Anak Muda & Malaysian Agreement 1963


 Memahami latar belakang kelahiran sebuah bangsa dan tanah tumpah darahnya juga merupakan salah satu ilmu yang di tekankan oleh Prof Dr Yusuf Qardawi sebagai bekalan penting para daie. Masakan tidak, bimbang akan tutur bicara dakwahnya tidak menepati atau tidak mewakili suara hati masyarakat yang di ajaknya kepada Islam.

Mungkin ini salah satu punca mengapa masih ada kedengaran istilah 'orang malaya', 'orang luar', 'parti dari semenanjung' sekalipun sang daie itu sendiri anak kelahiran bumi tumpah darahnya.

Mungkinkah istilah istilah itu sebagai isyarat masih kurang berkesannya 'kaedah' dakwah. Bukan dakwahnya yang ditolak, bukan Islam yang ditolak, tapi 'kaedahnya' yang perlu ditingkatkan lagi.


 Zainnal Ajamain, membentangkan hasil kajiannya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963

 Menyoroti semula kajian kajian bagaiman lahirnya Sabah sebagai salah satu negeri di dalam Persekutuan Malaysia, saya yakin bahawa Sabah lahir dari latarbelakang politik yang melatarinya diantara tiga pihak iaitu orang Sabah sendiri, tanah melayu dan kerajaan British ketika itu.

Sehingga dibentangkan oleh tuan Zainnal Ajamain berkenaan sejarah kelahiran Sabah yang begitu jelas susur galurnya beserta dokumen dokumen yang menjadi bukti, saya dan anak anak sabah yang lain mungkin masih mengingati Sabah hanya sebuah negeri biasa biasa seperti dalam buku buku teks sejarah zaman persekolahan, atau hanya dalam lagu cuma, mundur, miskin dan lain-lain...

Hatta, sewaktu pakar perundangan Dr Aziz Bari datang ke Sabah dalam program Wacana Rakyat Sabah, beliau tidak dapat menjawab soalan soalan hadirin yang berkaitan status Sabah dalam perundingan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Sejarah ini seperti tidak diperduli kecuali segelintir orang Sabah yang punya kesedaran yang kuat.

Hari ini, Sejarah itu digali semula dan menjadi satu kemestian setiap generasi anak muda Sabahan mengambil bahagian dalam menghidupkan, menyuburkan dan memantapkan legasi negeri ini dalam bentuk wacana, forum, diskusi yang berterusan. Di dalamnya terkandung beberapa polisi, dasar dan hak yang ada pada negeri Sabah seterusnya menjawab banyak persoalan besar dan tidak selesai sehingga hari ini iaitu soal pembangunan ekonomi dan kemajuan negeri ini.


Saya memberikan sedikit pandangan....


Ancaman atau Peluang ?

Saya kira kita tidak perlu tergesa gesa menerima semua reaksi yang timbul kesan daripada pengabaian oleh parti pemerintah. Sentimen 'orang malaya', 'sabah keluar dari malaysia' antara respon respon terkini beberapa pihak yang ada tujuan tujuan politik tertentu, tidak harus dipandang sebagai 'bunyi bising' semata. 

Jika kita mampu mengambil posisi yang terbaik, kita boleh memilih untuk menjadi moderator diantara dua pihak. Kesempatan ini adalah peluang terbaik untuk memberikan Islam sebagai solusi seperti yang pernah dibentangkan oleh Tuan Guru Presiden PAS di Sabah bahawa Islam memperuntukkan kekayaan terlebih dahulu kepada negeri dimana hasil bumi ditemui. Setelah selesai masalah rakyat dinegeri tersebut, barulah kekayaan itu diberikan kepada kerajaan pusat. 

Hal ini juga selari dengan apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963, iaitu 40 persen daripada hasil cukai di Sabah di serahkan semula kepada rakyat Sabah. Bukan di borong semua oleh parti pemerintah!

Di tengah tengah kemelut sentimen ini, anak muda dimana?...peluang atau ancaman

Pesan Murobbi

Berkata Imam al Ghazali, 'buah ilmu itu ialah amal'......



Kita sangat menitiberatkan anak muda yang berilmu yang akan membimbing amal dan semangatnya, pada sama kita juga amat ketandusan anak muda berilmu yang beramal dan kental semangatnya.




Agar RCI Mesra Perjuangan






Sahabat Saya AJ bersama Dr Jeffry

Saya bersama dua lagi orang sahabat menghadiri satu lagi wacana yang amat berkait rapat dengan perjuangan anak negeri Sabah.  

RCI disorokkan? begitulah bunyi tajuk pada malam itu.


Umumnya, bila disebut sahaja berkaitan RCI, ia pastinya mengundang pelbagai sentimen perasaan dikalangan masyarakat di Sabah. Bagi sebahagian masyarakat bumiputera Sabah khususnya, isu ini telah lama menjadi duri dalam daging ditambah lagi dengan layanan 'anak tiri' oleh kerajaan persekutuan dalam mencari penyelesaian sejak puluhan tahun dahulu, memburukkan lagi keadaan.

* * *

Antara panel yang konsisten memperjuangkan isu berkaitan RCI ini iaitu Dr Chong Eng Leong. Dalam beberapa siri wacana sebelum ini samada anjuran Pakatan Rakyat atau lokal parti seperti Star, SAPP dan lain lain, beliau sering menarik perhatian dengan penyampaian yang penuh dengan data dan fakta berkenaan pendatang tanpa izin, ic projek dan masalah yang kritikal yang timbul daripada isu tersebut.

Saya tidak ingin mengulas panjang berkenaan wacana pada malam tersebut namun, apa yang saya rasakan perlu dan penting iaitu apakah tindakan seterusnya dalam menarik sokongan seluruh masyarakat sabah yang populasinya terdiri daripada kepelbagaian suku kaum dan agama.

Sedikit kerisauan pada malam tersebut iaitu sentimen perkauman yang masih diwarisi daripada wacana wacana sebelum ini. Jika dirujuk kepada tajuk wacana, perbincangan seharusnya menjawab dengan tuntas samada sebahagian fakta disorok atau tidak? seperti biasa, ia mengheret semua yang ada pada malam tersebut berundur seperti 10 tahun kebelakang dimana audien hanya mampu melontarkan angka demi angka, masalah demi masalah, kerunsingan demi kerunsingan, yang menyebabkan perbincangan menjadi tepu dan sarat dengan pelbagai masalah tanpa sebarang tindakan seterusnya yang lebih tuntas.

Tolak ke tepi siapa dalang disebalik semua ini, 
tolak ke tepi kelemahan agensi kerajaan yang terlibat,
..yang penting bagaimana peranan Sabahan bersatu dalam isu ini.

Satu point penting yang disimpulkan oleh pengerusi wacana iaitu puan Ann Lasimbang dan dipersetujui oleh semua yang hadir iaitu 'sabahan mesti bersatu mengangkat isu RCI' ini. Saya juga bersetuju...

Bagaimana Kita Bermula ?



Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia Tahun 2010

                                      Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia Tahun 2010

Jika dirujuk kepada data diatas, kita mungkin mendapati bahawa antara cabaran yang perlu dihadapi kearah menyatukan suara masyarakat Sabah dalam isu RCI ini iaitu pecahan suku kaum yang boleh dibahagikan kepada 3 kelompok besar iaitu bumiputera sabah, bukan bumiputera dan warga asing.

Jika diimbas kembali kepada wacana wacana yang cuba mengangkat dan mempertahankan hak bumiputera, ia lebih menonjolkan perjuangan suku kaum tertentu dan tidak melibatkan majoriti besar masyarakat Sabah. Sepanjang pemerhatian saya, walapun terdapat pecahan yang besar dalam suku kaum Sabahan, namun yang sering kelihatan dan kedengaran lantang menyuarakan isu ini iaitu suku Kadazan-Dusun-Murut. Bumiputera yang lain bagaimana?...

Persoalan ini yang perlu dirungkai, mengapa penglibatan bumiputera sabahan yang lain masih tidak menunjukkan kebersamaan?..Apakah halangan yang menyebabkan isu ini masih dilihat hanya merujuk kepada bumiputera sabahan tertentu sahaja?..Jika keadaan ini masih berterusan, RCI perlu bekerja lebih keras lagi untuk mendapat sokongan bumiputera yang lain untuk mencipta momentum yang lebih besar.

Justeru saya begitu berminat untuk membuka perbincangan yang lebih objektif dalam menghadapi cabaran menyatukan suara rakyat Sabah. Pandangan saya, mesti ada PENDEKATAN yang sesuai dan terbuka yang merentasi tembok suku kaum dikalangan bumiputera sabahan sendiri.

* * *


AGAMAISLAMKRISTIANBUDHAHINDULAIN-LAIN
NEGERI
MALAYSIA61.3%9.2%19.8%6.3%3.4%
JOHOR58.2%3.3%29.6%6.6%2.3%
KEDAH77.2%0.8%14.2%6.5%1.3%
KELANTAN95.2%0.3%3.8%0.2%0.5%
MELAKA66.1%3.0%24.2%5.7%1.0%
N. SEMBILAN60.3%2.4%21.2%13.4%2.7%
PAHANG74.9%1.9%14.4%4.0%4.8%
PERAK55.3%4.3%25.4%10.9%4.1%
PERLIS87.9%0.6%10.0%0.8%0.7%
PULAU PINANG44.6%5.1%35.6%8.7%6.0%
SABAH65.4%26.6%6.0%0.1%1.9%
SARAWAK32.2%42.6%13.5%0.2%11.5%
SELANGOR57.9%3.8%24.4%11.6%2.3%
TERENGGANU96.9%0.2%2.5%0.2%0.2%
KUALA LUMPUR46.4%5.8%35.7%8.5%3.6%
LABUAN76.0%12.4%9.0%0.4%2.2%
PUTRAJAYA97.4%0.9%0.4%1.0%0.3%
SUMBER: BANCIAN JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA 2010                 


Faktor agama juga merupakan cabaran yang perlu diambil berat oleh RCI kerana ia memberikan pengaruh yang besar kepada suku kaum di sabah. Sabah sendiri pernah melalui pengalaman ketegangan dan huru hara seperti 'the silent riot' yang muncul akibat sentimen keugamaan yang diapi apikan.

Data diatas menunjukkan pecahan dari sudut ugama suku kaum di sabah terbahagi kepada dua pecahan besar iaitu Islam dan Kristian. Ringkasnya, jika RCI masih tidak mampu memecah mentaliti dan kegusaran umat Islam di sabah, RCI akan kehilang hampir 60 peratus sokongan bumiputera Islam dan bukan bumiputera. Belum lagi dipecahkan sokongan mereka terhadap mana mana parti samada pakatan rakyat, barisan nasional dan parti tempatan seperti sapp, star dan lain lain.

Tinggal berapa peratuskah lagi yang masih mahu mengangkat isu RCI ini jika muncul tanggapan RCI ini hanya milik parti tertentu sahaja? Bertambah parah lagi jika ia dikecilkan lagi skopnya kepada perjuangan parti tempatan tertentu sahaja.

Antara persoalan besarnya disini, bagaimana mahu memenangi masyarakat Islam di Sabah tanpa menyentuh isu yang menjauhkan sokongan umat Islam terhadap RCI?  Mampukan RCI mewajahkan perjuangannya agar ia juga mewakili perjuangan masyarakat umat Islam di Sabah? atau RCI awal awal lagi sudah meletakkan benteng yang tinggi di hadapan masyarakat Islam kerana sebahagian besar isu RCI ini berkait rapat dengan orang Islam itu sendiri???

Jika dirujuk kepada data yang sering dibentangkan oleh Dr Chong Eng Liong, sebahagian besar kelompok 'bermasalah' yang ditimbulkan oleh RCI ini adalah dari kalangan penganut agama Islam. Jadi apa dan bagaimana bahasa yang harus digunakan agar ia boleh diterima oleh masyarakat Islam yang lain? atau jadikan saja semua yang berkaitan adalah 'bersekongkol' dalam isu PTI, Ic palsu dan yang sewaktu dengannya.

Sekali lagi isu ugama, mencabar RCI untuk mengubah PENDEKATANnya agar tidak menyinggung masyarakat Islam sabahan pada sama keadilan untuk hak bumiputera terus dipertahankan oleh semua.

* * *

Jika saya meletakkan diri sebagai ahli politik, satu perkara yang merisaukan saya iaitu satu istilah 'divide and rule' yang pernah diamalkan oleh penjajah suatu masa dahulu terhadap tanah jajahan mereka.

Tujuan 'divide dan rule' ini supaya berlaku pemisahan dikalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai ugama, bangsa dan adat budaya disamping bidang pekerjaan masing masing. Pemisahan ini pastinya menjauhkan sebuah kesatuan apatahlagi sebuah kemerdekaan.

Kini 'divide and rule' boleh saja dalam pelbagai bentuk. Mengangkat isu hak peribumi tetapi dikecilkan kepada suku kaum tertentu hanya melahirkan sentimen kurang senang dan tidak selesa dikalangan masyarakat sabahan. Lahir curiga kerana bangsa, lahir curiga kerana ugama dan lahir pelbagai sentimen yang mencipta benteng seterusnya membahagi bahagikan rakyat Sabah dalam satu pulau yang penuh dengan petak petak dan tembok pemisah. Kesatuan???

Berhati hati kawan kawan sabahan, mungkin kita masih diselimuti 'divide and rule'. dan sekali lagi sabah akan di isytihar sebagai aset mereka!




Meluaskan Makna Seorang Daie


Saya masih menyimpan cita cita untuk membukukan segala yang tercatat di dalam blog ini. Mungkin suatu hari nanti, bila saya tidak ada lagi di dunia ini, generasi yang akan datang dapat memanfaatkan perjalanan hidup saya yang tidak seberapa ini untuk dakwah.

Setiap orang ada pengalaman masing masing dalam menempuh perjalanan hidup. Mungkin bagi saya, tidak seperti pengalaman orang lain yang mampu pergi jauh ke negara lain dan bertemu pelbagai budaya dan bangsa. Bagi saya, jika ada sedikit pengalaman mengenai sosio politik di bumi bawah bayu ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa sahaja pembaca itu sudah memadai.

Mungkin sudah ramai yang memilih untuk post di timeline facebook masing masing memandangkan ia memudahkan penulisnya. Namun, kebiasaan ada sebahagian penulis hanya mahu memikirkan isu isu yang ringan ringan cuma. Kesannya, terbit pandangan yang bukan dari analisis yang mendalam terhasil. Oleh sebab itu saya memaksakan diri agar menjadi biasa dengan tulisan yang panjang agar proses analisis secara mendalam dapat saya teruskan walaupun masih banyak kekurangannya.

* * *
Sebuah buku yang bertajuk 'Tsaqofah ad Da'ieyah' tulisan Dr. Yusuf Qardawi tidaklah semahsyur buku bukunya yang lain. Tetapi, bila di belek semula pandangan beliau dalam buku ini ia sangat memberi pedoman kepada kita sebagai pendakwah untuk lebih mengenali dan mendekati mad'u kita.

Antara perkara penting yang beliau sebutkan di dalam buku ini iaitu salah satu persiapan seorang da'ie ialah kita mestilah mempelajari dan menguasai ilmu sosio budaya setempat.  Memahami sosio budaya setempat ini tidak sekadar terikat kepada apa yang biasa kita alami setiap hari tetapi juga berupa pemikiran dan kecenderungan masyarakat setempat dalam memahami hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

....Dengan pelbagai isu isu berat yang melanda seperti isu tanah, isu kalimah Allah, isu borneosasi dan lain lain lagi, bagaiman kita menempatkan diri kita dalam memahami bahasa mad'u kita khususnya masyarakat sabah yang mempunyai kepelbagaian budaya dan agama ini. Tentu sekali cara mereka melihat dan menerima isu ini jauh berbeza daripada cara kita melihat. Dan perkara inilah yang mesti menjadi subjek yang perlu ditekuni oleh mereka yang mahu turun ke medan dakwah.

Dalam membina jambatan sebuah perkenalan kepada mad'u kita, perbezaan bukanlah titik yang perlu kita besarkan sebaliknya mencari persamaan terlebih dahulu. Mana mungkin sebuah perkenalan terhasil jika kedua dua pihak melalui jalan berbeda.

***
Puan Jeni sedang memberi penerangan

Bergambar bersama semua audiens anak muda dalam program 'Diskopi'

Malam ini saya bertuah kerana dapat bersama adik adik mahasiswa berbincang santai mengenai isu isu semasa nasional dan tempatan. Tambah meriah lagi kerana bersama kami iaitu Puan Jeni Lasimbang iaitu Ketua Jawatankuasa BERSIH Sabah. Panjang beliau huraikan berkenaan beberapa isu di Sabah yang sangat berkait dengan hak asasi manusia. Beliau juga turut menyampaikan pandangan beliau berkenaan dengan beberapa isu yang pada saya sangat kontra dengan pandangan sebagai seorang muslim.

Namun, seperti yang saya telah sebutkan diatas tadi bahawa mencari titik persamaan ini akan membawa kita kepada jalan yang lebih mudah untuk memahami bahasa masyarakat di Sabah khusunya golongan pertengahan. Dalam bahasa mudahnya, inilah sosio budaya gologan pertengahan masyarakat di Sabah yang turut mengindamkan sebuah 'keadilan dan pembelaan hak' untuk masyarakatnya. Dengan memahami 'bahasa' mereka, ini akan membuka satu jalan yang lebih luas dalam bentuk kerjasama program program kesedaran dan pendidikan hak sebagai rakyat.

Nah, betapa kita telah berjaya sebenarnya membawa dakwah kita ke tengah tengah masyarakat. Tidakkah ini satu permulaan sebuah kejayaan ? ya, terbukti benar apa yang telah di huraikan oleh Dr. Yusuf al Qardawi dalam bukunya 'tsaqofah ad da'ieyah'...

Sebuah lagi buku beliau yang seharusnya menjadi rujukan ahli gerakan Islam iaitu 'Kebangkitan Gerakan Islam, Dari Masa Transisi Menuju Kematangan'. Beliau menggariskan 10 kaedah bagi memastikan setiap perubahan yang ingin di tegakkan tidak terlalu jauh dari realiti dakwah. Antaranya beliau menyebut bahawa transisi mestilah berubah daripada 'retorika kepada aksi dan penerapan'. Maka mesti ada usaha yang serius untuk membawa prinsip dan matlamat dakwah yang dilaung laungkan dalam kuliah kuliah, bilik bilik seminar, dan majlis majlis ke lapangan sebenarnya. Tanpa aksi dilapangan, dunia kita dan dunia mereka sungguh jauh berbeda!

...Dan bagi meluaskan lagi ufuk dakwah ini, saya menyarankan agar semua permasalahan dakwah dilapangan tidak harus dilihat hanya kejahilan ilmu semata. Ada kalanya warna dan bahasanya berubah kepada istilah seperti 'hak peribumi', 'hak asasi', 'borneosasi', 'dasar kabotaj' dan lain lain.

Saya juga berharap agar kita tidak terperangkap dan alergik dengan istilah sosialis, atheis, lalu tenggelam dalam pertarungan istilah yang berlarutan. Sedangkan di sisi dakwah, jalannya sangat mudah dan mesra alam.

Selamat mencuba!







Agar Mati Mengajar Kita




Sengaja saya menatap gambarnya  beberapa kali. Agar kembali beberapa detik memori yang tidak banyak bersamanya, namun terasa begitu bermakna dan mendalamnya rasa.

Saya juga seperti teman teman yang lain, tidak menyangka begitu cepat beliau pergi. Lebih cepat dari kedua ibu bapanya dan neneknya yang masih ada.




Begitu banyak peringatan peringatan tentang kematian kita tempuhi setiap hari. Namun, kadang kadang ia berlalu seperti biasa. Kematian diluar sana setiap detik terjadi di hadapan mata kita. Batu nisan dan tanah perkuburan tidak sedikit menghias laluan ke tempat kerja atau kawasan permainan.

Apakah sekerap itu juga hati kita tersentuh tentang hidup sesudah mati ? hidup yang kekal abadi sesudah mati ? Kehidupan akhirat yang luas terbentang berbanding dunia yang sempit ?

Demi menghidupkan rasa itu, saya menatap lagi gambarnya. Kerana yang telah pergi ini masih terlalu segar ingatan, masih terasa hangat gurau sendanya. Agar benar dan terpahat sedalam dalamnya apa yang disabdakan oleh baginda junjungan mulia Muhammad s.a.w, "sebaik baik peringatan ialah mati"



Kita berpisah disini, untuk bertemu lagi disana


Mati mengajar kita hidup penuh bakti, kerana singkatnya masa & tenaga untuk hal yang kecil kecil....
Mati mengajar kita tidak kenal erti kecewa, kerana luasnya akhirat dan sempitnya dunia...
Mati mengajar kita erti kasih sayang, kerana sia sianya masa dengan pertengkaran dan permusuhan...
Mati mengajar kita terus mara kehadapan, kerana dunia akan terus kita tinggalkan selamanya...


Nota Ringkas Pasca Muktamar 59


Pasca Muktamar PAS Pusat kali ke 59, saya menjangkakan beberapa perkara yang hangat dibincang sebelum ini akan selesai. Begitulah polemik yang menjadi kebiasaan berlaku disaat saat akhir pemilihan pucuk pimpinan.

PAS Sabah juga saya kira mengambil bahagian dalam muktamar kali ini. Dalam sesi perbahasan ucapan dasar, wakil PAS Sabah ada mengutarakan berkenaan perlantikan calon naib presiden daripada borneo untuk Sabah dan Sarawak. Hal ini bagi memastikan suara dari sabah benar benar menjadi keutamaan di peringkat kepimpinan PAS Pusat.

Umno-Bn sudah hampir tewas sebenarnya di semenanjung. Mujur Sabah menjadi 'talian hayat' kepada mereka dengan kemenangan hampir disemua kawasan Dun dan Parlimen. Faktor faktor seperti pembangunan sangat memberi kelebihan kepada umno-bn dan sebaliknya menjadi satu hambatan kepada Pakatan Rakyat untuk mencipta sejarah pada PRU ke 13.



Pemuda Negeri Sabah



Pemerhatian saya, masih jelas ketidakseimbangan diantara kawasan kawasan yang hadir sebagai perwakilan. Seingat saya usaha untuk mengangkat gerak kerja pemuda ke peringkat nasional telah dimulakan sejak 4 tahun yang lalu. Namun, idea yang telah dilontarkan oleh ketua pemudanya iaitu sdr. Lahirul Latigu masih tidak mampu diangkat oleh hampir kebanyakkan perwakilan kawasan. Hanya beberapa kawasan sahaja yang dilihat mampu menyinggung isu isu tersebut.

Beberapa saranan telah dilontarkan dalam muktamar sebelum ini bagi memposisikan pemuda pas negeri agar dilihat mampu menguasai dan menjuarai isu negeri seperti penglibatan secara langsung dengan isu yang menjadi denyut nadi rakyat Sabah seperti isu tanah, perkara 20, dasar kabotaj, perjanjian 1963, royalti minyak dan beberapa isu kritikal di Sabah. Namun, isu isu seperti ini masih kurang disentuh oleh muktamar pemuda baru baru ini.

Mungkin bagi pemerhatian saya, isu dalaman parti lebih mendominasi suasana muktamar dan menjadikan isu sebenar yang lebih penting dan genting untuk dibahas di letakkan ke tepi oleh perwakilan.

Saya percaya kita semua tahu isu isu berat seperti kes kes penyelewengan hak rakyat yang berleluasa di Sabah. Cumanya, bagaimana caranya agar isu isu ini menjadi satu 'dokumen' dan bukti rasmi kepada penyelewengan tersebut dan valid untuk dikemukakan di mahkamah atau jika tindakan tersebut di cabar oleh pihak lawan. Saya yakin, penguasaan terhadap isu akan menggerakkan mekanisma bantahan rakyat seperti himpunan aman, demonstrasi, memorandum dan lain lain. Sayangnya, isu isu berat ini hanya berlegar di sekitar gadget gadget ahli sahaja.

Penguasaan terhadap isu juga penting kerana ia menjadi satu asas kepada permulaan pembinaan polisi-dasar cadangan yang menepati keperluan rakyat negeri Sabah. Ia bukan kerja mudah.  Polisi-dasar ini perlu mantap isinya, menyeluruh kandungannya dan merakyat cara perlaksanaannya. Melontar isu ke tengah tengah gelanggang bukan semudah itu, yang pastinya mengundang dan membuka medan perlawanan dengan pihak yang satu lagi.

Mampukah kita mempertahankan hujah dengan fakta yang kuat dan kukuh? Mampukah kita berhadapan serangan balas dari pihak lawan yang jauh lebih berpengalaman dalam politik di Sabah ? Kita ada hujah dan fakta, tetapi kita mungkin belum mahir seni tempurnya kerana kurang pengalaman berlimang dengan sepak terajangnya.

PAS Sabah ada seorang dua figura yang boleh berdiri sebaris dengan tokoh politik lawannya dan punya pengalaman yang tidak kurang hebatnya. Sebelum ini kedengaran desas desus mengatakan PAS Sabah masih belum mendapat penghormatan yang sewajarnya daripada rakan rakan pakatannya. Maka langkah sewajarnya perlu diambil tindakan segera. Mahu imej PAS Sabah lebih segar dan bersedia dihormati kawan mahupun lawan? faktor figura sangat penting di catur sebaiknya kerana ia akan menentukan corak perubahan dan menentukan tahap penerimaan masyarakat Sabah seterusnya meruntuhkan tembok lama 'PAS parti semenanjung'.


Negara Berkebajikan Vs Autonomi For Sabah




Masih ada kerisauan dikalangan aktivis mengenai tuntutan autonomi untuk negeri sabah dan beberapa lagi isu yang berkaitan dengan hak rakyat Sabah yang menuntut kerajaan persekutuan bertindak dengan adil. Tuntutan ini menjadi satu suara kesepakatan dikalangan rakan rakan pakatan rakyat untuk diangkat menjadi suara rakyat menuntut hak mereka terhadap kerajaan BN yang memerintah. PAS sabah bagaimana? rasanya belum ada suara yang begitu lantang menuntut hak yang sama seperti yang dilaungkan oleh DAP dan PKR.

Seimbas lalu suara dari tuntutan-tuntutan tersebut seolah olah bertentangn dengan semangat federalisme. Ditambah lagi kenyataan beberapa tokoh lama tempatan yang menuntut hak yang sama sangat keras 'kenegeriannya' dan kurang enak di dengar oleh orang 'malaya'.

Perkara ini harus dimurnikan dengan segera. Tidak perlu timbul kerisauan bahawa jika PAS menuntut hak yang sama, maka kita juga senada dengan parti tempatan seperti Star dan Sapp. Tidak perlu risau terbawa bawa rentak pihak lain. Dokumen buku jingga pakatan rakyat sabah dan dokumen negara berkebajikan lebih memadai dan mencukupi untuk memenuhi tunturan rakyat sabah. Mudahnya, tuntutan tuntutan tersebut adalah huraian kepada kedua kedua dokumen iaitu buku jingga dan negara berkebajikan.


Pasca Konvensyen PAS Sabah

Saya terlewat sedikit tiba di lokasi konvensyen yang diadakan di Tawau. Beberapa kertas kerja yang sempat saya ikuti daripada kalangan akademik membuka pelbagai respon terhadap isu yang dibincangkan. Dalam banyak banyak topik perbincangan itu, soal penerimaan masyarakat sabah terhadap Pas masih menjadi isu yang sering dibangkitkan dalam usaha memenangi setiap pilihanraya umum.

Dalam satu slot pembentangan, antara isu utama kesukaran melarutkan Pas dalam kompleksiti masyarakat di sabah iaitu masih kentalnya ikatan kekeluargaan yang akhirnya menjadi penentu kepada arah sokongan politik. Istilah 'war lord' yang diguna pakai terbukti begitu berkesan meraih undi secara pukal khususnya dikalangan masyarakat luar bandar. Soalnya, apakah ada faktor lain yang boleh memberikan impak yang sama seperti peranan yang dimainkan oleh 'war lord' ini?

Saya lantas mencadangkan, satu satunya faktor itu iaitu golongan agamawan iaitu para ustaz. Golongan ini ada tempatnya disisi masyarakat sabah. Mereka dihormati sama seperti penghormatan kepada 'war lord'. Justeru, keberadaan Dewan Ulama dalam Pas seharusnya digerakkan dengan lebih agresif. Bersediakah Dewan Ulama Negeri Sabah ?

Selain beberapa slot yang penting, saya juga mencadangkan agar wakil dewan pemuda dapat mempersembahkan angka dan alasan yang konkrit. Kritikan itu ada benarnya, namun pendengar tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan dan akhirnya berakhir dengan respon yang agak emosi.

....Seterusnya, kita nantikan pula munaqasyah. Asah hujah, tajamkan idea !





Anak Muda Sabahan, Bangkit!



Anak Muda GEGAR dan Calon Muda DUN Tg Batu di pejabat SUHAKAM

Berita tentang penahanan lima aktivis Mahasiswa dari UMS KAL mungkin tidak sehangat isu pencerobohan di Lahad Datu. Jika disiar di media, mungkin hanya beberapa keratan akhbar sahaja yang ambil peduli. Bezanya dengan isu Lahad Datu, ia isu kedaulatan negara dan pencerobohan pihak asing.

Saya tidak perlu lagi mengulas isu Lahad Datu ini kerana semua isi dan sudut pandang telah habis diulas berminggu-minggu samada pengulas profesional ataupun pengulas amatur di warung kopi. Kenapa saya beralih kepada isu penahanan anak muda ini?..mungkin ada sesuatu yang perlu kita lihat dari sudut pandang sebuah kebangkitan jauh di timur Malaysia.

Walaupun secara fizikalnya saya tidak bersama anak muda ini, tapi jiwa saya sentiasa bersama dan merasai denyut kesedaran mereka membela rakyat khususnya di Sabah.

Anak Muda Ada Sejarahnya

Mengapa kebangkitan anak muda sering di sinonimkan dengan kebangkitan yang emosional ? Adakah bermaksud anak muda ini bila menunjukkan sikap tidak bersetuju dengan sesetengah pihak, ia lebih kepada lantunan emosi? Apakah nilai rasionaliti langsung tidak diambil peduli ? saya kira itu hanya pandangan selapis, yang hanya melihat kemaraan anak muda hanya tindakan yang spontan. Namun, lihatlah kepada sejarah. Ketika parti politik oposisi mengambil langkah 'selamat' berhadapan kezaliman pemerintah, anak muda dari kalangan mahasiswa terpelajar tidak gentar berhadapan kekerasan polis, berarak menuju parlimen, akhirnya sebuah kerajaan akur, mengikut kemahuan mahasiswa Indonesia. Pemerintahan Pak Suharto terpaksa tunduk kepada rakyatnya, di tangan mahasiswa. Kemenangan untuk anak muda.

Jelas sekali, kebangkitan anak muda ada rasionalnya. Ia bergerak dengan emosi, kerana faktor sekelilingnya yang dinafikan hak, di zalimi oleh penguasa.

Dari Emosi Kepada Rasionaliti

Saya kira yang melihat kebangkitan anak muda cuma emosi semata-mata, adalah satu bentuk pandangan yang emosi juga. Tidak melihat kepada kesan jangka panjang dan apa yang berlaku disekirnya. Jika kebangkitan anak muda ini dilihat emosional, rasionalnya kerana faktor faktor seperti kemunduran sistem pendidikan, prasarana yang masih ketinggalan jauh, jurang kemiskinan yang semain melebar dan pelbagai lagi. Inilah yang berlaku di Sabah!

Hakikatnya, kebangkitan anak muda adalah lahir dari rasionaliti, menyedari kekusutan yang berlaku lalu timbul kemahuan untuk merobah suasana.

Anak Muda Sabahan

Iya, kesedaran itu sudah tiba. Walaupun gelombangnya masih belum sepenuhnya, saya yakin jika kita sama-sama meneliti dengan saksama, dari nurani, gelombang kesedaran anak muda Sabahan ini akan mengalir ke fasa yang seterusnya.

Penangkapan lima aktivis mahasiswa adalah satu lagi fasa yang menuntut kita sama sama mewarnai kesedaran dikalangan anak muda ini. Sentimen ini mesti dimainkan dikalangan anak muda kerana mereka juga punya hak mengundi bagi menentukan kepimpinan negara ini. Kenapa tidaknya, golongan ini adalah penentu yang mampu memberi impak berskala besar pada PRU yang ke 13 tidak lama lagi.

Anak muda yang terlibat dalam GEGAR dan GM13 mesti meluaskan lagi pengaruh keserata pelusuk Sabah, memanggil anak muda turun ke gelanggang beraktivitas. Belum pernah dalam politik Sabah, melalui pemerhatian saya, ada satu platform yang mewakili anak muda sabahan yang sebahagian besarnya tidak berpihak kepada mana mana parti politik. Sebahagiannya besarnya belum ada kesedaran tersebut!

Anjakkan baru ini melalui GEGAR dan GM13, anak muda Sabahan usah ragu lagi untuk berperanan mengubah lanskap politik dengan terlibat secara langusng. Penahanan Mahasiswa GM13 di Labuan baru-baru ini, membuktikan komitmen anak muda kepada perubahan, bukannya omong kosong!

..saya katakan begitu, kerana di Sabah, belum pernah lagi berlaku penahanan Mahasiswa atas faktor nasional. Isunya, Teraju pemerintahan negara telah lari dari acuan pemerintahan sebenar untuk memakmurkan negara, membela rakyat.

Di Mana Anak Muda Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah ?

Satu kekurangan yang dapat saya rasai dari kebangkitan ini iaitu keterlibatan mahasiswa UMS yang belum kelihatan (mungkin disebalik tabir). Jika UM di Kuala Lumpur menjadi pusat melahirkan tokoh tokoh mahasiswa yang kini menerajui pemerintahan negara, saya rasa UMS juga harus bergerak ke arah itu. Bagaimana Mahasiswa UMS ?..usah bicara soal perjuangan, jika takut pada cabaran!

PAS dan Anak Muda

Saya tidak mahu menyinggung banyak soal ini. Apa yang berlaku sekarang sememangnya wajar untuk ditingkatkan lagi. Saya memetik Ucapan Tuanku Raja Nazrin dalam satu ucapannya dalam satu seminar mengatakan bahawa PAS kini menjadi saluran terbaik bagi anak muda, terlibat menyumbang bakat dan kepakaran yang mereka punyai.

Namun, setiap tempat ada irama dan lagunya sendiri. Rentak politik di semenanjung semestinya berbeda sedikit daripada Sabah. Maka, saya ingin menegaskan perlunya kepada 'ijtihad' sendiri di kalangan sebahagian pimpinan PAS agar tidak terlalu terikut-ikut atau terbawa bawa masalah di semenanjung ke Sabah. Ada yang perlu kita raikan dan ada yang perlu kesampingkan dalam melayani kebangkitan anak muda.

Sejarah, budaya, pendidikan dan lain-lain ini semua mesti menjadi pertimbangan. Memberikan keutamaan kepada yang lebih utama seperti yang digariskan oleh ulama tersohor seperti Prof Dr Yusuf Al Qardawi dan lain lain. Jika kita memberikan satu semangat kepada anak muda ini, ia mampu melaksanakan 100 gerakkerja, tapi jika kita memberikannya 100 ketakutan, ia hanya mempu melaksanakan 1 perkara sahaja. Lihatlah sendiri....

..berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan ku goncang dunia ini...






Pergilah Menuju Bakti, Adindaku


Mencari sebab untuk apa, menulis di blog yang telah lama ditinggal...

Kemahuan sentiasa tercetus setiap kali idea tercipta....Namun, kekuatan belum juga mahu menggerakkan gerak hati lekas-lekas menumpahkan apa saja yang ia mahu.

Kali ini, kemahuan benar-benar kuat untuk mencoret, kerana ada satu dorongan. Dorongan inilah yang menjadi alasan agar perancangan sebelum ini tidak kandas seperti yang sebelumnya.



Saya menerima mesej daripada seorang sahabat, adindaku Muhd Nadir An Nuri memberitahu pemergiannya  menyambung pengajian di Universiti Islam Gaza. Sebelum itu, beliau merupakan mahasiswa di salah sebuah universiti di Syria yang sedang tenat bergolak sekarang.

Jika dia manusia biasa-biasa, belum ke Syria lagi niat sudah di batalkan kerana sebab-sebab yang difikirkan memang wajar untuk tidak kesana. Tapi sehingga ke hari ini, bukan saja dapat hidup di tengah suasana masyarakat, budaya dan muka bumi yang berbeza dengan suasana di tanah airnya, malah mampu memberi sumbangan yang besar kepada umat Islam di sana.

Itulah peribadinya yang saya kenal sejak dulu. Semangatnya, kemahuannya sentiasa membara yang tidak mudah di lemahkan oleh alasan yang remeh temeh kebanyakkan anak muda seusianya. Sewaktu menuntut di UMS dulu, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk pergi jauh ke pedalaman Sabah mendekati masyarakat disini. Hasilnya, lahir anak tempatan yang punya kesedaran Islam.

Peribadi seperti adindaku ini juga yang setengah naqib dan abang-abang tidak berapa selesa. Bukan kerana buruknya atau sebagainya. Malah seriang mendapat label 'keras kepala'(dengan izin), bergerak sendiri, menyusahkan organisasi atau 'terlalu laju' dan lain lain lagi. Saya antara yang dekat dengannya memilih untuk tidak menggunakan label-label seperti itu.

Saya melihat jauh ke dalam dirinya. Apa bakatnya yang terpendam, cuba saya fahami dan selami. Pada masa yang sama saya belajar dari sikapnya, ketekunanya dalam setiap tindakan dan gerak kerja. Ya, memang ada, jika digilap bakat itu akan tumbuh dengan sempurna. Soalnya bagaimana?

Apakah kaedah membentuk jiwa manusia itu sama seperti terbentuknya logam dan bahan bahan pejal? Bentuknya sudah siap, acuannya sudah ada, ikut saja. Atau berikan saja dua pilihan, yang satu hitam dan yang satu putih. Pilihan antara dua sahaja, tiada pilihan lain!?...anda akan merasa sempit memikirknnya.

Membentuk manusia kata cendekiawan perlu ada 'Pedagoginya'. Seorang guru contohnya, melangkah masuk ke kelas dengan pelbagai karenah murid-murid, perlu ada pedagogi. Begitu juga dengan seorang petani, melangkah ke bendang perlu ada pedagogi. Apakah seorang naqib atau senior dalam perjuangan tidak perlu kepada pedagogi?..

Betapa harmoninya, petak petak sawah kelihatan 'HIJAU' kerana sawah padi yang cukup isipadu bekalan air. Air itu pula mengalir dari parit-parit kecil yang dibentuk sedemikian rupa dari tali air utama. Dari sungai di alirkan ke tali air, dari tali air ke parit dan alur kecil, dari alur terus mengalir mengairi petak sawah.  Lihat pedagogi seorang pesawah!...alam mengajar kita sunnatullah.

Boleh saja kaedah hukuman di guna pakai. Apakah pertimbangannya sudah cukup matang? jika belum, kita telah memilih lebih banyak aksi-aksi pertembungan yang natijahnya adalah lemah dan perpecahan. Kesan pukulan, dari 'BIRU' menjadi lebam, bengkak kemudian bernanah.

Pedagogi mengacu keberkesanan tarbiah, seperti sang pesawah menangani derasnya arus sungai, dialirkan ke tali air, dialirkan pula ke alur dan parit kecil akhirnya sampai ke petak yang segar meng 'HIJAU' sawah padinya. Tidak lama lagi kita akan tuai hasilnya, percayalah.

Pergilah adindaku ke medan bakti...kami telah menuai hasilnya, gaza menjadi saksinya.