Jika Mereka USIA dan USNO Yang Dulu

Satu ketika saya diberi peluang untuk membentang kertas kerja berkenaan peranan Gerakan Islam dalam memartabatkan pendidikan Islam...Ia memang satu pengalaman yang baru bagi saya, tambahan pula isi yang hendak disampaikan itu berlatar belakangkan sejarah di semenanjung.

..Dan sayalah pembentang paling pantas dikalangan pembentang yang lain. Mengambil masa 10 minit sahaja, mungkin kerana sejuknya kundasang ketika itu.

Dalam masa yang singkat itu, saya mengambil beberapa baris ayat daripada isi kandungan kertas kerja kemudian membuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Sabah.

Saya cuba mencari sebuah blog kepunyaan USIA yang memaparkan mengenai penganugerahan tokoh kepada beberapa individu penting yang berjasa dalam penyebaran Islam di Sabah. Penganugerahan tersebut agak menarik minat kerana diberi penghormatan sebagai 'anugerah tokoh pemimpin gerakan Islam' tidak silap saya. Alhamdulillah, disini saya selitkan.



Anugerah tersebut mungkin satu perkara yang elok juga untuk kita selidiki bagaimana apa yang mereka katakan tentang gerakan Islam itu melaksanakan tugasnya seperti mana gerakan Islam yang kita kenali pada hari ini.

Apakah asas gerakan Islam itu memang sudah ada sebelum Parti Islam Se-Malaysia masuk ke Sabah pada sekitar tahun 1980 ?

Bolehkah dikategorikan pertubuhan seperti USIA dan USNO adalah terjemahan kepada perlaksanan gerakan Islam syumul yang terpisah secara entiti ketika itu?...USIA adalah tangan dakwahnya dan USNO adalah tangan politiknya?

Pada saya, iya. Kemahuan umat Islam dan beberapa tokoh kepimpinan muslim ketika itu untuk melaksanakan Islam ke peringkat yang lebih tinggi memang sudah ada seperti apa yang diusahakan oleh Tun Datu Mustapa dan rakan-rakan beliau.

Pada satu tahap, perkembangan Islam di Sabah nampak begitu rancak dengan syiar Islam dan meningkatnya populariti muslim sehingga ke tahap Sabah mengisytihar agama rasminya ialah Islam. Sudah tentu ia satu perkembangan yang sangat membanggakan kita.

Sampai ke satu tahap, graf perkembangan tersebut tidak dapat melonjak lagi, sebaliknya mengalami fasa kemerosotan yang sangat membimbangkan. Fasa inilah yang saya dan generasi akan datang sedang lalui sekarang ini. Semuanya berpusing, dari peng Islam beramai-ramai riuh sekampung bertukar kepada pemurtadan beramai-ramai secara senyap-senyap!

Perkembangan ini harus diselidiki kembali. Sungguh bernaskah apa yang pernah dilontarkan oleh arkitek gerakan Islam Almarhum Dr. Fathi Yakan, akan tiba satu masa sebuah kepimpinan itu tidak mampu lagi ke tahap yang seterusnya, maka sampai masanya tunas-tunas baru kepimpinan menyambung tugas kepimpinan yang sebelum ini.

Mahukah dikenang oleh anak cucu kita, sekadar jatuhnya USNO kerana rakyat menolak kepimpinannya dan USIA yang terpalit dengan bermacam-macam tohmahan yang tidak sedap didengar telinga?

Ayuh, kita himpun semula perjuangan yang berserakan di sepanjang perjalanan perjuangan Islam di bumi Sabah ini. Mari kita susun ia dalam bentuk yang teratur semula, yang mampu mencabar dan mengharungi liku-liku perjuangan walau besar mana si zalim itu. Kita himpun ia dalam bekas yang bersih agar benar dan jelas matlamatnya untuk Islam.

Mungkin kita asyik dan kagum dengan fizikal sebuah kejayaan, tetapi kita lupa mengisinya dengan ruh perjuangan yang sejati. Hari ini dalam kenangan sebuah kejayaan di bumi bawah bayu yang tanpa tarbiah yang terlaksana dalam bentuk Usrah, Tamrin, Liqo' dan sebagainya akhirnya tersungkur di tengah jalan. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya agar ia kembali hidup menyambung semula tugasnya sebagai pewaris perjuangan para Rasul Anbiya'.

Saya mengajak teman-teman yang memilih USIA sebagai landasan perjuangannya, agar meneliti kembali titik kelemahan ini jika mahu USIA kembali bernafas dengan wajah dan semangat baru. Saya yakin teman-teman di USIA masih mempunyai harapan yang besar untuk melihat USIA kembali gah seperti dahulu.

Begitu juga dengan pejuang-pejuang lama USNO, yang beriya-iya mahu menghidupkan kembali jasad USNO dalam gelanggang politik, selami dan hayati kembali landasan menuju misi yang hendak dicapai..Jika benar mereka mahukan Islam, mengapa sampai terbabas?

Lupakan dulu soal apa warnanya, hijau atau bulan purnama, samada semenanjung atau sabahan. Tapi lihat soal prinsip, kepimpinan, matlamat yang jelas dan dinamika menghadapi perubahan zaman. Masihkah kita mahu bermain sentimen-sentimen diatas, sedangkan anak cucu kita semakin jauh dari agamanya, dirampas haknya, ketinggalan pemikirannya dan rendah jatidirinya?

Peliknya orang yang mahukan Islam tetapi menolak dasar dan prinsipnya!


Tunas baru gerakan Islam di Sabah sudah tiba, usah ragu-ragu lagi untuk bersama membantu dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.



Renung-renung, fikir-fikirkan jika mereka USIA dan USNO yang dulu.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Kenduri Kahwin, Bila 'Bugis' Cipta Sejarah...




Pertama, saya mengucapkan tahniah kepada rakan setugas saya Puan Siti Rosemadiah dan suami Tuan Awang Ramlee.

Pada 3 September yang lalu, mereka selamat di ijab kabul dan sah menjadi suami-isteri yang mudah-mudahan dilimpahi berkat dan rahmat dari yang Esa. Majlis akad nikah diadakan di Kg. Pengkalan Tinuhan, rumah ayahanda dan bonda pengantin perempuan.

Sedikit saya selitkan gambar-gambar yang mungkin unik bagi mereka yang belum pernah melihat adat suku Bajau sebelah pantai barat Sabah. Walaupun tidak banyak, tapi masih ada sedikit budaya dan adat seperti bertitik dan sebagainya...

Bentuk & Corak Pelamin


Orkestra 'Betitik'


Kedua, saya juga ucapkan syabas dan tahniah kepada rakan setugas, saudara Razlie yang sah menjadi pasangan suami isteri kepada Hernawati. Mudah-mudahan dikurnia keberkatan dalam hidup berkeluarga hingga ke Syurga.

Mungkin saya boleh katakan, inilah sejarah tercipta bagi suku Bugis kerana sedikit kelainan pada majlis atau kenduri yang berbeza dari yang saya lihat sebelum ini.

Ada Nasyid yang dinyanyikan oleh adik-adik PSS, ada dendangan tarannum dari Sdr Jubair dan tazkirah dari Ustaz yang tak asing lagi iaitu Ustaz Akmal pemilik blog terkenal 'abunuhacorner.wordpress.com'...




Gambar tazkirah dari ustaz Akmal tidak dapat diselitkan sekali, kami terpaksa meninggalkan majlis awal sebab ada komitmen lain...

Berbeza dengan kenduri yang kebanyakkan saya hadiri sebelum ini, satu kewajibannya iaitu lagu dangdut dan bergelek sampai larut malam. Saya tidak tahu sudah berapa lama saya tidak hadir ke majlis yang seumpamanya. Takut bukan doa yang sampai, sebaliknya pula yang menimpa sang pengantin.

Kecuali dalam bab hantaran, ada sejarah boleh tercipta?...

InsyaAllah, kalau Islam menjadi panduan, tidak kira siapa dia, apa keturunannya, perubahan dan kemajuan akan sentiasa berdamping dengannya.

Hidup Islam!!!






Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Ratap FITRAH



Kemana wajah hendak ku hadap, ke timur ke barat utara selatan, kiri dan kanan terasa sempit, semua wajah menatap hina, hendak mendongak terasa berat, terasa malu menatap alam...

Teman, sahabat dan murabbi...bantu aku, meniti jalan menuju cahaya

Jalan ke hadapan terasa panjang, lorong gelap dibelakang mengejar tak henti, diburu dosa sebesar gunung, akan menghempap diatas muka..

Inikah rasanya hamba derhaka, terasing terbelenggu dalam gelap, mengharap sinar dihujung harapan...

Cuma ratib al Haddad teman setia, moga disana ada jalan, yang ditinggal pesan oleh junjungan, untuk mereka yang tersasar jalan, agar kembali ke Fitrah hamba...

Ku alun terus ku alun, ratib syahdu menusuk jiwa, agar lerai kusut, luruh gundah, aman rasa takut, kerana buntu kemana hendak aku sandarkan lagi, gelora jiwa seluas lautan ini...

Terus mengalun ratib, merintih, merayu...jangan tinggalkan aku tuhan, jangan tinggalkan aku

Ya Allah ampunkan dosa, hapuskan kesalahanku, tutuplah aibku..beri aku kekuatan untuk bangkit semula, dari Fitrah manusia alpa kepada Fitrah manusia hamba...

..Entah puisi atau apa...hanya rasa yang terus mengalir, mencari nokta dimana sudah...





Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Menuju 16 September, Optimis Negara Berkebajikan


Pelancaran Sekretariat PR Sabah

Sebelum ini saya ada meluahkan sedikit kerisauan saya tentang masa depan Pakatan Rakyat Sabah yang pada saya masih tidak ada asas yang kukuh untuk meyakinkan rakyat negeri ini sebagai pengganti kepada Barisan Nasional.

Apakah perkara asas itu?

Ditambah lagi dengan ikatan kerjasama dalam Pakatan yang masih agak longgar dalam suasana di satu pihak iaitu BN-Umno terus menunjukkan prestasi yang teruk tahap gaban. Hanya kerana sentimen 'budi BN' terus dilagukan, rakyat negeri ini menjadi serba salah dan 'kasihan' untuk meninggalkan BN untuk kali yang pertama, jika benar ia berlaku pada PRU ke 13 nanti.

Persembahan Pakatan Rakyat perlu dilihat kemas dipentas.

Respon kepada isu utama negeri Sabah terutamanya melibatkan ketiga-tiga parti komponennya PAS, PKR & DAP masih terlalu jarang, sedangkan ini adalah imej kekuatan kepada PR Sabah. Ia juga satu penumbuk di rusuk kepada Umno-BN.

Kebimbangan saya terus berlarutan bila ada sesetengah tempat dan kawasan masih tidak tahu apa itu Pakatan Rakyat!?

Benar, siapa dalam Pakatan Rakyat Sabah pun jika dicongak-congak kepada masyarakat akar umbi pasti menimbulkan beberapa persoalan kepada usaha turun kebawah pemimpin PR.

Pakatan Rakyat?...ada makcik-makcik yang tergaru-garu kepala.

Kita juga akui ada persaingan sihat diantara ke tiga parti kompenen untuk sama-sama menempatkan diri dalam pentas politik Sabah dan keperluan untuk bergerak lebih tangkas sangat mendesak.

Dalam suasana itu persaingan ini pun perlu juga diuruskan sebaiknya. Ada masa dan ketikanya penonjolan parti sendiri diutamakan, ada masanya ketiga-tiga pemimpin parti perlu duduk bersama menunjukkan kesepakatan dan kesatuan yang lebih baik daripada Umno-BN. Tidak perlulah berlumba-lumba naik kepentas sekali dengan ketua ranting atau cawangan kecil-kecilan semata-mata semata-mata lensa para wartawan berebut-berebut mahu menangkap barisan pemimpin Pakatan Rakyat sehingga menenggelamkan pemimpin utama Pakatan.

Saya kadang-kadang tertunduk malu melihat telatah sedemikian rupa dalam majlis yang besar. Letak saja wakil daripada 3 orang wakil PAS, PKR & DAP diatas pentas sebagai gimik, cukup!

Konvensyen Pakatan Rakyat Sabah

Saya memang ternanti-nanti satu hasil yang memberangsangkan daripada PR Sabah. Syukur, perasaan saya kembali segar menanti perkembangan terbaru ini.

Ada beberapa isu yang akan disentuh yang melibatkan kedaulatan negeri ini, dan pembentangan isu telah dibahagikan kepada ketiga-tiga parti mengikut kapasiti kekuatan yang masing-masing punyai.

Perbincangan mendalam telah dilaksanakan dan menunggu masa dan tarikh yang dijadualkan iaitu pada 16 September untuk ketiga-tiga parti membentang gagasan masa depan untuk rakyat negeri ini.

Dokumen yang menjelaskan bentuk dan garis besar kepada dasar pemerintahan PR pada masa akan datang ini adalah bukti kukuh komitmen Pakatan, tidak sekadar mahu menggantikan kerusi yang ditinggalkan oleh Umno-BN tetapi lebih dari itu ia menawarkan polisi pemerintahan yang lengkap dari sudut politik, ekonomi, sosial dan agama yang praktikal dan realistik untuk rakyat negeri ini.

Maknannya, kesungguhan Pakatan ini tidak sekadar dilontar kosong dalam ceramah-ceramah tanpa ada dasar-dasar yang jelas tertulis yang boleh disemak ketelusannya samada sebelum atau selepas mendapat mandat rakyat pada PRU akan datang. Ini antara tujuan besar kenapa perlu lahirnya sebuah dokumen yang jelas dan terperinci.

Saya juga yakin selepas lahirnya sebuah dokumen 'buku jingga Sabah' ini, pelbagai isu yang tidak pernah selesai dan kontroversi selama ini akan ada pencerahan. Sudah tentu Umno-BN tidak akan senang duduk dan serangan bertalu-talu akan dilancarkan untuk menjatuhkan dan memberikan imej yang lemah terhadap intpati dokumen itu nanti.

Harapan saya agar PR Sabah tidak goyah terhadap serangan-serangan yang akan datang, tetapi terus memfokus kepada agenda besar bersama untuk memperhalusi, memperkemas dan mempromosi kandungan buku jingga Sabah. Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan negeri Sabah selain menjadi panduan bersama, perubahan-perubahan semasa juga perlu diambil kira tanpa mengabai apa-apa yang telah termaktub pada keadua-duanya.

Isu Agama, PTI dan hak bumiputera Sabah antara isu yang mungkin sedikit timbul perbezaan pandangan namun, perbincangan dan penjelasan yang terarah akan memperkukuhkan dan menampung kelemahan yang ada. Ini perlukan sedikit masa untuk diselesaikan memandangkan perbincangan serius yang menyentuh soal-soal yang agak 'privacy' jarang sekali dibawa kemeja mesyuarat pimpinan PR Sabah.

Mudah-mudahan 16 September itu nanti berjalan dengan baik dan kita akan melihat usia PR Sabah selangkah lagi meningkat matang. Untuk ketiga-tiga parti komponennya PAS, PKR dan DAP perlu terus membuka ruang-ruang perbincangan dan dialog kerana kita mahu PR berkesinambungan bersama arus perubahan demi untuk rakyat, dan biarkanlah Umno-BN bernafas dalam sentimen, terkubur dalam penafian.

16 September, asas membangun negeri berkebajikan negeri Sabah!







Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Dia Semakin Dekat



Berapa kerap kita mampu memberikan tips-tips ketenangan dan kebahagian kepada seorang teman, sahabat, ahli keluarga dan mereka yang berada diluar sana?

Bergantung kepada siapa anda. Namun yang pasti, kita hanya menyampaikan apa yang kita sendiri tidak memilikinya, jauh sekali meng-ada-kannya.

Ketenangan itu apa?

Kebahagiaan itu apa?




Betapa banyak saya dan anda cuba untuk mencari lautan maknanya, semakin dalam pula rahsianya. Letih lelah untuk memberikan yang terbaik untuk ketenangan dan kebahagiaan jiwa, mujur Dia yang empunya tidak pernah berkira untuk terus memberi.

Carilah ketenangangan dan kebahagiaan itu pada saat yang dinantikan, pada tetamu agung yang kita rindui....Ramadan Kareem.


Moga dimudahkan urusan, dipanjangkan usia untuk bertemu dengannya.


Tetamu sudah dekat, jom kita bersiap...

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Akulah Aku




Akan ku cuba menjawabnya,
apa yang kau cuba sampaikan,
dalam nada resah bercampur bingung,
keliru dalam linangan air mata,
tentang aku yang kau anggap agung

Akulah aku, dalam tenang
dalam resah, dalam keluh terhimpit
pernah dihambat ujian menggoncang perasaan,
ada kala diuji angin lembut nafsu membelai lena,
atau khilaf pandangan diri sendiri, Akulah aku


Mungkin munafik, atau pembohong
bercakap tidak serupa amal,
atau aku yang sengaja berpura-pura,
berhias kata bertingkah irama memukau
akulah aku, sekeping hati insan biasa





Namun aku seadanya bukan ukuran,
aku disini kerana kehendak-Nya,
diantara beribu garuda yang terbang megah,
akulah camar yang ingin turut sama,
meredah gelombang tiupan badai,
mencari dunia baru dilangit tinggi

Decipku mungkin tidak segarang Garuda itu,
atau terbang angkuh bersayap sasa,
namun segenggam yakin dan percaya,
aku terus diangkasa itu terbang megah,
memerhati manusia kerdil dan tertawan
yang kecil dan terbenam dalam jiwa yang rendah

Laungan perjuanganku mungkin sumbang,
tentang kasih, tentang cinta, tentang dirimu,
sungguh aku pincang tidak sempurna,
namun aku terus diangkasa itu,
terbang megah walau berparut seribu,
menyapu awan membelah angkasa
bersama sarat duka, teman yang membahagiakan

Sudah, hapuslah air mata,
kerana tidak akan kau temui selamanya,
kesempurnaan pada makhluk ciptaan-Nya ,
yang ada cuma aku,
bertongkat nasihat dan pengajaran,
bernafas ukhwah dan perngorbanan,
tak lelah mencari alpa diri
tak lekang menadah kemuliaan,


Air mata senja...akulah aku

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Ayahmu itu Wahai Anak



Saya masuk ke dalam kelas hari ini.

Mata saya singgah sekejap memerhati dan menghayati wajah seorang anak murid. Entah, ada sayu yang halus hinggap di mata.

Anak yang lincah ceria itu, namanya Amirul Haziq Lahirul..

Mungkin dia perasan, saya sedang memerhatinya. Amirul Haziq perlahan-perlahan duduk semula di kerusinya.

"Haziq, ayah pigi mana pagi ini? tanya saya.

"Entah", jawabnya ringkas. Sedikit terpinga-pinga.

"Haziq tidak tahu dimana ayah sekarang", saya bertanya lagi.Kawan-kawannya yang lain langsung tidak ambil tahu. Ada yang sibuk membelek-belek buku Iqra' masing-masing.

Haziq senyap, matanya kesana-kemari mencari jawapan soalan Ustaznya.

Dia kemudia kembali tenang setelah saya melemparkan sebuah senyuman.

Senyuman kebanggaan kepada seorang anak yang punya seorang Ayah yang cukup saya kenali.

Samada Amirul Haziq sempat melihat kejadian semalam atau tidak, satu hari nanti dia akan terkenang kembali dan mengerti mengapa semua itu terjadi.

Diluar duniamu wahai anak, disana ayahmu bermandi tembakan gas pemedih mata,

berlari dikejar jatuh dipukul cota si zalim,

Ayahmu wahai anak, bersama ribuan yang lain bertakbir dan melaung,

kalimah yang indah dan padu ke langit kebebasan,

tiada lagi takut gentar dan resah,

kerana percaya kebebasan itu milik kita juga milik-Nya,

Ayahmu wahai anak, kembali ke tanah air ini,

membawa semangat dan harapan,

untuk bumi yang dahagakan seorang wira,

yang mendendang kembali lagu semangat pahlwan kita,

yang dulu kita kenal dalam lipatan sejarah,

Ayahmu itu wahai anak, tanpa alasan dan sebab,

digari dibawa lari kemahkamah tiada keadilan,

agar perjuangannya selesai disitu, sangka mereka,

namun ku lihat, langkahnya tetap gagah bersemangat waja,

untukmu wahai anak agar terus berbangga,

bahwa aku ada seorang ayah,

yang tetap setia bersamamu, ibumu, kami semua dan perjuagannya,

ketika kelibatnya jauh semakin dekat, aku tunjukan engkau,

Ayahmu itu wahai anak....

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer