PTI versi baru ?



Banyak-banyak hal yang mengundang resah apabila bercakap mengenainya di Sabah, itulah dia isu Pendatang Tanpa Izin atau PTI. Dari sembang di warung-warung sampai lah ke perbahasan di parlimen, ya ampun.... tiada yang tidak menghiris perasaan setiap pembaca. Tidak kiralah tuduhan tersebut sama ada yang peribumi dikatakan pemalas dan yang pendatang dikatakan perampas hak, semuanya menjadi perbahasan yang begitu hodoh.

Beza dengan tuntutan royalti minyak 20%, isu ini cuma berlegar di peringkat atasan. Mungkin kerana hanya mereka yang tahu kemana dan dimana peratus agihan minyak itu mengalir, maka satu kesilapan besar jika tempayan untuk menadah tidak disediakan.


Sebelum ini



Sama ada ia strategi politik atau bukan, pelbagai bahan dan bukti telah dipaparkan mengenai benarnya pemalsuan IC dan bagaimana PTI ini juga dilihat sebagai satu modal besar pada setiap kali pilihanraya menjelang tiba. Pada satu pihak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada PTI akibat masalah yang ditimbulkan manakala ada pihak lain mengambil peluang ini 'memangsakan' PTI sebagai alat mencapai kemenangan pada pilihanraya dengan apa cara sekalipun.


Andainya, isu PTI ini hanya dilihat dari satu aspek sahaja, tanpa mempertimbangkan aspek yang lebih luas, ada kemungkinan polemik ini akan berterusan dan wajah PTI akan terus kekal dengan sisi gelap yang seakan-akan mahu menarik kita semua mengenepikan soal sejarah, kehidupan dan ugama itu sendiri.


Adakah ini satu lagi bentuk toleransi dari sekian banyak toleransi yang memberikan lebih banyak ruang hak dan ketuanan peribumi Sabah terus di cerobohi?

Atau ia satu penafsiran semula kepada isu PTI yang membawa kepada penafsiran semula yang lebih harmoni sifatnya terhadap kepelbagaian suku-kaum di Sabah ini disamping hak-hak peribumi terus terpelihara?


..mampukah kita mendepani cabaran ini?


Meneliti perkembangan yang berlaku, tidak ada satu sampel yang jitu bahawa PTI merupakan punca utama kepada masalah dan tidak dapat dinafikan hujah bahawa segala-galanya juga berakar umbi daripada nilai yang melatari sistem pemantauan yang lemah yang menelurkan lebih banyak masalah.


Seperti resahnya pembaca dengan perbahasan mengenai PTI ini, saya fikir perkara yang sama juga berlaku apabila ada suara mendesak kepada penafsiran semula. Apa jaminan?

Sehingga ke hari ini, sebut saja PTI semacam tiada istilah kompromi kepada individu tertentu. Semua perbincangan mengenainya akhirnya menuju satu lorong yang berakhir dengan idea yang tepu!


PTI cuma satu wajah???



Selepas Ini


Saya tertarik dengan idea yang dikemukakan oleh Ketua Penerangan PAS Sabah merangkap YDP PAS Kawasan Keningau, Sdr Hisamudin Sulaiman berkenaan tawaran PAS yang akan menjadi salah satu manifesto PAS pada PRU yang akan datang.

Secara jelasnya beliau menyebut, PAS melihat perkara ini sebagai isu yang boleh diselesaikan secara serampang dua mata.

Secara umumnya, isu PTI ini boleh dikenal pasti berdasarkan tiga keadaan iaitu individu yang lahir di Sabah, individu yang masih terapung-apung kewarganegaraanya dan individu yang berniat untuk masuk ke Sabah.

Individu yang memang lahir di Sabah kata beliau, golongan ini mesti diberikan hak kewarganegaraan setelah benar-benar layak mengikut peruntukkan yang ada.

Kedua, golongan kewarganegaraan terapung ini mesti diselesaikan secepat mungkin kerana mereka ini juga mampu menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai dan sebagainya.

Ketiga, individu yang baru masuk ke Sabah, golongan ini tidak dapat tidak mesti dihantar semula atau tidak diberi kebenaran masuk kecuali mengikut saluran yang disediakan. Langkah ini bukan kerana sentimen apa-apa, tapi sebagai langkah mengelakkan mereka menjadi mangsa kepada keadaan dan sudah pasti mereka akan menjadi mangsa kepada kemiskinan, setinggan atau si petualang rakuskan kuasa undi.

Saya tidak menyentuh pelbagai lagi aspek lain yang lebih teknikal sifatnya, cukup sekadar idea yang dikemukakan diatas sebagai satu titik permulaan kepada usaha penyelesaian yang lebih lunak dan cuba untuk keluar daripada persepsi buruk 'mengusir' saudara seakidah ini. Idea ini mesti disambut dan diperkemas oleh ahli PAS.


Kembali Kepada Sistem


Islam menawarkan bentuk penyelesaian secara menyeluruh, tidak berpilih-pilih atau dalam juzuk-juzuk tertentu sahaja. Bermakna ia merangkumi satu unsur kepada unsur yang lain sehingga ia mencipta satu sistem yang lengkap dan saling berkait.

Memilih atau menjuzuk-juzukkan sistem yang lengkap ini, bermakna menjadikan manusia sebagai mangsa kepada sistem-sistem ciptaan manusia yang sudah pasti banyak cacat celanya. Mengambil cuma sebahagian sistem ilahi, merupakan kecacatan kepada aqidah dan iman seorang muslim. Sebelum kecelakaan tertimpa kepada seseorang dalam apa jua bentuk dan namanya (PTI, Rasuah, dll..), terlebih dahulu lihat kepada sistem yang diperjuangkan kerana ia merupakan faktor yang paling utama dalam menentukan nilai kehidupan seorang manusia.


Kembali kepada sistem.....


Cuma yang perlu sentiasa diperjelaskan iaitu, bagaimana sistem 'rahmatal lil alamin' yang luas ini mahu di lipat kemas dan cantik agar sesuai dengan setiap sudut bumi yang bernama Sabah. Saya sarankan agar perbincangan ini dipanjangkan di ruang lain yang lebih intelektual sifatnya.


...Satu percubaan, terimalah seadanya...

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Aktivis Kampus Borneo; Realis-Reformis

Demonstarsi PULIH oleh Mahasiswa KAL


Pertama kali pada pandangan saya, demonstrasi besar yang tidak mendapat restu pihak pentadbiran universiti berlaku di universiti malaysia sabah kampus antarabangsa labuan. Laporan beberapa akhbar media massa mengganggarkan 1000 orang mahasiswa berarak menyatakan ketidakpuasan terhadap isu air di Labuan.

Lebih besar daripada sekadar melaporkan suasana yang berlaku, peluang ini seharusnya menjadi permulaan satu lagi titik anjakkan mahasiswa ke arah reformasi berterusan.

Saya memerhatikan video klip yang ada dan memberikan 5 bintang untuk aktivis UMS KAL kerana berjaya memimpin unjuk rasa tersebut. Memandangkan usia kampus ini masih baru, kejayaan sedemikian merupakan satu kejutan juga bagi saya, di bumi borneo ini.

Apalagi, usah biarkan kesedaran yang baru menyelinap masuk ke dalam pemikiran mahasiswa semakin lama pudar dek ditelan masa. Apa juga langkah yang diambil oleh aktivis hari ini, kesannya akan dapat dirasai sehingga beberapa tahun akan datang. Jika andaian saya benar, titik perubahan sebenar kepada universalitas Islam sudah bermula di Sabah, bermula dari cerdik pandainya di universiti yang dekat dengan suasana masyarakatnya.

Walaupun realis atau bentuk praktikalnya masih banyak sudut yang perlu dibincangkan, namun kemampuan untuk membawa massa bersama-sama menggerakkan ideologi perjuangan juga merupakan bahagian-bahagian praktikaliti yang penting yang mesti ada. Ini merupakan kayu ukur samada perjuangan yang dibawa berpijak dibumi nyata atau tidak.

Saya dan beberapa orang teman sejak meninggalkan kampus dan terlibat dengan suasana politik diluar, masing-masing mengakui bahawa keteguhan aktivis dipentas perjuangan mesti dikembalikan kepada nilai dalaman yang dihayati melalui proses dan pembudayaan ilmu.Faktor inilah yang akan sentiasa memberikan nafas panjang dan kesegaran dalam perjuangan.

Selesai soal membumikan erti perjuangan, saya kembalikan kesedaran mahasiswa tersebut kepada keadaan yang lebih tersusun bentuknya iaitu kepada bentuk reformasi atau pembaharuan atau islah. Reformasi ini asasnya mestilah dalam bentuk seperti yang disebut oleh ulama-ulama dan cendekiawan Islam yakni pembebasan seorang muslim dari sudut akidahnya, ibadahnya dan akhlaknya daripada sebarang isme-isme.

Suntikkan ruh kesegaran Islam seperti akidah, ibadah dan akhlak dalam bentuk program yang berpanjangan dan rancakkan dalam bentuk yang pelbagai. Maka akhirnya, lahirlah rupa diri seorang MUSLIM yang mampu membawa perubahan dari dalam dirinya kepada masyarakat sekitarnya yang berkomitmen tinggi terhadap nilai-nilai keadilan Islam.

Satu mileage politik bagi Pro-M UMSKAL melalui demonstrasi PULIH dan penerusan kepada kebangkitan mahasiswa ini mesti ada mekanismanya yang sesuai dan jika saya boleh mencadangkan, bagaimana supaya penerusan tersebut mampu dipindahkan kepada masyarakat di luar kampus yang masih celaru hari biru gambaran Islam secara keseluruhan.

Ingatan saya juga kepada sebahagian kecil aktivis, agar jangan anda terlepas pandang. Betapa besar pun agenda reformasi, tanpa didasari usrah, jangan fikir jauh lagi. Kerana sesudah itu, fitnah kembali lagi seperti bola melantun terkena dahi.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Aktivis Kampus Borneo; Idealis kepada Realis

Terlalu Idealis! kata sahabat saya, melihat situasi aktivis kampus yang ada di bumi borneo ini.


Ada perhatian yang perlu diberikan apabila ada pandangan mengatakan terlalu idealis itu sehingga jauh dari realiti yang sedang berlaku. Asasnya memang ada melalui pengalaman dan penelitian yang panjang.


Sementara itu, penerimaan aktivis kampus terhadap premis diatas seperti satu sekatan pula kepada kemajuan pemikiran dan semangat tulin yang sarat dengan keinginan untuk melihat perubahan. Mudahnya, mereka adalah mereka dan kita adalah kita sebagai reaksi tidak bersetuju. Mungkin begitu kesimpulannya.


Saya cuba untuk memahami situasi ini dari satu sudut yang lebih objektif agar membuahkan solusi yang boleh diguna pakai. Ini juga merupakan satu sarana agar apa yang telah terbina dikalangan aktivis kampus sehingga ke hari ini bukan untuk diruntuh kemudian dibina semula. Tidak begitu keadaannya, malah apa telah tersedia sekarang cuma perlu sedikit suntikan melalui 'world view' yang pelbagai.


Menyuntik Idealis

Mengambil petikan daripada apa yang dikatakan oleh Almarhum Dr. Fathi Yakan, pemuda seharusnya tidak mengharapkan perubahan berdasarkan apa yang ada sahaja, sebaliknya perubahan mestilah dicapai melalui apa yang seharusnya berlaku. Pencapaian yang dimaksudkan oleh beliau ini ada kaitannya dengan penggunaan maksimum darjah pemikiran yang melihat jauh kedepan.


Sebagai permulaan, saya mencadangkan wacana-wacana pemikiran tokoh-tokoh besar yang lebih serius bukan sekadar mengambil sepatah dua kata-kata semangat dari pembacaan yang ringan. Tanpa penelitian dan penghayatan kepada idea-idea yang dihidangkan melalui pembacaan atau perbincangan, agak sulit rasanya untuk melahirkan kepimpinan yang mampu membawa gagasan yang baik. kayu ukurnya, apakah penerimaan pelbagai lapisan terhadap idea yang dilontarkan?..atau sekadar ribut didalam cawan.


Melalui pemerhatian, aktiviti kemahasiswaan di semenanjung banyak memberikan pengaruh yang besar kepada arus perubahan di kampus-kampus sekitar Kota Kinabalu dan Labuan. Ini satu perkembangan yang baik dan perlu diteruskan dengan perkongsian yang lebih bijak. Saya mengatakan sedemikian kerana bimbang berlaku ketidak serasian antara idealis dan kemampuan untuk mendokong gagasan yang besar tanpa persediaan 'inside-out side'. Sebaliknya berlakulah 'blind spot' antara kaedah cuba jaya dan hentam sajalah.


Walaupun begitu, saya masih optimis bahawa idealisnya aktivis kampus-kampus Borneo sehingga ke hari ini masih perlu diberikan suntikan. Mengambil situasi Pakatan Rakyat ketika ini, begitu mengasak aktivis untuk menterjemahkan ide-ide keadilan Islam dalam bahasa demokrasi. Atau masih lagi 'bulat-bulat' dengan impian tertegaknya Negara Islam?...maaf kalau saya tersilap.


saya dan anda semua masih diatas cita-cita tertinggi iaitu Daulah Islamiyah.


Memahami Realiti

Memahami Idealis mungkin lebih mudah daripada menelaah realiti yang berlaku bagi sesetangah orang. Sebuah Idea yang besar benar-benar akan teruji keberkesanannya dalam lapangan yang sebenar. Saya yakin walaupun realiti ini apa yang biasa nampak di depan mata, namun ia masih kekal sebagai realiti semata-mata tanpa kajian yang lebih terperinci.


Pertama, realiti ketumbukan gerakan Mahasiswa yang sedia ada seperti GAMIS merupakan warisan gerakan Mahasiswa dekad-dekad 60-70 an yang banyak mencorak sedikit sebanyak hala tuju kepimpinan negara ini pada waktu itu. Pada tahap itu mahasiswa sudah mampu keluar dengan gagasan tersendiri dan sebagai entiti 'check and balance' pandangan mereka mengambil tempat dalam politik tanah air.


Kedua, faktor interaksi erat yang terjalin diantara aktivis mahasiswa dan tokoh-tokoh pemikir terkenal melengkapkan lagi keberkesanan para aktivis memahami realiti sekeliling. Tidak berapa lama sebelum kebangkitan mahasiswa, berdiri tokoh-tokoh pemikir Islam seperti Dr Burhanudin Al Helmi dan graduan-graduan Al Azhar yang terdedah dengan perkembangan gerakan Islam timur tengah. Sedikit sebanyak, faktor idea tokoh-tokoh ini larut dalam aktivitas mahasiswa dekad itu.


Ketiga, saya mahu membuat sedikit perbandingan dengan arus kebangkita mahasiswa di borneo. Mungkin kerana pembacaan saya yang masih kurang, maka saya gagal mengambil contoh-contoh dari sejarah. Sepanjang pembacaan, orientasi politik begitu mendominasi pencapaian negeri Sabah hingga ke hari ini. Barangkali ada benarnya bahawa kesedaran politik di Sabah 10 tahun keterbelakang berbading semenanjung, kerana intipatinya bukan 'politik nilai'.


Walaupun ada di gembar gemburkan rakyat sabah lebih 'advance' kerana berani menukar corak pemerintahannya, dari satu sudut, adakah ia lahir daripada perkembangan ilmu, atau pengaruh daripada tokoh-tokoh ilmuan yang terdekat. Jika disoroti semula, kita 'hanya ada' Tun Mustapha dan rakan-rakan seangkatan dengannya, dengan niat tidak hendak merendahkan siapa-siapa. Jika kesedaran Islam di Sabah menjadi kayu ukurnya, anda sendiri tahu jawapannya.


Setelah hampir 40 tahun, barulah ada satu universiti ditubuh di Sabah pada tahun 1994 jika tidak silap saya. Malang bagi mahasiswa ketika itu yang baru bertunas cara fikirnya, ruang yang sepatutnya terbuka untuk mereka turut sama memberikan pandangan telah ditutup rapat lama dulu oleh AUKU. Maka berlakulah apa yang terjadi, suara ke tiga yang seharusnya datang daripada kampus yang bukan dari sisi politik sempit, tidak kedengaran membela masyarakat .


Masih lagi isu-isu seperti isu agama, hak bumiputera, tanah dan kad pengenalan dimanipulasi untuk keuntungan politik dan jauh dari rasa peduli Mahasiswa...apakah idealisnya Mahasiswa mampu memberikan alternatif ke tiga terhadap isu-isu diatas?


Kesimpulan; rupa kepada makna

Saya membawakan beberapa penelitian diatas jauh sekali untuk merendahkan malah jauh sekali hendak membunuh semangat yang ada. Apa yang penting dalam perjalanan yang panjang bukan saja tahu persediaannya besar tetapi juga tahu bertindak dengan tepat.


Ya, memang teruja dengan gaya pidato kepimpinan GAMIS yang memukau atau selautan mahasiswa berdemonstrasi di jalanan. Sungguh teruja bukan?


Tidak salah mengambil semangat tersebut, tapi bukan secara simplistik. Perlu di tekankan disini, itu semua adalah rupa yang terhasil daripada apa yang telah saya sebutkan diatas; suasananya, budaya ilmunya, golongan pemikirnya dan sejarahnya. Inilah nilai yang memberi makna kepada rupa perjuangan Mahasiswa.


Lantas, adakah kita hanya mampu menjadi pelaku yang hanya memerhati dan menunggu perubahan berlaku di depan mata?....Saya percaya idealisnya mahasiswa kampus borneo ketika ini merupakan satu perkambangan yang cantik. Tinggal lagi sudut realistiknya yang masih banyak kelompangan yang perlu diperbaiki...


"Membumikan Pro Mahasiswa di Borneo".....saya begitu teruja mengikuti perkembangan realistiknya.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Bunyamin; Hatiku di Kelantan

Senyumnya, riak wajahnya, saya sudah tahu semuanya berjalan lancar. Sebelum itu lagi, tapi berita gembira melalui sms saja, tidak mampu memberikan gambaran sebenar.


..Alhamdulillah...Tahniah Sdr Bunyamin, walaupun agak terlambat sedikit mengucapkan tahniah.


Saya tahu sahabat saya seorang ini, duka pilunya seiring senyum dan gurau sendanya melalui perjalanan yang panjang ujian tuhan. Rasa apa yang terselit dibalik hatinya, juga ada pada saya.


Namun kali ini, saya tidak lagi dapat merasai apa yang baru dilaluinya. Ya, walaupun senyuman yang sama, saya tahu hanya mereka yang sudah sampai seru saja yang boleh berkongsi rasa yang sama. Ketika itu, siaplah saya yang akan menjadi mangsa buli orang yang dah kahwin.


Saat-saat bahagia, Bunyamin dan Isteri


"Lima tahun man menunggu!..tegas Bunyamin


"Iya Bun?, saya seakan - akan tidak percaya.


malam itu, saya tekun mendengar saat-saat lucu tapi mendebarkan majlis pernikahan yang saya kira berjaya meruntuhkan tembok mitos antara kelantan dan Sabahan. Sebelum ini ada sejarah, beberapa orang sahabat dari Sabah yang tidak sampai jodohnya dengan muslimat kelantan. Banyak sebabnya, tapi yang selalu menjadi alasan, "orang jauh" kata keluarga muslimat.


Oleh kerana sembang-sembang malam tersebut terlalu panjang, saya pun tidak bercadang menerbitkannya sepatah-sepatah dalam blog ini. Cuma saya katakan kepada beliau saya akan berikan tajuk yang sesuai. Banyak-banyak tajuk, inilah tajuk post yang beliau setuju sebagai mewakili kisah sebuah perjalanan jodoh yang panjang, penuh ujian kesabaran dan pengorbanan.


Lepas ini, ada 2,3 orang lagi yang akan menyusul..Tungguuuuuuu

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Mencabar Kebiasaan




Wajah Ceria, Semangat Baru Mahasiswa Sabah


Ketika terdengar desas-desus bahawa GAMIS Sabah akan menghantar memorendum kepada Ketua Menteri Sabah Dato Sri Panglima Musa Aman, saya tersenyum. Hati saya berkata,'andainya ia satu kenyataan'..


Terbukti dan mereka telah membuktikannya, adik-adik saya ini tentunya sudah mengambil keputusan bahawa mereka bukan lagi mahasiswa asal-asalan, seperti robot yang tidak punya akal untuk berfikir, kontang dari gerak hati yang kuat untuk melakukan perubahan.


Mungkin ada kata-kata sinis yang kedengaran lewat penghantaran memorendum tersebut. Tak mengapa. Dalam suasana generasi Sabahan dan di tanah Sabahan ini sendiri yang agak asing 'melawan' orang besar yang punya kedudukan, ia tidak boleh dibanding-banding dengan akitivisma mahasiswa di semenanjung. Kerana apa?..panjang ceritanya, banyak bezanya.


Daerah Baru


Bagaimanakah perasaan anda ketika menjengah ke satu tempat yang tidak pernah anda terbayang untuk kesana?


Tentunya ia satu pengalaman perasaan yang sungguh menyeronokkan. Ketika itu, terlupa seketika penat lelah perjalanan yang baru ditempuhi sebentar tadi. Hilang ditiup angin cerita-cerita dongeng yang cuba menggugat perasaan untuk terus melangkah. Kerisauan yang mencengkam kemahuan akhirnya bertukar menjadi satu keyakinan yang tertancap teguh. Tinggal anda tersenyum-senyum sendirian, menikmati bayu di puncak kemenangan.


Daerah baru yang baru ditemui, membuka satu lagi ruang baru dalam hidup. Jika difikirkan sangat soal kekurangan-kekurangan yang ada, tentu tidak akan sampai menjelajah daerah baru ini. Jika ada orang mahu agar setiap langkahnya yang hendak terperosok kedalam lubang, sentiasa saja ada orang kebetulan disitu berdiri dan berkata, 'awas, ini lubang', ini adalah satu kemustahilan. Bagus juga kalau sesekali terperusuk masuk, sekurang-kurangnya tahulah kita, ada pengalaman bagaimana sakitnya jatuh ke dalam lubang.


Albert Enstein seorang ahli fizik yang terkenal di abad ini berkata, 'saya bukanlah siapa-siapa, cuma orang biasa yang penuh dengan tanda tanya'. Dengan tanda tanya itulah beliau meneroka dunia yang penuh tanda tanya ini lantas terhasil teori kuantum masa yang terkenal. Lalu ia cuba dikembangkan lagi oleh anak-anak muridnya sehingga ke hari ini. Ketika persoalan tentang keunikan hukum alam ini begitu mencetuskan rasa ingin tahu membuak-buak, Enstein ketika itu masih seorang pemuda dan hasilnya, beliau berjaya menjelajah ke daerah baru pemikiran. Membuka semangat baru kepada pemuda-pemuda saintis yang lain. Membuka dunia baru kepada kehidupan.


Seperkara lagi juga dari Enstein, katanya, 'suatu masalah biasanya dapat diatasi bukan dengan penyelesaian yang setara dengan masalah tersebut, tetapi dengan yang lebih baik dari masalah tersebut'. Ertinya, tidak sekadar melihat masalah bukan saja dengan menelusuri dimana puncanya, tetapi lebih dari itu, masalah yang terjadi biasanya disebabkan dimensi pandangan yang tidak pelbagai. Kebanyakkan penyelesaian tersebut ada disana, diluar kotak pemikiran dan kejiwaan yang ada ketika ini. Tanpa satu cabaran dan asakkan, jiwa dan pemikiran kita tidak akan mampu kesana, daerah baru pemikiran. Oleh itu, teruskan tradisi mencabar kebiasaan!





Syabas adik-adikku. Ayuh terus mara, hayunkan langkahmu ke medan juang!






Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Halusi Pendekatan

Berita berkenaan Faizal Julaili masuk UMNO bersama jawatan beliau sebagai Setiausaha AMK Negeri Sabah merangkap Ketua Pemuda PKR Bahagian Papar telah disanggah oleh Ketua Penerangan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Sabah, Sdr Zainuddin Hassan. Bacaan yang mudah bagi orang politik, tentunya kerana peralihan Faizal tersebut ada nilai 'melemahkan' imej Angkatan Muda Keadilan dan Pakatan Rakyat.


Saya terbayang-bayang masyarakat di bumi bawah bayu ini disaat deretan kes seperti Faizal ini semakin berjangkit. Saya cuba meletakkan diri di tempat mereka sebagai petani, nelayan, peniaga kecil-kecilan yang kedudukan paras kemiskinannya tercorot di Malaysia. Pendapatan mereka cukup-cukup saja untuk menyara makan minum hari-hari, sekolah anak-anak dan keperluan asas yang lain. Selebihnya, untuk hidup sebagai rakyat yang punya hak merasai kemajuan ekonomi negara ini adalah tanggungjawab pemimpin yang mereka lantik. Kan sudah 50 tahun merdeka!..Tapi YB nya lompat lagi, lompat lagi dan lompat sikatak lompat.


Apakandaya, mereka terpaksa juga memangkah YB tersebut walau hati sudah tidak mampu menahan sebak.


Sebaik saja berita berkenaan kemasukkan Faizal Julaili kedalam Umno tersiar dalam Sabah Times, saya menemani bro Lahirul tengah hari itu berkunjung ke pejabat bro Abdul Razak Jamil, Ketua Pemuda AMK Sabah. Saya kurang maklum apa yang dibincangkan memandangkan itu cuma pertemuan mahabbah yang singkat, jadi saya kena memandu kereta Bro Lahirul pusing-pusing Asia City supaya memudahkan perjalanan balik nanti. Asia City agak sesak ketika itu, hendak memarking kereta agak melecehkan.


Satu tapisan agaknya kepada PKR Sabah memandangkan selera masyarakat disini lebih kepada parti tersebut berbanding teman-temannya PAS dan DAP. Positif ke arah masa depan Pakatan Rakyat, boleh dikatakan PAS juga ada peluang yang cerah untuk sama-sama menyumbang disamping DAP yang ada tempatnya tersendiri dalam kedudukan kerusi pada hari ini. 41 kerusi muslim di Sabah yang akan menentukan keputusan Pilihanraya Umum, PAS mungkin cuma perlu memikirkan pendekatannya dalam suasana semangat kesukuan yang masih agak tebal sekarang ini.


Tidak mustahil, tapi yang menghairankan mengapa PAS hilang deposit di Merotai PRU-12 sebelum ini?..Adakah kerana faktor pendekatan yang masih perlu diperhalusi?..soalan tersebut dibangkitkan oleh orang lama USNO, Sdr Abdullah Sani ketika bersembang-sembang selama hampir 3 jam berkenaan perjalanan politik di Sabah. Rezki kami bertemu beliau, banyak sudut pandang yang memperkaya lagi apakah waqie' sebenar di Sabah. Kuncinya, dekati masyarakat, pesan beliau lagi.


Mengapa Mesti PAS


Pendekatan Kamera yang kabur, kopiah putih saya saja yang nampak


Selain PKR dan DAP, PAS boleh juga dikatakan sebagai penentu yang mencorak arah mana senario politik negara pada masa akan datang. Jika mahu dikatakan PAS cuma parti doktrin politik semata-mata, tidak ada bezanya dengan parti lain itu memang benar. Itu petanda, PAS memang berhasil meletakkan dirinya dalam waqie' dan realiti di Malaysia pada hari ini. Jika ada yang mahu mengatakan bahawa PAS menggunakan agama untuk cita-cita politiknya, silakan. Kalau tidak guna agama, nak guna apa? hanya agama boleh menyelamatkan manusia dunia dan akhirat.


Yang sebenarnya, PAS adalah sebuah gerakan Islam yang meletakkan undang-undang tertinggi iaitu al Quran dan Sunnah. Termaktub dalam perlembagaan PAS dan tidak ada lagi pertikaian. Mengapa dikatakan ia sebuah gerakan Islam atau Harakah Islamiyah?..kerana, sesiapa sahaja yang mengucap 2 kalimah syahada bermakna dia cuma ada satu identiti sahaja.


Identiti itu ialah "Ummatan Wahidah" iaitu ummat yang satu. Sejarah ummat yang satu ini begitu jelas tali menali sampai kepada Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi-Nabi terdahulu. PAS dengan merujuk kepada sejarah Islam yang terbentang panjang ini berusaha mengembalikan semula seorang muslim kepada sejarahnya yang terkandung didalamnya cara berpolitik, cara berekonomi dan cara beribadah selepas ia terputus semasa kerajaan Turki Uthmaniah.


Bersilat dalam suasana perang politik pada hari ini, tidak semestinya PAS terbawa-bawa atau dilihat sama saja dengan lawannya. Masih lagi PAS dulu kini dan selamanya berpandukan kepada kaedah ilmu fiqh dan matlamat syariah untuk menentukan sempadan antara perkara dasar dan perkara cabang dalam ugama. Bagaimana strategi politik PAS selepas ini akan dilumati sebaik mungkin dalam lingkungan perbendaharaan ilmu dalam Islam yang luas, Insya Allah.


Apakah pula seruan PAS kepada non muslim?...Syariatullah menyatakan Islam ini 'rahmat kepada sekalian alam" yang diterjemahkan kepada "PAS 4 All". Cukup jelas dari posisi dasar dan matlamat yang ingin dibawa. Apa yang banyak menjadi pertikaian kepada PAS sebahagiannya dalam zon cabang iaitu soal pendekatan dalam warna dan rentak yang pelbagai masyarakat di Malaysia. Bukan mudah hendak mengekalkan dasar dan matlamat pada sama, pendekatan mesti menari mengikut rentak terkini.


Justeru, mengikut resmi Pilihanraya Umum, sesebuah parti dilihat baik atau tidak bergantung kepada pendekatannya dan inilah cabaran besar kepada PAS di Sabah khususnya. Merai suasana setempat disamping idealisme politik merentas masa jika dicantum menjadi dinamika pendekatan, sedang diperbaiki dari masa kesemasa oleh ahli-ahli PAS yang komited dan konsisten.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Berjiwa Besar

Merpati Sejoli..Abg Nas & Kak Iman


Selamat Hari Ulang Tahun Perkahwinan kali ke-4 buat abang Nas dan isteri tercintanya Kak Iman. Sepanjang usia perkahwinan keluarga ini telah dianugerahkan 2 orang cahaya mata sebagai penyeri dan khabarnya 'in progres' untuk cahaya mata yang ke-3...mudah-mudahan panjang umur, murah rezeki.


Begitu juga teman-teman seangkatan yang pernah hidup sebujang, tidur sekatil dan makan setalam yang khabarnya sudah sampai seru, selamat melangkah ke alaf baru.


Berkenaan abang Nas, rasanya ada persamaan yang saya berkongsi rasa yang sama dengan beliau. Menjadi seorang petugas sepenuh masa pada zaman penubuhan awal PAS di Sabah tentunya beliau melalui suasana yang begitu berbeza berbanding apa yang saya dan sahabat-sahabat lain lalui sekarang ini.


Ketika PAS masih terlalu asing, menjadi seorang petugas sepenuh masa bukanlah pilihan yang popular bagi sebahagian pemuda. Ketika nama PAS sudah disebut-sebut oleh orang-orang kampung di Sabah ini, masih lagi ada yang segan di panggil 'orang PAS'. Tambah lagi kalau anak harapan keluarganya bekerja dan berprogram untuk PAS, bukan saja mak bapaknya pening kepala, bakal mak mertuanya pun jeling semacam, tergaru-garu kepala. Jangan tepuk dahi sudah.


..asing, memang asing...


Namun, apa sebenarnya yang tidak akan dilalui oleh orang yang punya cita-cita atau jiwa yang besar?..Berdepan dengan musuh sudah semestinya. Dikhianati teman seperjuangan sudah ada terjadi di depan mata. Terasa kesunyian di jeriji penjara sudah banyak berlaku. Terasa kehilangan kerana tidak punya harta itu sudah lumrah. Terasa kerdil, terasa asing dan banyak lagi....


...bukan hal yang biasa-biasa semua itu. Semuanya jauh dari pandangan, malah jauh lebih sukar untuk di mengerti oleh orang kebanyakkan. Kalau mahu perjuangan itu mudah, tentunya Nabi kita Muhammad S.A.W lebih dahulu berdoa supaya Islam ini sekonyong-konyongnya diterima saja oleh orang-orang quraisy. Mudahnya...


Ah..baca sendirilah sejarah tentang tokoh-tokoh besar dunia, atau belek semula buku-buku motivasi tentang orang berjiwa besar. Kuncinya ialah perngorbanan semua. Tuntutan ini bukan kepada seorang dua, tetapi seramai mungkin. Mustahil tokoh-tokoh besar tersebut mampu bertahan tanpa pembantu-pembantu yang sentiasa sedia memberikan bantuan. Setiap orang paling kurang pun berdoalah dengan hati yang ikhlas di hujung solat kalian.



Ya ALLAH, Ya Hayyu Ya Qayyum, Ya Zal Jalali Wal Ikram,

Satukanlah saf pejuang-pejuangmu di jalan Mu ya Allah. Kuatkanlah kaki-kaki mereka. Bantulah mereka dengan tentera-tentera yang KAU pernah turunkan di medan Badar pada masa dahulu, hantarkanlah angin taufan membantu mereka seperti KAU hantarkan ketika perang Khandaq, bantulah mereka dengan tentera-tentera tak terlihat seperti KAU lakukan ketika perang Hunain, jagalah mereka ya ALLAH, sebagaimana KAU menjaga tentera-tentera muslimin ketika Perang Mu’tah. Pertahankanlah mereka ya ALLAH, sebagaimana KAU menjaga RasulMu di medan Uhud.

Ya ALLAH, Ya ALLAH, Ya ALLAH,

Tangan kami pendek tak tercapai ke sana, tanganMu jugalah yang berada di atas kekuatan kesatuan mereka. Bantulah mereka saudara-saudara kami yang sedang berjuang itu ya ALLAH. Bantulah mereka Ya ALLAH.



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer