Apa Tawaran PR Sabah?



Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 yang baru sudah yang diadakan di Pulau Pinang, mengangkat satu lagi tema berat yang mesti menjadi matlamat bersama penggerak-penggerak Pakatan Rakyat. 'Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia'

Seperti juga disemenanjung, kita mahu Pakatan Rakyat di Sabah juga menjalin persefahaman yang lebih mantap. Apa yang jelas dari sudut garis dasar gagasan yang ingin ditampilkan kepada rakyat, belum ada satu rangka yang betul-betul membezakan dari apa yang ada sekarang oleh BN.

Dengan suasana 'mood' rakyat Sabah yang sudah berani mempersoalkan hak yang seharusnya mereka punyai, pada masa sama Pakatan Rakyat Sabah pula mesti bergerak selangkah lagi dengan kekuatan dan persiapan strategi.

Ada beberapa kompenen isu utama yang saya rasakan perlu di perhalusi agar ada tindakan lebih konkrit diambil tidak hanya sekadar lontaran-lontaran berapi dalam ceramah-ceramah PR. Antaranya seperti Isu pendatang tanpa izin, isu rampasan tanah, isu hak bumiputera dan beberapa isu lain lagi.

Idea untuk membawa perubahan di Sabah bukan tidak ada. Dari ceramah-ceramah yang saya kutip point-point pentingnya, idea tersebut mesti diterjemahkan dalam bentuk garis dasar dan polisi yang boleh disemak ketelusannya dalam bentuk dokumen, ala-ala buku jingga.

Saya belum melihat adanya satu kesepakatan yang kukuh dan didokumentasikan atas komitmen 'Selamatkan Sabah' merujuk kepada apa yang sering diperkatakan oleh orang Sabah, "kami lebih tahu apa yang kami mahu buat". Konotasi itu adalah satu hasrat besar bahawa PR sabah tahu apa yang perlu dilakukan untuk kesejahteraan rakyat negeri ini. Jadi, apa yang ditunggu lagi?

Saya kira telah tiba masanya, kita duduk semeja dan merangka strategi dasar yang menawarkan solusi kepada kompenen isu besar yang saya sebutkan tadi. Mungkin ia mengambil masa sedikit kerana fikrah yang berlainan yang dibentuk dari perbezaan ideologi dan pengalaman yang perlu di murnikan dengan mencari titik temu dan menyempitkan ruang perbezaan.

Kompenen solusi isu yang mahu ditawarkan kepada rakyat mestilah dalam nada dan lenggok bahasa yang sama. Pengalaman saya mengikuti beberapa siri ceramah melibatkan ketiga-tiga parti kompenen PAS, DAP dan PKR, nampak jelas perbezaan yang besar dari sudut memberikan perpektif yang menyelesakan telinga pendengar.

Bila bercakap isu Pendatang Tanpa Izin contohnya, kadang-kadang penyokong yang pelbagai suku bertepuk dalam sinis!

Bermacam-macam nada.......

..PAS tak berapa kisah

..DAP main rempuh saja

..PKR melayang-layang

Kuncinya, kita mesti menjunjung cita-cita yang sama iaitu untuk menjatuhkan Barisan Nasional. Mengambil dari ucapan Tn Guru Presiden PAS, kita tidak boleh menumpang kelemahan Barisan Nasional, sebaliknya mesti melalui usaha dan kekuatan sendiri. Jika kita benar-benar telah memberikan komitmen yang baik, saya percaya arus 'perubahan' itu lebih cepat melanda.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Fiqh Pengorbanan?

Eidul Adha bertandang lagi..


Walaupun tidak semeriah Eidul Fitri, kebanyakkan tempat di Sabah meraikan kedatangan hari ini seadanya. Tadi saya melalui masjid UMS dan kelihatan disebelah tepi masjid ditambat beberapa ekor sapi yang akan menjadi korban pada esok hari.

Ditempat lain pun begitu juga, begitu jelas syiar syiar hari raya korban boleh dilihat. Bagaimana dengan matlamat dan tujuannya?..Apakah erti daripada korban itu mampu menjadi satu pengajaran terbesar kepada umat ini yang melalui hari-harinya dalam keadaan tenat?



..kembalikah erti pengorbanan itu pada maksud asalnya dan pada keutamaanya?




Media Kita


PRK Batu Sapi Sapi dan HEMPAS pun sudah berlalu. Yang tinggal hanyalah basa basi berkenaan beberapa peranan jawatankuasa dan beberapa teknikaliti yang tidak sempurna perjalanannya. Saya yang diamanahkan untuk memegang unit media, sudah tentu merasa kekurangan yang amat jika dibandingkan dengan pihak lawan.


Sepanjang berada di perbatasan Batu Sapi, setiap hari saya membelek beberapa media kepunyaan Umno dan sebanyak itu juga kemahuan saya untuk menyaingi sekurang-kurangnya, memberikan respon kepada beberapa isu terpilih melalui terbitan video dan kenyataan akhbar. Sehingga ke detik terakhir PRK Batu Sapi, siaran media milik PAS masih ditahap yang begitu lemah.


Seorang penulis berita amatur yang baru mahu berjinak-jinak dengan asas-asas teknologi software yang pelbagai ragam dan kekuatan streamix yang kurang memberikan kelicinan siaran berita, semuanya menjadi penyumbang kepada apa yang kita hadapi pada hari ini....'mereka diluar sana masih belum mengenali siapa kita'.

Tak kenal maka tak undi!


Gambaran Sebenar





Fikiran saya melayang jauh ketika isu ini dibangkitkan semula oleh Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini.

Di meja muhasabah terdengar komen-komen ringkas, media kita kurang bla..bla...

Ulasan demi ulasan..seperti tiada penghujung. Ia mengingatkan saya beberapa projek media yang sudah terbengkalai.

Bukan soal idea ada atau tidak ada. Pergi jauh dari itu, dimanakah letak masalah sebenarnya?

Inilah dia penyakit turun temurun yang kerap berlaku dalam satu-satu keputusan yang dicapai iaitu tragedi 'lokus dalam dua matra'. Maksudnya, bila suatu idea beralih kepada bentuk tindakan selanjutnya, ia akhirnya akan kembali kepada seorang individu sahaja. Tenaga kerja yang tidak berkembang tidak selari dengan ruang kerja yang semakin bertambah.

Apakah penyelesaiannya?...saya ada pengalaman yang belum berjaya. Maka ada sebabnya saya kurang berceloteh untuk mencari sudut pandang yang baru yang mungkin lebih baik dari sekadar ulasan demi ulasan cuma.


Satu Kepada Dua...

Cabaran dalam menguruskan media kita itu cuma satu contoh sebenarnya untuk dijadikan kiasan kepada bentuk-bentuk cabaran yang lain.

Sejak itu kita mengakui bahawa media adalah sebahagian daripada perjuangan ini. Dan kehidupan ini adalah kembar kepada perjuangan. Kebiasaan Hidup kita lalui sehari-hari seperti sewa rumah, ansuran kereta, belanja dapur, belanja anak sekolah, pelaburan, sambung pelajaran, bertunang, bernikah, usrah, tamrin dan lain-lain adalah rutin dalam pengorbanan yang mesti dinilai semula letaknya dan keutamaannya.

Terlebih kita kurangkan sedikit, tersasar kita alih balik, tersalah kita perbetul semula, sesuai kita padankan, tak cukup kita tampal yang mana kurang. Ini antara proses yang saya cadangkan perlu ada untuk berusaha meletakkan bentuk pengorbanan itu pada kedudukannya.

Saya yakin masalah media ini bukan masalah sekitar meja mesyuarat sahaja atau cuma masalah organisasi. Jika setiap kita memberikan alasan yang sama iaitu kerana faktor rutin seharian, maka tidak ada sesiapa pun yang cuba untuk menyelesaikan masalah kerana tidakm mampu meletakkan bentuk-bentuk pengorbanan ditempat yang lebih utama.

Maka lihatlah sendiri, apakah yang terjadi jika masalah pokok cuba diselesaikan secara sipi-sipi?

Hujung nun diatas puncak, jika pengorbanan kepada perjuangan Islam ini yang kita pacakkan teratas sebagai visinya, saya yakin jaminan al Quran bahawa 'dunia ini yang akan mengikutimu', bukan sebaliknya.



Saya bermula dengan diri sendiri...

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Sebelum ke Medan Sebenar


Keputusan sudah diketahui, siapa pemenangnya. Galas dan Batu Sapi adalah diantara beberapa siri keputusan yang kita terima keadaannya, samada kalah atau menang. Namun seperkara yang kita syukuri adanya jika kita menang. Jika kita menang, syukur kita bertambah, nikmat kemenangan begitu manis dikecapi kerana ianya dengan cara yang diredhai Allah. Jika kita kalah, ia tidak pernah membuat kita rasa lemah lantas membangkitkan kekuatan untuk terus memburu kemenangan di hari muka.

Hampir 2 minggu berkampung di Sandakan. Bermula dengan HEMPAS ke PRK Batu Sapi, keluar sekejap dari hidup kebiasaan harian untuk memastikan fokus kepada misi membangkitkan kekuatan rakyat menjelang PRU-13 nanti. Hari ini sudah kembali kepada rutin harian, yang ujiannya saya rasa lebih berat dari PRK Batu Sapi. Mesti kaya seperti orang lain, mesti berharta seperti orang lain, mesti senang macam orang lain. Jika tidak, kita akan nampak ganjil dimata orang. Walaupun mungkin atas alasan 'amanah', berapa ramai yang mampu menerimanya atau sekurang-sekurang memahami cabarannya. Kepada Allah jua kita bertawakkal.


Kalah yang Memberi Erti

Saya kagum dengan komitmen yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang terpaksa mengambil cuti untuk bertugas di Batu Sapi. Jika berkenderaan dari sebelah Kota Kinabalu, perjalanan ke Sandakan mengambil masa sekitar 6 jam. Saya dan beberapa lagi petugas sepenuh masa pilihanraya, ada masanya memberi keutamaan kepada aktiviti yang lebih asas dalam pilihanraya. Untuk menggerakkan semua program diperingkat optimum bergantung kepada petugas dan sumber kewangan, dan disinilah masalah utamanya.

Ada yang berkata, 'mujur bukan kita yang bertanding'. Dengan tenaga yang serba kekurangan, kewangan yang tidak mengizinkan menuju ke medan perang, kita lebih akan lebih cepat menuju ke jurang kekalahan. Yang optimis pula berkata, 'kalau begitu sampai bila-bila pun kita tidak akan ke medan perang kalau mahu tunggu semua tersedia? Kezaliman sudah didepan mata!......Buntu seketika....Kedua-duanya ada alasan yang boleh diterima, namun untuk menolak lantas meninggalkan salah satu daripadanya bukan masanya lagi.

Sehingga tibanya PRK Batu Sapi, kita tidak tahu setakat mana kemampuan kita dari sudut jentera dan kemampuan kewangan. Tanpa jentera yang tersusun rapi dan terorganisasi, kekuatan kuantiti yang ada hanya akan terbazir sia-sia. Mahu teruskan juga, itu mungkin bukan lagi diatas pertimbangan yang rasional. Akan terdedahlah pasukan kepada tipu daya musuh, paling tidak dilihat oleh orang 'macam mau nda mau'. Ala kadar saja. Sekadar Ibadah???

Kadang-kadang atas kekurangan jentera itu kita khuatir pula dijadikan alasan. Kezaliman yang sudah memuncak, pembodohan, rampasan hak, penyelewengan yang berleluasa berlaku didepan mata namun tidak ada upaya melakukan sesuatu. Cukupkah dengan hanya menegur dalam hati!..itu tidak seharusnya ada pada seorang ahli gerakan. Mengapa begitu lemah berhadapan juak-juak kebatilan?..seperti takutkan anjing, semakin kita berlari semakin galak ia mengejar. Begitulah mereka.

Nampaknya kedua-dua perkara diatas perlu saling berkomunikasi. Organisasi perlu digerakkan untuk menjalankan tugasnya sebagai gerakan dakwah yang berinteraksi dengan jerih payah umat. Batu Sapi telah membuka hubungan dan memecah tembok halangan terhadap madu. Terserah kepada jentera Batu Sapi apa yang perlu dilakukan selepas, jika benar-benar Sekong mahu ditawan. Tidak ada alasan lagi kita belum dikenali atau dipandang kerdil kerana terbukti kita ada tokoh yang dihormati lawan. Kebanyakkan responden yang ditemui juga mengabsahkan mahu PAS yang bertanding!

Hakikatnya di Batu Sapi, kitalah yang bertanding. Itulah jentera kita, gerakkerja kita, kekuatan kita, kekurangan kita, strategi kita pada PRU ke-13 nanti. Memang bukan calon kita yang bertanding, tapi inilah medan latihannya sebelum turun ke medan tempur yang sebenar. Tidak ada ruginya kita berhabis-habisan, kerana itulah kita dapat mengukur kekuatan sebenar jentera kita dan apa yang perlu dipertingkatkan. Apakah anda sudah dapat apakah makna kekalahan ini?...besar maknanya buat kita semua!



Sepetang di Batu Sapi

Saya sempat melewati beberapa peti undi yang ada ditemani sebuah kamera 'berkuasa tinggi' jenama 'pinjam'. Tidak hairan kalau ada orang kagum dengan jentera PAS membantu kerja-kerja meraih undi, macam calon PAS yang bertanding. Basah kehujanan pun masih tetap tidak berganjak meraih.



Kadang-kadang terkesima dengan peraih undi wanita Umno yang terpekik melolong tidak menentu. Aku jadi malu, tambah yang berkelakuan begitu sudah masuk pangkat makcik!..kadang-kadang lucu, melihat muslimat yang kebanyakkanya nampak kekok meraih undi. Mungkin kena ada kursus latihan merai undi selepas ini untuk jentera muslimat.


Sekadar gambar hiasan...

Peraih undi dari ketiga-tiga parti tidak kisah bercampur sesama peraih undi yang lain. Inipun lucu juga. Nampaknya sentimen parti di Sabah ini belum cukup kuat lagi. Ditepi peraih undi Bn, ditengah peraih undi wanita keadilan, berselang seli dengan peraih undi SAPP. Kalau di Semenanjung, silap haribulan masuk ke kem lawan alamat panas telinga sampai ke petang.

Petang itu hampir ke maghrib, keputusan kekalahan mungkin sudah nampak tanda-tandanya..Saya demam, demam kalah agaknya...Innalillah

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Belajar Daripada Johor

Teluk Sepanggar dari puncak Keliangau


Hari raya ke-3 saya bertukar angin tiba-tiba. Mahu mendaki puncak keliangau yang terpendam sebelum ini muncul, menutup sekejap selera pergi beraya. Puncak ini boleh dilihat bermula dari sebelah Inanam sehingga ke Telipok.

Kalau anda mahu melihat hampir keseluruhan bumi Kota Kinabalu, saya syorkan dakilah puncak ini. Pada satu tempat, disebelah kiri nun jauh masih kelihatan lembah Lok Kawi dan terus mengunjur melintasi selat sepanggar sehinggalah masuk sedikit ke bahagian Tuaran di sebelah kanan. Dibelakang anda pula lembah-lembah yang masih segar, tidak pasti masuk daerah sebelah mana.

Saya mengambil tempat yang sesuai di satu tebing, sambil bayu merangkak-rangkak melurutkan kesejukan. Sejuknya pun seperti dibahagian bumi yang tinggi seperti Kundasang. Sejuk yang mengingatkan saya kepada abang Khairul Faizi, setiusaha DPP Pusat ketika ini. Ketika kereta yang kami naiki memanjat-manjat ke kundasang, beliau terkesima melihat kabus dikiri-kanan dan depan sepanjang perjalanan. Kami singga sekejap di Masjid Kundasang untuk menunaikan solat. Udara disini macam pakai air-cond katanya, sejuk!


Jiwa besar hanya akan disambut oleh mereka yang berjiwa besar juga


Kami dalam perjalanan ke Sandakan.....



Belajar dari Johor

Johor adalah kubu terkuat Umno di dunia kata ramai sahabat-sahabat saya. Tapi kini tidak lagi. Kubu itu akhirnya tembus juga oleh 2 Dun yang dimiliki oleh PR. Maknanya, PR Johor berjaya menidakkan kata-kata keramat itu. Sabah deposit tetap Umno-Bn isytihar Khairy Jamaludin suatu ketika dulu. Apakah PR berjaya menidakkan kalungan penghargaan tersebut yang dikurniakan oleh Umno-Bn?

Panjang perbualan kami menuju sandakan, sepanjang perjalanan itu jugalah. Johor sangat berbangga kerana mempunyai pemuda seperti YB Salahuddin Ayub, Mazlan Aliman dan Khairul Faizi sendiri. YB Salahudin dan Sdr Mazlan Aliman adalah bekas ketua pemuda PAS Johor dan jawatan itu batonnya disambut oleh Khairul Faizi. Semuanya 'Full Time' parti.

Saya pasti, antara sumbangan terbesar kemenangan di 2 Dun tersebut merupakan hasil keringat dan pengorbanan beberapa orang petugas sepenuh masa yang diketuai sendiri oleh Khairul Faizi. Melalui gerak kerja yang dikongsi bersama sepanjang perjalanan, adalah mustahil kerja yang begitu banyak dan memerlukan fokus boleh dilaksanakan oleh mereka yang ada fokus lain pula.

Jemputan Khairul Faizi ke program juga atas alasan situasi di Johor dan di Sabah banyak persamaannya. Dengan harapan perkongsian pada persamaan yang banyak itu, ada kata kunci kepada berjayanya projek anak sulung pertama PAS di Sabah.

Selain daripada persamaan gerak kerja, juga lembut dilihat dari sudut tukang ceramahnya. Khabarnya tukang ceramah sebelah kelantan dan kedah yang keras-keras, tidak sesuai di bawa masuk ke Johor. Nak ceramah, biarlah ada unsur belaian, ala-ala kasih sayang ..hehe, tercuit juga hati saya.


PAS Sabah Mahu Menang?

Menyambung komentar dari suara anak muda di nurilhakim.blogspot, menyentap seketika rasa selesa dengan apa yang ada apabila perbandingan dibuat kepada mubaligh kristian yang lebih dan seakan sentiasa terkedepan tindakan dakyahnya.


Surau Kg Pinawantai, Ranau?...Dimana sang kaki usrah?


Melalui maklumat yang diperolehi dari figura seperti Ust. Nicholas, darilah jutawannya yang menyumbang sehinggalah misionari yang turun sendiri ke medan dakyah, masing-masing berjaya melihat visi yang sama. Kita membahasakannya sebagai 'wehdatul fikr'. Entah sistem tarbiah apa sebenarnya yang kita boleh belajar dari mereka, sehingga mereka lebih efektif dari sudut kesatuan pemikiran.

Atau kah kita masih bertengkar di ruang wehdatul amal sehingga sebiji van dakwah kita berselisih dengan lori-lori bantuan dari misionari?..competend kah itu?..oh, dimanakah rasa cemburu itu?!

Jangan Sarawak tambah satu kerusi lagi, kita di Sabah masih dengan alasan yang 'intelektual'.

Mungkin kita semua boleh bersetuju perlunya 'Full Time' parti ini diperkasakan sekurang-kurangnya dalam kadar yang paling minimum. Kata Ustaz Nasarudin Tantawi, 'kita pun makan nasi juga, bukan makan batu' secara berseloroh.

Sepanjang dua hari program itu, saya membuat kesimpulan bahawa kita di Sabah tidak kurang juga perancangannya untuk melonjak ke tahap yang lebih baik. Namun ditengah-tengah perjalanan mencapai objektif tersebut saya bimbang berlaku ketirisan yang tidak disedari dan hasil yang kita mahu masih jauh dari sasaran.

Kebimbangan saya ini mungkin benar apabila ketirisan ini berlaku kepada pekerja kerajaan yang ramai atau apa jua yang memudahkan gerak kerja untuk ditangguh dengan begitu mudah dan diterima ramai orang walaupun tidak semua. Sifir ini mudah saja, andai kata saudara masuk bertugas seperti biasa tetapi punch card di pejabat PAS setiap hari contohnya, tentu hasilnya berbeza berbanding kerja sambilan diluar untuk sekadar memenuhi masa terluang yang ada.

Seperkara lagi jika kita mahu dan mempunyai perancangan untuk memperkasakan Full Time parti, jangalah beliau sahaja yang perlu berjiwa besar. Yang merancang, yang mengeluarkan idea dan yang berada disekitarnya juga perlu berjiwa besar pada kelebihan masing-masing. Tidak semua orang mampu ber 'full time'.

Intipati kepada semua apa yang kita bincang dari minit mesyuarat ke minit mesyuarat ialah pelaksanaan yang berfokus yang kelebihan itu ada pada petugas sepenuh masa. Bersama dengan itu, ini tidak bermakna situasi ini sama sahaja dengan seorang 'office boy'. Ingat, orang yang boleh melepaskan kesenangan didepan mata lalu terjun ke medan pengorbanan hanyalah orang yang keras hati. Jadi, toleransilah.

Cadangan pemerkasaan pekerja sepenuh masa diatas saya rasa cukup dengan rasa tanggungjawab. Saya berkongsi melalui pengalaman organisasi yang lebih lama di Sabah dan dari abang khairul faizi sendiri, menyumbang 2 kerusi Dun di Johor. Jika ada generasi akan datang masih acuh tak acuh perkara ini, tunggulah pisang berbuah dua kali. Teruskan menghabiskan masa mengulangi benda yang sama bersama alasan yang 'intelektual'...

Salah satu sedutan sembang kami..

"Syeikh, ana takde kerja apa-apa, kalau ana habis duit ana bagitau sahabat-sahabat dan terus diorang bank in"..Begitulah cara beliau meneruskankehidupan sehari-hari. Manusia biasa jangan dimalaikatkan, seperti mana resolusi yang sudah-sudah,bertimbun-timbun!



Jadi, anda mahu menang?

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Aidilfitri, fikrah yang kembali kepada fitrah



Mujur tuhan meluangkan untuk hambaNya satu masa untuk mereka menyuci diri. Dalam 12 bulan setahun yang kita lalui, ada satu bulan yang di khususkan untuk kita hambaNya mengaut sebanyak mungkin ganjaran disamping membetulkan semula sendi-sendi perjalanan ke kedudukan asalnya menuju fikrah yang fitrah.

Jika seorang insan yang dulunya berkuasa lalu menindas, kaya lalu enggan memberi, banyak kurniaan lalu enggan bersyukur, banyak peluang lalu pendengki, miskin lalu dipandang hina maka Ramadan ini adalah medan untuk meneutralkan semula antara tuntutan kepada Allah terhadap sesama manusia.

Jika tangan yang segan lalu ringan memberi, si miskin yang hina lalu dibantu makan minumnya, yang kaya merasa kekayaannya adalah milik Allah dan yang berkuasa takut amanah yang diberi lalu berlaku adil maka sudah tentu dialah orang yang paling layak meraikan kemenangan di Aidilfitri. Kebenaran ini tulus mulus, tiada dusta.

Namun kebenaran itulah jua yang mesti diteliti adanya dalam pelbagai warna dan makna. Ianya tetap satu walau dalam kerlipan kebenaran yang palsu dalam mangkuk fikrah insan. Tidakkah hairan orang pun sama memberi, sama berkorban, sama berjuang, sama terkorban di medan pertempuran dan sama meraikan hari kemenangan Aidilfitri, namun kosong maknanya disisi Allah s.w.t.


......mengapa?





Kerana 'kebenaran' yang dipegangnya itu kesannya tidak lain hanya menambah kecelaruan iman, menyiram subur assobiyah, mengukuhkan benteng nasionalisme dan menginstitusikan fikrah sekular. Dia kabur, tidak nampak dimana jatuh letak kesan 'kebenaran' yang di pegangnya. Maka jadilah kebenarannya itu menghancurkan dan mencerai beraikan kesatuan dan kemenangan umat Islam yang di jauh dihadapan walaupun janji Allah, kemenangan akan tiba jua.


...Membongkar pembohongan katanya, sebaliknya melemahkan umat Islam

...Membela bangsa katanya, sebaliknya memberi kekuatan kepada musuh Islam


Cukupkah dengan fikrah yang separuh masak itu, lalu tuan bergerak ke medan berkorban dan terkorban demi satu 'kebenaran'?

Jika tuan tidak kembalikan semua yang ada pada tuan tentang kehidupan ini kepada Rasulullah s.a.w, maka tidak akan ketemu apa dia 'kebenaran' yang satu itu. Keagungan Islam bukan terbit dari celah-celah perjuangan kemerdekaan tanah melayu atau sekadar menumpang di punggung sejarah kehebatan pahlawan-pahlawan satu-satu bangsa atau suku. Ia adalah mula dan matlamat tertinggi, roh dalam jasad perjuangan seorang yang bergelar muslim.


Sebelum jauh kaki melangkah, jernihkan fikrah kembali kepada fitrah di Aidilfitri yang mulia



Iklan RAYA PKNS


Saya cuba mengupload iklan ini tapi ada masalah. Satu iklan yang kreatif berbeza daripada iklan sebelum ini. Rupanya, disebalik kesedihan ibu-bapa yang menantikan satu kepulangan, ada pengorbanan seorang anak yang lebih besar untuk keluarganya...demi untuk diriku, dia, mereka, umat dan Dia yang Esa, maafkan anakmu bonda



Selamat Hari Raya Aidilfitri Mulia, ampunkan salah dan silap






Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Tercicir Yang Dikendong?





Retreat Pemuda


Cabaran seterusnya yang mesti didepani iaitu bagaimana menarik sokongan pengundi muda yang mewakili iklim baru politik negara ini. Pengundi saluran 4 ini jika tidak silap saya, agak rasional dalam menentukan isu yang timbul. Cumanya, kesedaran untuk terlibat secara langsung sebagai rakyat yang mempunyai hak untuk menentukan siapa kepimpinan yang akan menerajui negara ini masih mendapat sambutan yang hambar, sedangkan keputusan ditangan mereka. Ramai dikalangan mereka belum mendaftar sebagai pengundi!


Jika anda dapat berkongsi betapa orang muda seperti saya, letih berdepan dengan ketegaran orang-orang lama berpegang dengan prinsip politiknya!


..."Kalau bukan anak tempatan, jangan harap kau boleh menang"..lagi..."kalau bukan suku si anu, jangan harap orang kampung bagi undi"...yang disalahkan merampas tanah, merampas hak ialah suku itu, suku ini. Pemimpin atau parti yang terang-terang melakukan jenayah sivil dan aqidah sejak turun temurun jarang pula disebut-sebut. Umpan yang sama terus ditelan walaupun terpaksa memberi umpan yang sama kepada sanak saudara sendiri.


Pengundi muda, mungkin kerana pergaulannya sudah agak terbuka yang jauh dari batas kedaerahan atau kenegeriannya maka menjadi faktor kepada terbukannya minda untuk menilai tidak dari satu sudut sahaja. Tugas untuk menerangkan tentunya lebih mudah kerana kelompok ini bergerak seiring perkembangan isu. Saya yakin idea rentas kepartian ini lebih mudah diserap oleh kelompok ini dan PR jika terkedepan mengambil langkah membuka meja pendaftaran sudah tentu memberikan pulangan yang lumayan.


Saya juga masih mencari-cari gambaran yang tepat perbezaan waqie antara semenanjung dan sabah dari sudut sosiopolitiknya walaupun kedua-duanya berkongsi terma yang sama. Terma 'Penerimaan' PAS dalam lingkungan melayunya dan Sabahannya sekali lagi dipertikaikan keabsahannya setelah jauh melangkah melintasi sempadan kepartian. Tercicirkah yang dikendong?


Budaya dan Politik setempat sememangnya mempunyai kaitan yang sangat kuat. Mengabaikan perkaitan antara keduanya bakal mengundang penolakan kepada aktiviti dakwah. Saya mendapat banyak info yang menarik terhadap penerimaan PAS di Sabah melalui Facebook dan juga maklumat yang diperolehi dari PAS Kawasan Keningau. Isu tahap penerimaan tersebut biasanya terbahagi kepada dua iaitu penerimaan oleh pemimpin tempatan dan penerimaan dikalangan masyarakat tempatan. Memahamkan pemimpin tempatan perlu memfokus kepada meruntuhkan tembok 'PAS adalah parti semenanjung'. Memahamkan masyarakat tempatan biasanya tidak secerewet pemimpinnya. Cuma tunjukkan akhlak seorang muslim. Satu kredit juga jika boleh berbahasa tempatan. Antara perkara yang paling mendapat sambutan iaitu kuliah di surau-surau.


Dari sudut isu, perkara ini agak kritikal untuk disentuh memandangkan jalur sejarah Sabah yang ada sedikit kelainan. Isu tanah, PTI, Kad Pengenalan dan pelbagai lagi isu tidak boleh dilempar begitu sahaja ketengah sepertimana yang berlaku disemenanjung. Oleh kerana sentimen kesukuan, agama, nasionalisme yang bercampur seperti rojak memungkinkan serangan politik secara langsung dibimbangi tidak memberi kredit kepada 'first empression' agenda penyatuan perjuangan umat Islam. Malah dirisaukan akan lebih kelihatan senada pula dengan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab. Seiring dengan isu, langkah panjang dan persiapan yang mapan perlu dimulai melibatkan para sarjana atau golongan yang berpendidikan untuk mengikat kembali pemikiran masyarakat kepada faktor ilmu. Hanya dengan cara ini, isu di Sabah ini dapat dirangkul kemas oleh pejuang-pejuang Islam. Pendidikan agama dan memahami sejarah Islam di Sabah adalah asas untuk menjawab kepada isu yang wujud sekarang ini.


Membaca sejarah Baginda Sultan Muhammad Al Fateh, persiapan kita masih terlalu jauh lagi

..Bukan pada semangat saja

..Bukan pada material saja

..Tapi lihat dunia yang melekat di hati


Semoga Ramadhan ini memberi tunjang kekuatan yang hilang dari kita..titipan doa dari kalian




Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Andai Ada Ganti

Catatan Dari Kelantan

Pulang dari Kelantan, masih terkenang-kenang suasana Legeh biarpun udara Kota Kinabalu sudah memenuhi ruang nafas. Sahabat saya yang juga teman seperjuangan di bumi dakwah ini iaitu Ustaz Mohd Zaidi Al Kinabatangi merupakan anak Legeh yang terus gagah tidak ditimpa jemu atau undur kebelakang menyahut cabaran perjuangan. Mungkin beliau tidak seperti orang lain, cukup waktu tertentu yang singkat, maka sekadar itulah sahaja bakti untuk anak tempatan.


Di Legeh, saya beruntung kerana serba sedikit dapat menyelami suasana politiknya kerana orang Kelantan dikatakan mempunyai politik yang agak lembut. Senyap-senyap ke Pilihanraya, entah siapa yang akan naik jadi YB dan siapa yang akan turun. Tambahan yang menarik, orang kampung ketika duduk bersarapan pagi selain nasi lemak, mereka juga menjamah pisang goreng politik sambil menghirup kopi 'o' panas.


Katanya, YB disini kalau nak menang pilihanraya akan datang kenalah jadi seperti salah seorang orang kampung disini. Itulah sebabnya Mustapha Mohamad bila turun bersama orang kampung, beliau menukar penampilan diri dari kereta mewah kepada motor kapcai, seluar slek kepada kain pelekat. Bersalaman penuh mesra dengan senyuman kepada orang kampung. Pendek kata, rakyat sudah sampai ke tahap memiliki kuasa untuk menentukan siapa yang naik dan siapa yang turun pada PRU yang akan datang. Silap cara pakai pun gulung tikar YB kita!


Melihat suasana itu fikiran saya melintas jauh ke Sabah. Walaupun menoreh pokok getah yang sama, membaja sawah padi yang sama, mengail ikan cara yang sama namun tidak semudah itu orang kampung disini digula-gulakan, dipancing atau disuap dengan tipu daya menjelang Pilihanraya nanti. Kalau dapat sehingga rakyat sabah pun boleh menentukan siapa pemimpin yang akan dinaikkan atau diturunkan, akan berlakukah keadaan seperti itu?...masa, tenaga, pengorbanan.........sekali lagi ditagih untuk sebuah perubahan.


Dan anak kebanggaan Legeh diperantauan teruskan langkah juangmu!



Kepulangan Yang Tersurat


Kepulangan saya dari Kelantan rupanya riang berganti suram. Seorang yang bergelar ayah, mentor, pendakwah atau panglima di medan perang telah pergi, redha dengan utusan dari langit yang tidak dapat di undur atau dimajukan walau sesaat.


Ketika kemenangan seolah-olah bergema diangkasa, tiba-tiba pemergiannya bagai merentap segalanya. Apakah itu satu kehilangan yang biasa-biasa saja? Mungkin tidak bagi seorang isteri dan anak-anak yang masih memerlukan kelibat seorang ayah. Malah terlalu berat untuk sebuah kisah perjuangan yang panjang dan berliku-liku. Nabi s.a.w pernah merasainya, para sahabat pernah merasainya dan tibalah masanya kita pula yang melalui ujiannya. Seperti galaunya perasaan atas pemergiannya, begitu jugalah sebanyaknya doa dipohon moga diberi kekuatan, Istiqomah dalam perjalanan.



Daie yang tiada ganti


Dari seorang Isteri yang kehibaan
Dari seorang anak yang kehilangan
Dari teman-teman yang merelakan
Dari sanak saudara yang menangisi
Dari sahabat-sahabat yang tidak putus berdoa
Dari perjuangan yang menagih lagi pengorbanan
Dari musuhnya yang tersenyum kepuasan
Dari langit yang menyampaikan perintah-Nya
Maka sempurnalah sebuah pemergian seorang insan
moga damailah dikau disana


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer