Tidak Seperti Lafaz Tuan

Tergerak pula hati untuk menuangkan apa yang terlintas, ketika terdengar satu wirid yang maknanya cukup indah. Mencuba menghayati perasaan si pencipta wirid itu, seorang ulama tersohor dengan membacanya...


Teruskan...

Lafazkan wirid itu
Seperti dalamnya lafaz tuan
Yang terbit dari bejana kalbu
Basah dengan getaran rasa
Cinta dan rindu
Pada khaliknya dan kekasih agungnya

Teruskan...

Lafazkan wirid itu
Sedalam rasa yang bisa
Walau tidak tercapai olehku
Maqam hati yang tiada cela

Walau ku cuba
Dalam doa terus mengadu
Dalam sujud sedalam rasa
Dalam fikir selemahnya aku
Dalam pandangan Dia segala

Namun tak termampu
Mencapai kalian dalam cahaya
Ma'rifat kurnian Tuhan mu
Duhai para solihin ikutan semua

Masih terasa jauhnya
Mendaki tuan dipuncak mujahadah nafsu
Walau dihampar putus asa
Dihambat dosa jalan menujumu
Namun kerana alpa
Aku terus mengintai rasa
kerna ku tahu bahagia itu
Hembusan ketenangan Dari-Nya

Ku cuba terus mencuba
Mengalun wirid juga sepertimu
Biar jauh dilapis hijab-Nya
Biar perasaan itu cuma palsu
Biarkan itu semua
Kerana ku tahu
Dia maha kurnia
Pada saat ini apa yang ku mahu

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Langkah Bermula Akademi Siasah Tun Datu Mustafa



Alhamdulillah, Wacana Rakyat selesai..

Wacana Rakyat adalah antara beberapa pengisian yang menjadi program bersiri untuk mencapai misinya. Jadi, saya berharap ia bukan sekadar program yang kita hadiri sebelum ini.

Secara sedarnya, memang kita telahpun menghadiri banyak program yang berbentuk pemantapan kefahaman, tetapi saya dan sahabat-sahabat yang lain insaf akan betapa perlunya agar setiap program ini disusun dan dirangkum kepada suatu yang ber'visi' sifatnya.

Ia bermula dengan begitu emosi, apabila penangkapan Ketua Pemuda PAS Sabah, sdr Lahirul Latigu hanya kerana sentimen anti-BERSIH yang tidak berasas. Pada jangka masa 5 tahun akan datang, saya dapat melihat sedikit sebanyak gambaran bagaimana landskap lapangan tempur siasah pemuda di Sabah ketika itu. Hal ini menyuntik insaf agar menyusun idea-idea untuk diterjemahkan kepada bentuk realiti.

Pada masa sama, Bro Saifuddin dan Sdr Abdillah ada melontarkan pandangan yang serupa iaitu untuk membentuk satu institusi siasah yang bertujuan melahirkan pemimpin-pemimpin muda masa depan yang bijak caturan siasahnya.

Cetusan ini belum lahir sebagai sebuah dokumentasi yang boleh dibelek dari awal hingga akhir perinciannya. Sebagai langkah awal ini, kami menghimpun idea dan pandangan serantak dengan pelaksanaan yang difikirkan sesuai dengan visinya. Sedikit demi sedikit, keadaan ini akan tercantum satu persatu dan menjadi lebih tersusun pada fasa-fasa berikutnya.


Proses ini adalah proses 'up to date' kepimpinan di peringkat negeri, kawasan sampailah ke peringkat cawangan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang. Walaupun jangkauannya masih sangat luas dan nampak diawangan, saya yakin proses seterusnya akan disempurnakan oleh generasi akan datang. Yang penting, kita sudah bermula.

Cabaran pemuda hari ini adalah tempias cabaran pada masa akan datang. Saya menyimpulkannya kepada 2 perkara berikut iaitu :

1)Cabaran berbentuk perbezaan fikrah
2)Cabaran berbentuk Taktikal

Cabaran pertama, ia melihat bagaimana kita me respon terhadap isu-isu pemikiran samada perbezaan sesama fikrah mahupun teman-teman dalam Pakatan Rakyat Sabah. Sentimen kaum, agama dan 'semenanjung vs sabahan' adalah beberapa isu yang memerlukan penyelesaian yang berbeza secara tepat. Ia juga melibatkan perbezaan se fikrah kita dalam menafsir tindakan terbaik bukan dengan tindakan 'orientasi label'. Kita cuba memanfaatkan peluang secara optimal dan mengurangkan risiko dalam semua keadaan.

Cabaran kedua, bagaimana tindakan yang perlu diambil mengikut prosedur perlembagaan dan undang-undang negara ini dan perlembagaan negeri yang begitu rumit dan unik. Kita tidak dapat mengelak daripada menghalusi setiap akta dan ordinan mahupun sejarah yang membentuk sesebuah insitusi undang-undang. Justeru, kefahaman perlu dibina dengan lebih mantap lagi supaya setiap tindakan adalah satu 'mile age' politik yang melonjak pemuda ke hadapan.

Hari ini kita di hidangkan dengan pelbagai permasalahan dan saya berharap pada keesokkan harinya kita menyediakan plan yang lebih objektif langkah penyelesaiannya. Kerana saya percaya, setiap ujian selain sekadar ujian, ia adalah peluang untuk kita lebih baik pada hari-hari seterusnya.

Walaupun masih bertatih dan merangkak, Insya Allah bak kata iklan Milo tak silap saya, kita semua akan membesar dengan kuat dan sihat...alamilah

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Kongres Gerakan, Pingat Untuk Lebih Bekerja



Untuk mengucapkan tahniah, saya ada sedikit kerisauan. Bimbang, dengan mukaddimah sedemikian rupa, habis isi-isi penting yang saya hendak sampaikan selepas itu tidak di endahkan lagi.

Kepada aktivis mahasiswa yang hadir ke Kongres tersebut, anda sememangnya mahu dan mampu untuk bekerja demi ummat. Saya ketepikan perasaan risau, selesai kongres tersebut tidak timbul lagi soal kita tidak 'bekerja' untuk dakwah ini.

Mahasiswa atau aktivis yang hadir juga tidak perlulah pulang dengan kesan fikrah yang longgar atau celaru. Perkara ini jelas dan tidak ada perlunya ia dibincangkan disini. Tema penting program ini iaitu kita mahu lahirkan mereka yang 'bekerja'.

Sebelum itu, saya mengambil masa yang lama untuk berbincang apa juga bentuk perubahan khususnya yang melibatkan aktivisma mahasiswa. Cuba mengelak sebaik mungkin agar setiap baris lontaran tidak menyakiti sahabat yang sekian lama berkhidmat untuk parti dengan pengalaman yang tidak sedikit.

Usaha ini sebenarnya untuk mencari beberapa pencerahan kepada perbezaan pandangan yang mana jika perbezaan ini dapat diuruskan dengan baik, pasti memberikan banyak peluang kepada pakej dakwah kita sampai ke setiap tahap yang diperlukan.

Saya mengukur sejauh mana kesan masa hadapan, meninjau jauh ke dasar keperluan parti, menimbang diantara beberapa keutamaan dan beberapa pilihan yang tersedia dihadapan kita. Kerana saya akur bahawa inilah dunia perjuangan yang harus kita tempuhi. Tidak dengan hanya hitam putihnya sahaja, tetapi dengan pelbagai warna dan sudut. Marah-marah sayang pun kita tidak dapat menolak akhirnya pelbagai pula rangkaian jamaah Islam muncul dan kita tidak dapat mengelakkannya. Ia bermula dengan perbezaan fikrah.

Bagaimana kita menghadapi kepelbagaian ini? adakah dengan emosi atau bersikap rasional?

Tema saya jelas, agar setiap peluang dan pilihan yang mencetus kekuatan untuk lebih 'bekerja' perlu diberikan peluang. Ya, ada kerisauan yang perlu diambil kira namun jika dibandingkan dengan bukti yang telah ada dihadapan kita saya kira, masalah kita sebenarnya iaitu kita berhadapan dengan golongan yang tidak 'bekerja'. Turunlah ke bawah dan tanya kawan-kawan yang sudah lama bekerja. Persoalan 'mana aktivis kita' terus ditanya dari satu generasi ke satu generasi. Kalau seorang pegang sampai 5 jawatan?...kasihan aktivis fulltime parti, sebab yang ada kemampuan tidak 'bekerja' untuk membantu.

Mereka yang tidak 'bekerja' itu, ada dikalangannya lahir dari rahim usrah kita sendiri.

Lihat pula dengan penuh pertimbangan, kerosakkan yang berlaku terhadap rakyat. Adakah perlu 5 tahun lagi untuk mereka menanti perubahan. Tentu sekali tidak, kerana dengan bencana yang menimpa sekrang ini, mereka perlu berubah pada saat ini juga. Perubahan pada rakyat berlaku bila kita semua sama-sama 'bekerja'. Sebaliknya, kerosakkan dan kemunduran masyarakat ketika ini kerana ada dikalangan kita tidak mahu 'bekerja'.

Jika yang 'tulus' fikrahnya juga belum mampu menggerakkan perubahan dan pada masa yang sama kita diasak untuk memperbaiki masyarakat yang semakin kritikal, maka dengan wasilah atau jalan apakah yang kita pilih untuk meneruskan jalan perubahan? Kita bukan kader yang lemah dengan hanya pemerhati dari jauh atau menjadi tukang penembak tepat. Biar pecah kepala berfikir, mencari ruang dan peluang untuk mencetus perubahan melahirkan golongan yang 'bekerja'. Jika ada tersedia di depan mata, lalu apa yang ditunggu lagi?

Saya tidak sekadar mengeluh tetapi juga berusaha mencari kaedah untuk meletakkan hasil tarbiah kita dikampus ke setiap post penting parti. Namun cabarannya tidak semudah yang dijangkakan dan ini membuatkan saya akur bahawa disana ada kekurangan dan kelebihan yang bukan milik kita yang mesti kita hadapi.

Faham denyut nadi kerisauan sahabat-sahabat dan teman-teman tentang kesan kepada fikrah, insaf akan keperluan parti yang begitu mendesak, sedar dengan kekurangan dan kelebihan yang ada, akur dengan perbezaan pandangan yang timbul maka saya berpendirian kongres kali ini adalah pingat untuk anda lebih 'bekerja'.

Kita risau anak kecil yang masih bertiarap sudah mula berjalan. Bimbang terhantuk dinding, terperusuk masuk ke longkang. Namun anak kecil itu pada suatu masa, dinding itu sudah dipanjatnya, longkang tadi sudah di lompatinya. Akhirnya kita tidak lagi risau dengan dinding tersebut atau dengan longkang tersebut tetapi kita lebih risau benda yang lebih besar dari itu.

....kerana kita akur dengan perubahan itu, dan tidak sesekali kita hanya jadi pemerhati saja. Tentu kita sedar bahawa untuk mendepani perubahan itu, kita perlu 'bekerja'.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Jika Mereka USIA dan USNO Yang Dulu

Satu ketika saya diberi peluang untuk membentang kertas kerja berkenaan peranan Gerakan Islam dalam memartabatkan pendidikan Islam...Ia memang satu pengalaman yang baru bagi saya, tambahan pula isi yang hendak disampaikan itu berlatar belakangkan sejarah di semenanjung.

..Dan sayalah pembentang paling pantas dikalangan pembentang yang lain. Mengambil masa 10 minit sahaja, mungkin kerana sejuknya kundasang ketika itu.

Dalam masa yang singkat itu, saya mengambil beberapa baris ayat daripada isi kandungan kertas kerja kemudian membuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Sabah.

Saya cuba mencari sebuah blog kepunyaan USIA yang memaparkan mengenai penganugerahan tokoh kepada beberapa individu penting yang berjasa dalam penyebaran Islam di Sabah. Penganugerahan tersebut agak menarik minat kerana diberi penghormatan sebagai 'anugerah tokoh pemimpin gerakan Islam' tidak silap saya. Alhamdulillah, disini saya selitkan.



Anugerah tersebut mungkin satu perkara yang elok juga untuk kita selidiki bagaimana apa yang mereka katakan tentang gerakan Islam itu melaksanakan tugasnya seperti mana gerakan Islam yang kita kenali pada hari ini.

Apakah asas gerakan Islam itu memang sudah ada sebelum Parti Islam Se-Malaysia masuk ke Sabah pada sekitar tahun 1980 ?

Bolehkah dikategorikan pertubuhan seperti USIA dan USNO adalah terjemahan kepada perlaksanan gerakan Islam syumul yang terpisah secara entiti ketika itu?...USIA adalah tangan dakwahnya dan USNO adalah tangan politiknya?

Pada saya, iya. Kemahuan umat Islam dan beberapa tokoh kepimpinan muslim ketika itu untuk melaksanakan Islam ke peringkat yang lebih tinggi memang sudah ada seperti apa yang diusahakan oleh Tun Datu Mustapa dan rakan-rakan beliau.

Pada satu tahap, perkembangan Islam di Sabah nampak begitu rancak dengan syiar Islam dan meningkatnya populariti muslim sehingga ke tahap Sabah mengisytihar agama rasminya ialah Islam. Sudah tentu ia satu perkembangan yang sangat membanggakan kita.

Sampai ke satu tahap, graf perkembangan tersebut tidak dapat melonjak lagi, sebaliknya mengalami fasa kemerosotan yang sangat membimbangkan. Fasa inilah yang saya dan generasi akan datang sedang lalui sekarang ini. Semuanya berpusing, dari peng Islam beramai-ramai riuh sekampung bertukar kepada pemurtadan beramai-ramai secara senyap-senyap!

Perkembangan ini harus diselidiki kembali. Sungguh bernaskah apa yang pernah dilontarkan oleh arkitek gerakan Islam Almarhum Dr. Fathi Yakan, akan tiba satu masa sebuah kepimpinan itu tidak mampu lagi ke tahap yang seterusnya, maka sampai masanya tunas-tunas baru kepimpinan menyambung tugas kepimpinan yang sebelum ini.

Mahukah dikenang oleh anak cucu kita, sekadar jatuhnya USNO kerana rakyat menolak kepimpinannya dan USIA yang terpalit dengan bermacam-macam tohmahan yang tidak sedap didengar telinga?

Ayuh, kita himpun semula perjuangan yang berserakan di sepanjang perjalanan perjuangan Islam di bumi Sabah ini. Mari kita susun ia dalam bentuk yang teratur semula, yang mampu mencabar dan mengharungi liku-liku perjuangan walau besar mana si zalim itu. Kita himpun ia dalam bekas yang bersih agar benar dan jelas matlamatnya untuk Islam.

Mungkin kita asyik dan kagum dengan fizikal sebuah kejayaan, tetapi kita lupa mengisinya dengan ruh perjuangan yang sejati. Hari ini dalam kenangan sebuah kejayaan di bumi bawah bayu yang tanpa tarbiah yang terlaksana dalam bentuk Usrah, Tamrin, Liqo' dan sebagainya akhirnya tersungkur di tengah jalan. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya agar ia kembali hidup menyambung semula tugasnya sebagai pewaris perjuangan para Rasul Anbiya'.

Saya mengajak teman-teman yang memilih USIA sebagai landasan perjuangannya, agar meneliti kembali titik kelemahan ini jika mahu USIA kembali bernafas dengan wajah dan semangat baru. Saya yakin teman-teman di USIA masih mempunyai harapan yang besar untuk melihat USIA kembali gah seperti dahulu.

Begitu juga dengan pejuang-pejuang lama USNO, yang beriya-iya mahu menghidupkan kembali jasad USNO dalam gelanggang politik, selami dan hayati kembali landasan menuju misi yang hendak dicapai..Jika benar mereka mahukan Islam, mengapa sampai terbabas?

Lupakan dulu soal apa warnanya, hijau atau bulan purnama, samada semenanjung atau sabahan. Tapi lihat soal prinsip, kepimpinan, matlamat yang jelas dan dinamika menghadapi perubahan zaman. Masihkah kita mahu bermain sentimen-sentimen diatas, sedangkan anak cucu kita semakin jauh dari agamanya, dirampas haknya, ketinggalan pemikirannya dan rendah jatidirinya?

Peliknya orang yang mahukan Islam tetapi menolak dasar dan prinsipnya!


Tunas baru gerakan Islam di Sabah sudah tiba, usah ragu-ragu lagi untuk bersama membantu dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.



Renung-renung, fikir-fikirkan jika mereka USIA dan USNO yang dulu.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Kenduri Kahwin, Bila 'Bugis' Cipta Sejarah...




Pertama, saya mengucapkan tahniah kepada rakan setugas saya Puan Siti Rosemadiah dan suami Tuan Awang Ramlee.

Pada 3 September yang lalu, mereka selamat di ijab kabul dan sah menjadi suami-isteri yang mudah-mudahan dilimpahi berkat dan rahmat dari yang Esa. Majlis akad nikah diadakan di Kg. Pengkalan Tinuhan, rumah ayahanda dan bonda pengantin perempuan.

Sedikit saya selitkan gambar-gambar yang mungkin unik bagi mereka yang belum pernah melihat adat suku Bajau sebelah pantai barat Sabah. Walaupun tidak banyak, tapi masih ada sedikit budaya dan adat seperti bertitik dan sebagainya...

Bentuk & Corak Pelamin


Orkestra 'Betitik'


Kedua, saya juga ucapkan syabas dan tahniah kepada rakan setugas, saudara Razlie yang sah menjadi pasangan suami isteri kepada Hernawati. Mudah-mudahan dikurnia keberkatan dalam hidup berkeluarga hingga ke Syurga.

Mungkin saya boleh katakan, inilah sejarah tercipta bagi suku Bugis kerana sedikit kelainan pada majlis atau kenduri yang berbeza dari yang saya lihat sebelum ini.

Ada Nasyid yang dinyanyikan oleh adik-adik PSS, ada dendangan tarannum dari Sdr Jubair dan tazkirah dari Ustaz yang tak asing lagi iaitu Ustaz Akmal pemilik blog terkenal 'abunuhacorner.wordpress.com'...




Gambar tazkirah dari ustaz Akmal tidak dapat diselitkan sekali, kami terpaksa meninggalkan majlis awal sebab ada komitmen lain...

Berbeza dengan kenduri yang kebanyakkan saya hadiri sebelum ini, satu kewajibannya iaitu lagu dangdut dan bergelek sampai larut malam. Saya tidak tahu sudah berapa lama saya tidak hadir ke majlis yang seumpamanya. Takut bukan doa yang sampai, sebaliknya pula yang menimpa sang pengantin.

Kecuali dalam bab hantaran, ada sejarah boleh tercipta?...

InsyaAllah, kalau Islam menjadi panduan, tidak kira siapa dia, apa keturunannya, perubahan dan kemajuan akan sentiasa berdamping dengannya.

Hidup Islam!!!






Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Ratap FITRAH



Kemana wajah hendak ku hadap, ke timur ke barat utara selatan, kiri dan kanan terasa sempit, semua wajah menatap hina, hendak mendongak terasa berat, terasa malu menatap alam...

Teman, sahabat dan murabbi...bantu aku, meniti jalan menuju cahaya

Jalan ke hadapan terasa panjang, lorong gelap dibelakang mengejar tak henti, diburu dosa sebesar gunung, akan menghempap diatas muka..

Inikah rasanya hamba derhaka, terasing terbelenggu dalam gelap, mengharap sinar dihujung harapan...

Cuma ratib al Haddad teman setia, moga disana ada jalan, yang ditinggal pesan oleh junjungan, untuk mereka yang tersasar jalan, agar kembali ke Fitrah hamba...

Ku alun terus ku alun, ratib syahdu menusuk jiwa, agar lerai kusut, luruh gundah, aman rasa takut, kerana buntu kemana hendak aku sandarkan lagi, gelora jiwa seluas lautan ini...

Terus mengalun ratib, merintih, merayu...jangan tinggalkan aku tuhan, jangan tinggalkan aku

Ya Allah ampunkan dosa, hapuskan kesalahanku, tutuplah aibku..beri aku kekuatan untuk bangkit semula, dari Fitrah manusia alpa kepada Fitrah manusia hamba...

..Entah puisi atau apa...hanya rasa yang terus mengalir, mencari nokta dimana sudah...





Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Menuju 16 September, Optimis Negara Berkebajikan


Pelancaran Sekretariat PR Sabah

Sebelum ini saya ada meluahkan sedikit kerisauan saya tentang masa depan Pakatan Rakyat Sabah yang pada saya masih tidak ada asas yang kukuh untuk meyakinkan rakyat negeri ini sebagai pengganti kepada Barisan Nasional.

Apakah perkara asas itu?

Ditambah lagi dengan ikatan kerjasama dalam Pakatan yang masih agak longgar dalam suasana di satu pihak iaitu BN-Umno terus menunjukkan prestasi yang teruk tahap gaban. Hanya kerana sentimen 'budi BN' terus dilagukan, rakyat negeri ini menjadi serba salah dan 'kasihan' untuk meninggalkan BN untuk kali yang pertama, jika benar ia berlaku pada PRU ke 13 nanti.

Persembahan Pakatan Rakyat perlu dilihat kemas dipentas.

Respon kepada isu utama negeri Sabah terutamanya melibatkan ketiga-tiga parti komponennya PAS, PKR & DAP masih terlalu jarang, sedangkan ini adalah imej kekuatan kepada PR Sabah. Ia juga satu penumbuk di rusuk kepada Umno-BN.

Kebimbangan saya terus berlarutan bila ada sesetengah tempat dan kawasan masih tidak tahu apa itu Pakatan Rakyat!?

Benar, siapa dalam Pakatan Rakyat Sabah pun jika dicongak-congak kepada masyarakat akar umbi pasti menimbulkan beberapa persoalan kepada usaha turun kebawah pemimpin PR.

Pakatan Rakyat?...ada makcik-makcik yang tergaru-garu kepala.

Kita juga akui ada persaingan sihat diantara ke tiga parti kompenen untuk sama-sama menempatkan diri dalam pentas politik Sabah dan keperluan untuk bergerak lebih tangkas sangat mendesak.

Dalam suasana itu persaingan ini pun perlu juga diuruskan sebaiknya. Ada masa dan ketikanya penonjolan parti sendiri diutamakan, ada masanya ketiga-tiga pemimpin parti perlu duduk bersama menunjukkan kesepakatan dan kesatuan yang lebih baik daripada Umno-BN. Tidak perlulah berlumba-lumba naik kepentas sekali dengan ketua ranting atau cawangan kecil-kecilan semata-mata semata-mata lensa para wartawan berebut-berebut mahu menangkap barisan pemimpin Pakatan Rakyat sehingga menenggelamkan pemimpin utama Pakatan.

Saya kadang-kadang tertunduk malu melihat telatah sedemikian rupa dalam majlis yang besar. Letak saja wakil daripada 3 orang wakil PAS, PKR & DAP diatas pentas sebagai gimik, cukup!

Konvensyen Pakatan Rakyat Sabah

Saya memang ternanti-nanti satu hasil yang memberangsangkan daripada PR Sabah. Syukur, perasaan saya kembali segar menanti perkembangan terbaru ini.

Ada beberapa isu yang akan disentuh yang melibatkan kedaulatan negeri ini, dan pembentangan isu telah dibahagikan kepada ketiga-tiga parti mengikut kapasiti kekuatan yang masing-masing punyai.

Perbincangan mendalam telah dilaksanakan dan menunggu masa dan tarikh yang dijadualkan iaitu pada 16 September untuk ketiga-tiga parti membentang gagasan masa depan untuk rakyat negeri ini.

Dokumen yang menjelaskan bentuk dan garis besar kepada dasar pemerintahan PR pada masa akan datang ini adalah bukti kukuh komitmen Pakatan, tidak sekadar mahu menggantikan kerusi yang ditinggalkan oleh Umno-BN tetapi lebih dari itu ia menawarkan polisi pemerintahan yang lengkap dari sudut politik, ekonomi, sosial dan agama yang praktikal dan realistik untuk rakyat negeri ini.

Maknannya, kesungguhan Pakatan ini tidak sekadar dilontar kosong dalam ceramah-ceramah tanpa ada dasar-dasar yang jelas tertulis yang boleh disemak ketelusannya samada sebelum atau selepas mendapat mandat rakyat pada PRU akan datang. Ini antara tujuan besar kenapa perlu lahirnya sebuah dokumen yang jelas dan terperinci.

Saya juga yakin selepas lahirnya sebuah dokumen 'buku jingga Sabah' ini, pelbagai isu yang tidak pernah selesai dan kontroversi selama ini akan ada pencerahan. Sudah tentu Umno-BN tidak akan senang duduk dan serangan bertalu-talu akan dilancarkan untuk menjatuhkan dan memberikan imej yang lemah terhadap intpati dokumen itu nanti.

Harapan saya agar PR Sabah tidak goyah terhadap serangan-serangan yang akan datang, tetapi terus memfokus kepada agenda besar bersama untuk memperhalusi, memperkemas dan mempromosi kandungan buku jingga Sabah. Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan negeri Sabah selain menjadi panduan bersama, perubahan-perubahan semasa juga perlu diambil kira tanpa mengabai apa-apa yang telah termaktub pada keadua-duanya.

Isu Agama, PTI dan hak bumiputera Sabah antara isu yang mungkin sedikit timbul perbezaan pandangan namun, perbincangan dan penjelasan yang terarah akan memperkukuhkan dan menampung kelemahan yang ada. Ini perlukan sedikit masa untuk diselesaikan memandangkan perbincangan serius yang menyentuh soal-soal yang agak 'privacy' jarang sekali dibawa kemeja mesyuarat pimpinan PR Sabah.

Mudah-mudahan 16 September itu nanti berjalan dengan baik dan kita akan melihat usia PR Sabah selangkah lagi meningkat matang. Untuk ketiga-tiga parti komponennya PAS, PKR dan DAP perlu terus membuka ruang-ruang perbincangan dan dialog kerana kita mahu PR berkesinambungan bersama arus perubahan demi untuk rakyat, dan biarkanlah Umno-BN bernafas dalam sentimen, terkubur dalam penafian.

16 September, asas membangun negeri berkebajikan negeri Sabah!







Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer