula dengan begitu emosi, apabila penangkapan Ketua Pemuda PAS Sabah, sdr Lahirul Latigu hanya kerana sentimen anti-BERSIH yang tidak berasas. Pada jangka masa 5 tahun akan datang, saya dapat melihat sedikit sebanyak gambaran bagaimana landskap lapangan tempur siasah pemuda di Sabah ketika itu. Hal ini menyuntik insaf agar menyusun idea-idea untuk diterjemahkan kepada bentuk realiti.

Pada masa sama, Bro Saifuddin dan Sdr Abdillah ada melontarkan pandangan yang serupa iaitu untuk membentuk satu institusi siasah yang bertujuan melahirkan pemimpin-pemimpin muda masa depan yang bijak caturan siasahnya.

Cetusan ini belum lahir sebagai sebuah dokumentasi yang boleh dibelek dari awal hingga akhir perinciannya. Sebagai langkah awal ini, kami menghimpun idea dan pandangan serantak dengan pelaksanaan yang difikirkan sesuai dengan visinya. Sedikit demi sedikit, keadaan ini akan tercantum satu persatu dan menjadi lebih tersusun pada fasa-fasa berikutnya.


Proses ini adalah proses 'up to date' kepimpinan di peringkat negeri, kawasan sampailah ke peringkat cawangan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang. Walaupun jangkauannya masih sangat luas dan nampak diawangan, saya yakin proses seterusnya akan disempurnakan oleh generasi akan datang. Yang penting, kita sudah bermula.

Cabaran pemuda hari ini adalah tempias cabaran pada masa akan datang. Saya menyimpulkannya kepada 2 perkara berikut iaitu :

1)Cabaran berbentuk perbezaan fikrah
2)Cabaran berbentuk Taktikal

Cabaran pertama, ia melihat bagaimana kita me respon terhadap isu-isu pemikiran samada perbezaan sesama fikrah mahupun teman-teman dalam Pakatan Rakyat Sabah. Sentimen kaum, agama dan 'semenanjung vs sabahan' adalah beberapa isu yang memerlukan penyelesaian yang berbeza secara tepat. Ia juga melibatkan perbezaan se fikrah kita dalam menafsir tindakan terbaik bukan dengan tindakan 'orientasi label'. Kita cuba memanfaatkan peluang secara optimal dan mengurangkan risiko dalam semua keadaan.

Cabaran kedua, bagaimana tindakan yang perlu diambil mengikut prosedur perlembagaan dan undang-undang negara ini dan perlembagaan negeri yang begitu rumit dan unik. Kita tidak dapat mengelak daripada menghalusi setiap akta dan ordinan mahupun sejarah yang membentuk sesebuah insitusi undang-undang. Justeru, kefahaman perlu dibina dengan lebih mantap lagi supaya setiap tindakan adalah satu 'mile age' politik yang melonjak pemuda ke hadapan.

Hari ini kita di hidangkan dengan pelbagai permasalahan dan saya berharap pada keesokkan harinya kita menyediakan plan yang lebih objektif langkah penyelesaiannya. Kerana saya percaya, setiap ujian selain sekadar ujian, ia adalah peluang untuk kita lebih baik pada hari-hari seterusnya.

Walaupun masih bertatih dan merangkak, Insya Allah bak kata iklan Milo tak silap saya, kita semua akan membesar dengan kuat dan sihat...alamilah

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Kongres Gerakan, Pingat Untuk Lebih Bekerja



Untuk mengucapkan tahniah, saya ada sedikit kerisauan. Bimbang, dengan mukaddimah sedemikian rupa, habis isi-isi penting yang saya hendak sampaikan selepas itu tidak di endahkan lagi.

Kepada aktivis mahasiswa yang hadir ke Kongres tersebut, anda sememangnya mahu dan mampu untuk bekerja demi ummat. Saya ketepikan perasaan risau, selesai kongres tersebut tidak timbul lagi soal kita tidak 'bekerja' untuk dakwah ini.

Mahasiswa atau aktivis yang hadir juga tidak perlulah pulang dengan kesan fikrah yang longgar atau celaru. Perkara ini jelas dan tidak ada perlunya ia dibincangkan disini. Tema penting program ini iaitu kita mahu lahirkan mereka yang 'bekerja'.

Sebelum itu, saya mengambil masa yang lama untuk berbincang apa juga bentuk perubahan khususnya yang melibatkan aktivisma mahasiswa. Cuba mengelak sebaik mungkin agar setiap baris lontaran tidak menyakiti sahabat yang sekian lama berkhidmat untuk parti dengan pengalaman yang tidak sedikit.

Usaha ini sebenarnya untuk mencari beberapa pencerahan kepada perbezaan pandangan yang mana jika perbezaan ini dapat diuruskan dengan baik, pasti memberikan banyak peluang kepada pakej dakwah kita sampai ke setiap tahap yang diperlukan.

Saya mengukur sejauh mana kesan masa hadapan, meninjau jauh ke dasar keperluan parti, menimbang diantara beberapa keutamaan dan beberapa pilihan yang tersedia dihadapan kita. Kerana saya akur bahawa inilah dunia perjuangan yang harus kita tempuhi. Tidak dengan hanya hitam putihnya sahaja, tetapi dengan pelbagai warna dan sudut. Marah-marah sayang pun kita tidak dapat menolak akhirnya pelbagai pula rangkaian jamaah Islam muncul dan kita tidak dapat mengelakkannya. Ia bermula dengan perbezaan fikrah.

Bagaimana kita menghadapi kepelbagaian ini? adakah dengan emosi atau bersikap rasional?

Tema saya jelas, agar setiap peluang dan pilihan yang mencetus kekuatan untuk lebih 'bekerja' perlu diberikan peluang. Ya, ada kerisauan yang perlu diambil kira namun jika dibandingkan dengan bukti yang telah ada dihadapan kita saya kira, masalah kita sebenarnya iaitu kita berhadapan dengan golongan yang tidak 'bekerja'. Turunlah ke bawah dan tanya kawan-kawan yang sudah lama bekerja. Persoalan 'mana aktivis kita' terus ditanya dari satu generasi ke satu generasi. Kalau seorang pegang sampai 5 jawatan?...kasihan aktivis fulltime parti, sebab yang ada kemampuan tidak 'bekerja' untuk membantu.

Mereka yang tidak 'bekerja' itu, ada dikalangannya lahir dari rahim usrah kita sendiri.

Lihat pula dengan penuh pertimbangan, kerosakkan yang berlaku terhadap rakyat. Adakah perlu 5 tahun lagi untuk mereka menanti perubahan. Tentu sekali tidak, kerana dengan bencana yang menimpa sekrang ini, mereka perlu berubah pada saat ini juga. Perubahan pada rakyat berlaku bila kita semua sama-sama 'bekerja'. Sebaliknya, kerosakkan dan kemunduran masyarakat ketika ini kerana ada dikalangan kita tidak mahu 'bekerja'.

Jika yang 'tulus' fikrahnya juga belum mampu menggerakkan perubahan dan pada masa yang sama kita diasak untuk memperbaiki masyarakat yang semakin kritikal, maka dengan wasilah atau jalan apakah yang kita pilih untuk meneruskan jalan perubahan? Kita bukan kader yang lemah dengan hanya pemerhati dari jauh atau menjadi tukang penembak tepat. Biar pecah kepala berfikir, mencari ruang dan peluang untuk mencetus perubahan melahirkan golongan yang 'bekerja'. Jika ada tersedia di depan mata, lalu apa yang ditunggu lagi?

Saya tidak sekadar mengeluh tetapi juga berusaha mencari kaedah untuk meletakkan hasil tarbiah kita dikampus ke setiap post penting parti. Namun cabarannya tidak semudah yang dijangkakan dan ini membuatkan saya akur bahawa disana ada kekurangan dan kelebihan yang bukan milik kita yang mesti kita hadapi.

Faham denyut nadi kerisauan sahabat-sahabat dan teman-teman tentang kesan kepada fikrah, insaf akan keperluan parti yang begitu mendesak, sedar dengan kekurangan dan kelebihan yang ada, akur dengan perbezaan pandangan yang timbul maka saya berpendirian kongres kali ini adalah pingat untuk anda lebih 'bekerja'.

Kita risau anak kecil yang masih bertiarap sudah mula berjalan. Bimbang terhantuk dinding, terperusuk masuk ke longkang. Namun anak kecil itu pada suatu masa, dinding itu sudah dipanjatnya, longkang tadi sudah di lompatinya. Akhirnya kita tidak lagi risau dengan dinding tersebut atau dengan longkang tersebut tetapi kita lebih risau benda yang lebih besar dari itu.

....kerana kita akur dengan perubahan itu, dan tidak sesekali kita hanya jadi pemerhati saja. Tentu kita sedar bahawa untuk mendepani perubahan itu, kita perlu 'bekerja'.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Jika Mereka USIA dan USNO Yang Dulu

Satu ketika saya diberi peluang untuk membentang kertas kerja berkenaan peranan Gerakan Islam dalam memartabatkan pendidikan Islam...Ia memang satu pengalaman yang baru bagi saya, tambahan pula isi yang hendak disampaikan itu berlatar belakangkan sejarah di semenanjung.

..Dan sayalah pembentang paling pantas dikalangan pembentang yang lain. Mengambil masa 10 minit sahaja, mungkin kerana sejuknya kundasang ketika itu.

Dalam masa yang singkat itu, saya mengambil beberapa baris ayat daripada isi kandungan kertas kerja kemudian membuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Sabah.

Saya cuba mencari sebuah blog kepunyaan USIA yang memaparkan mengenai penganugerahan tokoh kepada beberapa individu penting yang berjasa dalam penyebaran Islam di Sabah. Penganugerahan tersebut agak menarik minat kerana diberi penghormatan sebagai 'anugerah tokoh pemimpin gerakan Islam' tidak silap saya. Alhamdulillah, disini saya selitkan.



Anugerah tersebut mungkin satu perkara yang elok juga untuk kita selidiki bagaimana apa yang mereka katakan tentang gerakan Islam itu melaksanakan tugasnya seperti mana gerakan Islam yang kita kenali pada hari ini.

Apakah asas gerakan Islam itu memang sudah ada sebelum Parti Islam Se-Malaysia masuk ke Sabah pada sekitar tahun 1980 ?

Bolehkah dikategorikan pertubuhan seperti USIA dan USNO adalah terjemahan kepada perlaksanan gerakan Islam syumul yang terpisah secara entiti ketika itu?...USIA adalah tangan dakwahnya dan USNO adalah tangan politiknya?

Pada saya, iya. Kemahuan umat Islam dan beberapa tokoh kepimpinan muslim ketika itu untuk melaksanakan Islam ke peringkat yang lebih tinggi memang sudah ada seperti apa yang diusahakan oleh Tun Datu Mustapa dan rakan-rakan beliau.

Pada satu tahap, perkembangan Islam di Sabah nampak begitu rancak dengan syiar Islam dan meningkatnya populariti muslim sehingga ke tahap Sabah mengisytihar agama rasminya ialah Islam. Sudah tentu ia satu perkembangan yang sangat membanggakan kita.

Sampai ke satu tahap, graf perkembangan tersebut tidak dapat melonjak lagi, sebaliknya mengalami fasa kemerosotan yang sangat membimbangkan. Fasa inilah yang saya dan generasi akan datang sedang lalui sekarang ini. Semuanya berpusing, dari peng Islam beramai-ramai riuh sekampung bertukar kepada pemurtadan beramai-ramai secara senyap-senyap!

Perkembangan ini harus diselidiki kembali. Sungguh bernaskah apa yang pernah dilontarkan oleh arkitek gerakan Islam Almarhum Dr. Fathi Yakan, akan tiba satu masa sebuah kepimpinan itu tidak mampu lagi ke tahap yang seterusnya, maka sampai masanya tunas-tunas baru kepimpinan menyambung tugas kepimpinan yang sebelum ini.

Mahukah dikenang oleh anak cucu kita, sekadar jatuhnya USNO kerana rakyat menolak kepimpinannya dan USIA yang terpalit dengan bermacam-macam tohmahan yang tidak sedap didengar telinga?

Ayuh, kita himpun semula perjuangan yang berserakan di sepanjang perjalanan perjuangan Islam di bumi Sabah ini. Mari kita susun ia dalam bentuk yang teratur semula, yang mampu mencabar dan mengharungi liku-liku perjuangan walau besar mana si zalim itu. Kita himpun ia dalam bekas yang bersih agar benar dan jelas matlamatnya untuk Islam.

Mungkin kita asyik dan kagum dengan fizikal sebuah kejayaan, tetapi kita lupa mengisinya dengan ruh perjuangan yang sejati. Hari ini dalam kenangan sebuah kejayaan di bumi bawah bayu yang tanpa tarbiah yang terlaksana dalam bentuk Usrah, Tamrin, Liqo' dan sebagainya akhirnya tersungkur di tengah jalan. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya agar ia kembali hidup menyambung semula tugasnya sebagai pewaris perjuangan para Rasul Anbiya'.

Saya mengajak teman-teman yang memilih USIA sebagai landasan perjuangannya, agar meneliti kembali titik kelemahan ini jika mahu USIA kembali bernafas dengan wajah dan semangat baru. Saya yakin teman-teman di USIA masih mempunyai harapan yang besar untuk melihat USIA kembali gah seperti dahulu.

Begitu juga dengan pejuang-pejuang lama USNO, yang beriya-iya mahu menghidupkan kembali jasad USNO dalam gelanggang politik, selami dan hayati kembali landasan menuju misi yang hendak dicapai..Jika benar mereka mahukan Islam, mengapa sampai terbabas?

Lupakan dulu soal apa warnanya, hijau atau bulan purnama, samada semenanjung atau sabahan. Tapi lihat soal prinsip, kepimpinan, matlamat yang jelas dan dinamika menghadapi perubahan zaman. Masihkah kita mahu bermain sentimen-sentimen diatas, sedangkan anak cucu kita semakin jauh dari agamanya, dirampas haknya, ketinggalan pemikirannya dan rendah jatidirinya?

Peliknya orang yang mahukan Islam tetapi menolak dasar dan prinsipnya!


Tunas baru gerakan Islam di Sabah sudah tiba, usah ragu-ragu lagi untuk bersama membantu dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.



Renung-renung, fikir-fikirkan jika mereka USIA dan USNO yang dulu.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer