Ramadhan Mereka

Ramadhan menjelang lagi. Fikiran saya terus melayang, teringatkan keluarga-keluarga muallaf yang pernah saya ziarahi dulu. Sesungguhnya, antara iktibar besar yang perlu kita cedok dari puasa iaitu sama-sama merasai rasa lapar orang-orang yang susah. Bagaimana puasa mereka disaat-saat waktu berbuka ? apakah ada juadah yang sedap-sedap seperti mana kita ?


Betapa disiang hari, kerja seperti biasa beratnya, mendaki anak-anak bukit entah apa saja yang dipikul di bahu. Digagahkan juga meneruskan puasa walau tidak terbayang pun dalam kepala air sirap sejuk yang memasahi tekak bila berbuka puasa nanti. Ketika maghrib menjelang tiba, mungkin hanya air sejuk yang ditadah dari celah-celah bukit, dipanas dan dibancuh dengan air kopi untuk seisi keluarga dan biskut marry yang sedia untuk dicecah, sebelum tidur berselimutkan embun sambil malam merangkak perlahan menyelubungi alam.


Itulah yang saya sedang fikirkan tentang Muhammad Raihan, Pakcik Abdul Halim, Makcik Soima dan keluarga muallaf yang lain. Mereka sepi walau dikelilingi saudara-saudara seakidah, mereka miskin walau dikelilingi saudara seagama yang punya segala-gala. Akankah nanti, setelah Ramadhan bertukar Syawal, mereka terus disitu, dihimpit derita dan sengsara walau untuk meminta-minta tidak sekali. Mereka terus di sudut itu, terbiar tiada siapa yang peduli walau akidah mereka bagai telur dihujung tanduk.

* * *

Menuju rumah makcik soima di kg poring-poring, jalannya tidak semudah yang kami sangkakan. Kami terkejut dengan jalan berbukit seakan-akan 90 darjah tahap kecerunan.





Cabaran seterusnya iaitu jalan yang masih belum berturap. Bimbang honda wave yang saya naiki tidak mampu terus mara mendaki bukit-bukit yang memeranjatkan keadaanya. Setelah beberapa kali melalui bukit-bukau, tersalah jalan sekali-sekala akhirnya kami bertiga pun sampai ke lokasi. Saya, Nadir dan Syaril belum boleh menarik nafas lega. Ini kerana hanya Syaril seorang saja yang pernah bertemu dengan ahli keluarga makcik Soima, itupun beberapa tahun yang lalu. Mungkin takdir Allah kami tidak sesat ke hutan mana, mudah jalan untuk kami bertemu lokasi rumah makcik Soima. Ketika sampai di laman rumahnya, waktu maghrib pun semakin hampir.




Herman anak yang kedua muncul dari ruang tamu tersenyum manis mempelawa kami naik. Saya biarkan Nadir dan Syaril naik dulu di beranda, takut terlebih muatan, roboh pula rumah makcik Soima. Setelah berasa yakin, barulah saya menyusul naik ke atas. Ketika itu, makcik Soima belum balik dari kebun. Herman kata, emaknya akan balik dalam setengah jam lagi. Sambil menunggu ketibaan, kami meluangkan masa berbual-bual tentang kehidupan di sini. Mengikut maklumat yang diberikan Herman, keluarga mereka merupakan satu-satunya keluarga Islam di kawasan tersebut. Herman sendiri mengakui tidak dapat menyambung pelajaran kerana faktor kemiskinan. Walaupun mereka berlima dirumah ketika itu, adik-beradiknya yang lain terus memencilkan diri, mendengar perbualan kami dari dalam bilik. adik-adiknya memang begitu, segan dengan orang yang tidak dikenali datang bertamu di rumah mereka kata Herman.






Oleh kerana waktu maghrib sudah agak lewat, kami bersiap-siap untuk solat. Sebaik melangkah masuk ke ruang tamu, bunyi lantai tempat kaki berpijak bergesel lembut kerana ia diperbuat daripada buluh yang anyam. Sungguh, sudah agak lama saya tidak berpijak diatas lantai yang diperbuat dari buluh yang dianyam. Kebetulan makcik Soima baru sampai. Walaupun agak terkejut dengan kehadiran kami namun beliau tetap berusaha menyiapkan apa-apa untuk tetamu yang tidak diundang.


Perbualan kami pada malam itu hanya diterangi cahaya lilin. Kami memaklumkan kepada beliau tujuan kedatangan kami ke sini. Sedikit sumbangan berbentuk keperluan seharian dari Dewan Pemuda PAS sebagai tanda prihatin kepada saudara seakidah. Bersama dengan sumbangan tersebut, sebuah potret lima lagi anaknya yang masih berumur belasan tahun kini sedang menuntut di rumah anak yatim Tambunan. Sayu tergambar di wajah ibu tunggal ini menatap wajah anak-anaknya yang tersenyum indah dalam potret. Beliau begitu gembira bercerita peningkatan anak-anaknya sejak belajar di sekolah anak yatim, jiran-jirannya pun turut bercerita mengenai kebaikan akhlak anak-anak makcik Soima. Solat tidak pernah tinggal, aurat pula sentiasa dijaga, sopan santun dengan orang tua.


Menceritakan pengalaman hidupnya setelah kehilangan suami 2 tahun lalu, terasa hiba menyelubungi suasana. Tanah tempat tiang-tiang rumah tinggalan suami beliau ini didirikan, tidak lama lagi akan diserahkan tanpa rela kepada pihak-pihak tertentu. Saya sendiri berasa kagum dengan semangat beliau membesarkan anak-anak dengan penuh kepayahan.


Walaupun banyak lagi yang hendak disembangkan dengan makcik Soima, kami terpaksa meminta diri kerana ada perkara yang lebih kami risaukan. Malam yang semakin gelap, ditambah pula dengan kawasan kampung yang tidak mendapat bekalan elektrik, bimbang risiko tidak berjumpa jalan pulang. Saya terfikir kalau hujan turun pada malam ini, dengan keadaan jalan yang belum berturap, alamat tercampak ke gaung kami semua.


Kami tinggalkan keluarga makcik Soima, dengan harapan dapat bertemu lagi.



Teringat saya Ramadhan mereka...



...dan Syawal mereka...







Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer